Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Asma > Asma dan Pembedahan

Asma dan Pembedahan

Setakat ini tiada kajian yang menunjukkan peningkatan risiko pembedahan untuk pesakit asma secara keseluruhan. Walaubagaimana pun risiko pembedahan meningkat untuk pesakit asma yang mempunyai bacaan ujian fungsi paru-paru yang rendah (FEV1). Kadar kejadian serangan asma yang teruk adalah rendah tetapi jika terjadi boleh membawa  kepada kematian.

Gejala-gejala

Pesakit boleh mengalami tanda-tanda seperti batuk, nafas berdehit, ketat dada dan kesukaran bernafas semasa melakukan aktiviti harian walaupun dengan pengambilan ubat asma yang berterusan mengikut arahan doktor.

Perawatan

Untuk pembedahan yang dirancang (elektif) contoh, pembedahan cataract, perhatian yang rapi  patut diberi untuk memastikan gejala asma  adalah terkawal sebelum pembedahan terutama untuk pesakit asma tidak terkawal. Ini termasuk melakukan ujian fungsi paru-paru dan rujukan kepada pakar paru-paru jika perlu.

Untuk pembedahan kecemasan, keperluan pembedahan dan risiko serangan asma semasa pembedahan patut dipertimbangkan sebelum membuat keputusan untuk meneruskan pembedahan.

Apakah ujian fungsi paru-paru?

Ujian fungsi paru-paru adalah satu ujian untuk mengukur fungsi paru-paru, secara khusus jumlah isipadu udara dan kelajuan udara semasa menghirup dan menghembus nafas. Ini membantu doktor menjangkakan  sama ada  asma terkawal atau tidak. Jika perlu ubat akan ditambah bagi memastikan asma terkawal sebelum pembedahan.

ujian paru2
Sumber: www.netpatient.dk

 Komplikasi

Sila rujuk kepada komplikasi asma tidak terkawal.

Pencegahan

Untuk semua pesakit asma, mengekalkan ubat yang mengawal asma perlu diteruskan sepanjang masa menghampiri tarikh pembedahan.

Pesakit perlu  mengambil ubatan mengikut arahan doktor. Elakkan faktor-faktor persekitaran atau melakukan aktiviti –aktiviti yang menyebabkan serangan asma.

Pesakit perlu mendapatkan vaksinasi pneumococcal dan influenza sebelum pembedahan untuk mencegah dari serangan jangkitan paru-paru yang serius.

Pesakit perlu dirujuk kepada fisioterapist untuk mempelajari latihan pernafasan sebelum pembedahan. Selepas pembedahan , terutama pembedahan perut, latihan pernafasan perlu diteruskan untuk mengelakkan jangkitan paru-paru dan masalah paru-paru tidak kembang. Ubat penahan sakit perlu diberi secukupnya untuk menggalakkan pesakit melakukan latihan pernafasan.

Rujukan:

  1. Smetana GW et. al.Preoperative pulmonary risk stratification for noncardiothoracic surgery: systematic
    review for the American College of Physicians. Ann Intern Med 2006;144:581-95
  2. Woods BD et al. Perioperative considerations for the patient with asthma and bronchospasm. Br J Anaesth 2009; 103 Suppl:157-65
  3. Sila rujuk http//www.ginasthma.org/document/4

 

Last Reviewed :  16 Mei 2016
Writer :  Dr. Kasuma bt. Mohamed Nordin
Accreditor :  Dr. Jamalul Azizi b. Abdul Rahaman

 

Baca Juga

Asma yang dicetuskan oleh senaman

Asma yang dicetuskan oleh senaman berlaku kerana penyempitan atau pengecilan saluran pernafasan susulan daripada aktiviti …