Sabtu , April 27 2024
msen
Utama > Hipertensi > Hipertensi: Apa Yang Perlu Anda Lakukan?

Hipertensi: Apa Yang Perlu Anda Lakukan?

Pengenalan

Apa Yang Perlu Anda Tahu?

Darah tinggi atau hipertensi adalah penyakit yang dianggap biasa bagi masyarakat Malaysia. Ianya sangat ditakuti kerana ia merupakan pembunuh senyap kepada pesakit. Pada tahun 2011 di Malaysia, prevalen pesakit darah tinggi yang berusia 18 tahun ke atas adalah sebanyak 32.7 % dan peratusan ini meningkat kepada 43.5% untuk golongan masyarakat yang berusia 30 tahun keatas.

Peringkat awal penyakit, ia mungkin tidak menunjukkan apa-apa gejala kerana organ-organ di dalam badan kita mempunyai kawalan semulajadi (autoregulasi) sendiri. Autoregulasi ini berupaya untuk mengekalkan aliran darah secukupnya pada tekanan yang optima untuk organ-organ di dalam badan kita.

Walaubagaimanapun, autoregulasi ini akan menyusut fungsinya jika tekanan darah tidak dikawal dengan baik. Organ-organ kita akan mulai rosak dan menyebabkan pelbagai komplikasi jika tekanan darah berterusan tinggi.

Pada ketika itu anda mungkin mengalami keadaan yang dipanggil darah tinggi yang teruk (severe hypertension).

Apa Itu Darah Tinggi Yang Teruk?

Darah tinggi yang teruk merupakan tahap tekanan darah tidak terkawal yang dialami oleh seseorang pesakit. Ia boleh berlaku pada semua peringkat usia. Pesakit-pesakit mungkin mengalami tanda-tanda disebabkan kesan darah tinggi yang tidak terkawal ataupun tidak.

Pesakit berisiko tinggi mendapat keadaan di atas sekiranya tidak patuh pada pengambilan ubat ataupun dos ubat tidak mencukupi. Perbezaan pada kedua-duanya adalah penting daripada segi rawatan dan pengurusan pesakit.

Ia dibahagikan kepada 3 jenis iaitu:

Jenis-Jenis Tekanan Darah Gejala Kerosakan Organ
1. Asymptomatic Hypertension > 180/110 mmHg Tiada Tiada
2. Hypertensive Urgency > 180/110 mmHg Ada Tiada
3. Hypertensive Emergency > 180/110 mmHg Ada Ada

Kenapa Terjadinya Komplikasi?

Komplikasi yang berlaku adalah disebabkan perubahan-perubahan dalam badan-badan manusia. Antara teori- teori yang dikenal pasti yang menjadi punca kerosakkan organ-organ tubuh badan ialah:

  1. Salur darah – semakin tinggi tekanan darah anda,semakin besar kerosakan pada dinding salur darah anda.
  2. Ketidakseimbangan pada hormone-horman yang mengawal tekanan darah anda hilang

Sekiranya pesakit darah tinggi mempunyai masalah kesihatan lain seperti kencing manis atau sakit jantung, keadaan ini akan mempercepatkan lagi komplikasi.

Apa Yang Mungkin Terjadi Pada Organ- Organ Dalam Tubuh Kita?

Anda Pengidap Darah Tinggi Dan Anda Perlu Takut Sekiranya Anda Mempunyai Tanda-Tanda Seperti:

  1. Sakit dada
  2. Sakit kepala yang kuat
  3. Loya dan muntah
  4. Sesak nafas
  5. Mata kabur
  6. Lemah sebelah badan
  7. Berdebar debar
  8. Sawan
  9. Tidak sedarkan diri

Apa Yang Perlu Anda Lakukan?

Berjumpalah doktor dengan segera kerana rawatan perlu dimulakan secepat mungkin. Ubat yang digunakan untuk menurunkan tekanan darah adalah bergantung kepada jenis darah tinggi pesakit. Begitu juga dengan rawatan lanjut yang diperlukan.

Adakah Saya Boleh Menangguhkan Perawatan?

Tidak.

Tanda-tanda yang anda alami mungkin adalah amaran awal. Anda mungkin akan mendapatkan kegagalan organ yang kekal ataupun kematian jika lewat menerima rawatan.

Pencegahan

Jika Anda Mengidap Tekanan Darah Tinggi:

  1. Makan ubat secara berkala seperti yang dinasihatkan.
  2. Jangan berhenti makan ubat tanpa nasihat doktor/pegawai farmasi.
  3. Jumpa doktor anda secara berkala bagi mengawal tekanan darah anda.
Semakan Akhir : 29 Mei 2017
Penulis : Dr. Noorzilawati Binti Ahmad
Akreditor : Dr. Khairul Nizam Bin Hassan

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …