Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Fakta dan Mitos > Mengenai Tekanan Darah Tinggi

Mengenai Tekanan Darah Tinggi

1) Mitos: Penyakit darah tinggi wujud dalam keluarga saya. Saya pasti akan menghidapnya juga.

Jika ibu bapa anda atau saudara-mara anda mempunyai penyakit darah tinggi, anda lebih cenderung untuk menghidap penyakit darah tinggi juga. Walau bagaimanapun, perubahan dalam gaya hidup boleh membantu mencegah penyakit darah tinggi. Antara perubahan gaya hidup yang boleh dilakukan termasuk:

  • Mengamalkan permakanan sihat, termasuk menghadkan pengambilan garam kepada kurang daripada 1500 mg sehari.
  • Melakukan aktiviti fizikal yang kerap.
  • Mengekalkan berat badan yang sihat.
  • Menguruskan stress / tekanan hidup.
  • Berhenti merokok.
  • Mematuhi preskripsi ubat.
  • Menghadkan pengambilan alkohol.

2) Mitos: Saya tidak menggunakan garam, jadi kadar pengambilan garam sehari dan tekanan darah saya tidak terjejas.

Bagi sesetengah orang, pengambilan garam boleh meningkatkan tekanan darah. Akan tetapi pengawalan garam bukan bermaksud berpantang dari mengambil garam sahaja. Ia juga bermaksud memeriksa label; kerana sehingga 75 peratus daripada garam yang diambil yang tersembunyi dalam makanan yang diproses seperti nuget ayam, sos tomato, sup, perasa dan makanan dalam tin. Perhatikan perkataan “soda” dan “natrium” dan simbol “Na” pada label; ini menunjukkan kandungan garam yang terdapat di dalam makanan tersebut.

3) Mitos: Saya tidak mempunyai masalah kerana saya menggunakan garam kosher atau garam laut dalam masakan dan bukan garam biasa.

Garam kosher dan garam laut sebenarnya adalah sama seperti garam – natrium 40 peratus – dan menyumbang ke arah jumlah penggunaan garam harian. Garam adalah gabungan kedua-dua mineral natrium (Na) dan klorida (Cl).

4) Mitos: Tekanan darah saya adalah tinggi hanya kerana saya selalu meminum kopi.

Kesan kafein ke atas badan, terutamanya tekanan darah, masih diperdebatkan secara meluas. Kajian telah menunjukkan bahawa bagi sesetengah orang pengambilan kopi, teh, sesetengah minuman ringan, coklat dan ubat sakit kepala boleh menyebabkan kenaikan tekanan darah – tetapi hanya untuk sementara waktu. Sewaktu pemeriksaan tekanan darah, anda mungkin mahu mengelakkan kopi untuk beberapa jam sebelum untuk mendapatkan bacaan tepat.

5) Mitos: Saya membaca bahawa arak adalah baik untuk jantung, jadi saya boleh minum sebanyak yang saya mahu.

Jika anda minum alkohol, termasuk wain, pengambilan mestilah secara sederhana. Penggunaan alkohol berlebihan boleh meningkatkan tekanan darah secara mendadak. Ia juga boleh menyebabkan kegagalan jantung, membawa kepada strok dan menghasilkan degupan jantung yang tidak teratur. Had penggunaan alkohol adalah tidak lebih daripada dua minuman sehari bagi lelaki dan satu minuman setiap hari untuk wanita.

6) Mitos: Saya berasa sihat. Saya tidak perlu bimbang tentang penyakit darah tinggi.

Ramai orang mempunyai penyakit darah tinggi selama bertahun-tahun tanpa diketahui. Penyakit darah tinggi sering dikenali sebagai “pembunuh senyap” kerana ia tidak mempunyai gejala. Anda mungkin tidak sedar bahawa ia merosakkan arteri anda, jantung dan organ-organ lain. Adalah silap jika anda menganggap gejala akan memberi amaran kepada masalah tekanan darah tinggi. Diagnosis penyakit darah tinggi sepatutnya dibuat oleh seorang doktor / pengamal perubatan profesional.

7) Mitos: Satu-satunya cara untuk mengawal tekanan darah tinggi adalah dengan ubat-ubatan.

Jika anda disahkan menghidap penyakit darah tinggi, ubat-ubatan adalah sangat penting untuk memastikan tekanan darah di bawah kawalan. Dalam pada itu, selari dengan ubat-ubatan, gaya hidup sihat perlu diamal. Ini termasuk permakanan yang sihat dan melakukan aktiviti fizikal yang boleh mengekalkan tekanan darah anda dalam julat yang sihat.

8) Mitos: Saya tidak perlu memeriksa tekanan darah tinggi di rumah kerana telah diperiksa di klinik.

Oleh kerana tekanan darah boleh berubah-ubah, pemantauan tekanan darah di rumah boleh memberikan doktor maklumat berharga untuk rawatan lanjutan. Ia boleh menentukan sama ada anda benar-benar mempunyai tekanan darah tinggi atau untuk melihat keberkesanan rawatan. Adalah penting untuk mengambil bacaan pada masa yang sama setiap hari.

9) Mitos : Satu tekanan yang tidak normal semasa diperiksa oleh doktor bermakna saya mempunyai tekanan darah tinggi.

Satu bacaan tekanan tinggi tidak cukup untuk menentukan bahawa anda mempunyai tekanan darah tinggi. Seorang doktor akan mendiagnosis tekanan darah tinggi hanya selepas beberapa bacaan yang diambil dalam tempoh masa yang berbeza. Doktor anda mungkin menasihatkan anda untuk menahan diri dari pengambilan kafein atau aktiviti fizikal beberapa jam sebelum ujian untuk mendapatkan bacaan tepat.

10) Mitos: Saya telah disahkan menghidap penyakit darah tinggi dan saya sekarang bacaan tekanan darah saya adalah normal, jadi saya boleh berhenti mengambil ubat saya.

Penyakit darah tinggi selalunya adalah penyakit sepanjang hayat. Kesihatan perlu dijaga dengan teliti, walaupun terpaksa mengambil ubat setiap hari untuk sepanjang hayat anda. Anda perlu bekerjasama dengan doktor anda untuk mencapai matlamat kesihatan optimum.

Rujukan

  1. Persatuan Jantung Amerika (dikemaskini: Ogos 12 / 2014)
Semakan Akhir : 15 September 2017
Penulis : Dr. Ainol Shareha Binti Sahar
Akreditor : Dr. Zarina Banu Binti Abdulla

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …