Pengenalan
Penyakit hipertensi adalah masalah kesihatan yang boleh berlaku semasa seorang wanita mengandung. Wanita yang mengandung mendapat hipertensi jika tekanan darahnya bersamaan atau lebih daripada 140/90 mmHg pada atau sebelum 20 minggu mengandung.
Hipertensi semasa mengandung terdiri daripada beberapa kategori:
- Hipertensi sedia ada (sebelum mengandung lagi)
- Hipertensi Gestasi ( Hipertensi selepas mengandung)
- Pra-eklampsia (Tekanan darah yang tinggi bersama protein dalam kencing)
- Eklampsia (Sawan)
Hipertensi sedia ada(Pre-existing hypertension) terjadi di kalangan 1 hingga 5% wanita hamil, manakala hipertensi akibat mengandung terjadi di kalangan 5 hingga 10% wanita hamil. Jika penyakit ini tidak dikawal dengan rapi semasa mengandung, pra Eklampsia atau Eklampsia (sawan) boleh berlaku. Komplikasi tersebut akan membawa kepada kemudaratan dan kematian ibu dan janinnya.
Di Malaysia, hipertensi yang tidak terkawal semasa mengandung merupakan satu daripada sebab utama kematian ibu. 20-33% daripada kematian ibu mengandung disebabkan oleh komplikasi hipertensi semasa mengandung.
Rajah 1: Seorang Wanita Mengandung Diperiksa Tekanan Darahnya.
Siapa Yang Berisiko?
Kejadian hipertensi semasa mengandung tidak boleh diramal. Walau bagaimapun, ada segelintir wanita mempunyai faktor risiko yang membawa kepada masalah ini. Faktor-faktor berikut menyebabkan hipertensi semasa mengandung.
- Hipertensi sedia ada sebelum mengandung
- Sejarah pernah mengalami hipertensi semasa mengandung
- Kandungan pertama (2 kali ganda lebih risiko)
- Wanita obes
- Umur kurang daripada 20 tahun
- Umur lebih daripada 40 tahun
- Kandungan kembar
- Kandungan molar
- Penghidap penyakit kronik seperti diabetis, kerosakkan buah pinggang
- Pendhidap penyakit anti fosfolipi
- Penghidap penyakit connective tissue
Konsultasi Pra Kehamilan
Selalu berjumpa dengan doktor anda bersama pasangan sebelum mengandung. Konsultasi ini dipanggil konsultasi pra kehamilan.
Semasa konsultasi ini, doktor anda akan memastikan masalah kesihatan anda yang perlu dirawat atau distabilkan sebelum anda mengandung. Jika anda penghidap hipertensi sedia ada, ubatan antihipertensi anda akan ditukarkan. Doktor anda akan memberi anda ubatan antihipertensi yang selamat untuk kandungan anda kelak. Di samping itu, anda juga akan dinasihatkan untuk mengambil ubatan anda dengan betul. Ini adalah untuk memastikan hipertensi anda terkawal sebelum mengandung.
Rajah 2: Pasangan Berjumpa Doktor Sebelum Mengandung
Apakah Ubatan Yang Boleh Anda Makan Semasa Mengandung?
Ada sesetengah ubat hipertensi yang boleh menimbulkan kesan sampingan untuk janin. Oleh yang demikian, anda patut mengambil ubatan yang tidak memberi kesan buruk kepada janin anda.
Contoh ubatan hipertensi yang boleh dimakan semasa mengandung:
- Nifidipine
- Methyldopa
- Labetolol
Contoh ubatan hipertensi yang tidak boleh dimakan semasa mengandung, terutamanya semester pertama kandungan.
- Perindopril
- Enalapril
- Captopril
- Telmisartan
- Irbesartan
- Losartan
Pengurusan Hipertensi Semasa Mengandung
Semasa anda mengandung, jururawat atau doktor akan menetapkan temu janji untuk merawat anda. Anda akan dipantau untuk memastikan tekanan darah anda dikawal. Anda juga akan ditanya tentang gejala tekanan darah yang tidak terkawal. Gejala tekanan darah yang tidak terkawal adalah:
- Sakit kepala berdenyut
- Pening
- Loya atau muntah
- Penglihatan kabur
- Sakit di ulu hati
- Bengkak kaki
Ubat anda juga akan dipantau, sama ada dinaikkan dos atau dikurangkan untuk memastikan kestabilan tekanan darah anda. Pengurusan ini akan berlangsung hingga anda melahirkan bayi anda. Jika anda mengalami komplikasi, anda mungkin perlu dimasukkan ke wad di hospital untuk rawatan yang lebih rapi. Jika anda mengalami pra-eklampsia atau eklampsia, bayi mesti dilahirkan untuk menyelamatkan nyawa anda. Secara umum, hipertensi yang terjadi semasa anda mengandung akan reda selepas bayi anda lahir. Hipertensi yang sedia ada akan berterusan.
Rajah 3: Jururawat Menyaring Wanita Mengandung
Rajah 4: Jururawat Memeriksa Tekanan Darah Wanita Mengandung
Apakah Komplikasi Yang Boleh Berlaku?
Pelbagai komplikasi boleh berlaku kepada ibu dan janin sepanjang tempoh mengandung dan juga tempoh pantang selepas bersalin.
- Komplikasi Kepada Wanita Mengandung:
- Pra eclampsia
- Bengkak badan yang teruk
- Kerosakan buah pinggang
- Kerosakan hati
- Pendarahan yang bahaya
- Eklampsia- kerosakan dalam otak menyebabkan sawan
- Kematian
Rajah 5: Tekanan Darah Yang Sangat Tinggi
Rajah 6: Bengkak Kaki
Rajah 7: Wanita Mengandung Dengan Eklampsia
- Komplikasi kepada janin
- Kekurangan berat janin dalam kandungan
- Kematian secara mengejut
- Kelahiran pra matang
- Kematian disebabkan oleh masalah pra matang
Rajah 8: Bayi Pra Matang
Pengurusan Selepas Bersalin
Risiko komplikasi hipertensi semasa mengandung akan berterusan sehingga kira-kira enam minggu selepas bersalin. Semasa tempoh ini, kawalan tekanan darah ibu akan dipantau oleh jururawat semasa lawatan ke rumah. Jika tekanan darah ibu tidak terkawal, jururawat akan merujuknya kepada doktor.
Ibu juga akan diberikan nasihat tentang keperluan untuk menghentikan atau meneruskan ubat. Jika ibu dinasihatkan meneruskan ubat, pantauan berkala akan dilakukan oleh doktor di klinik sehingga habis tempoh enam minggu. Ibu yang ada hipertensi sebelum mengandung, boleh bertukar semula kepada ubatan asal.
Rajah 9: Lawatan Ke Rumah
Rawatan Ketika Penyusuan Bayi
Ibu digalakkan memberikan penyusuan ekslusif kepada bayinya selama sekurang-kurangnya enam bulan. Kebanyakkan ubat hipertensi boleh diambil oleh ibu yang menyusu badan. Walaupun ubatan ini akan terkeluar didalam susu ibu, kuantiti yang keluar terlalu sedikit. Kuantiti ini tidak akan memudaratkan bayi semasa penyusuan. Ingat, memberhentikan ubat yang perlu dimakan akan membahayakan nyawa ibu. Sentiasa berbincang dengan doktor anda tentang ubat yang boleh diambil semasa penyusuan bayi.
Contoh ubatan yang tidak digalakkan semasa tempoh penyusuan:
- Metoprolol
- Atenolol
- Furosemide
- Hydrochorothiade
Rajah 10
Rujukan
- Carson MP, Chih TCP, Gobson PS et al (March 2014). Hypertension and Pregnancy. Retrieved August 27 2014 from emedicine.medscape.com
- Hypertension in Pregnancy: The Management of Hypertensive Disorders During Pregnancy. NICE Clinical Guidelines. No 107. Aug 2010.
- Malaysian CPG Management of Hypertension 4th Edition.
Semakan Akhir | : | 2 Mac 2016 |
Penulis | : | Dr. Sheela Bai a/p Pannir Selvam |
Akreditor | : | Dr. Ainol Shareha Binti Sahar |