Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Fakta dan Mitos > Adakah Saya Ambil Ubat Bila Perlu Sahaja?

Adakah Saya Ambil Ubat Bila Perlu Sahaja?

Kepentingan Mengambil Ubat Secara Berterusan

Penyakit darah tinggi dikategorikan sebagai “pembunuh dalam senyap”. Sesetengah daripada pesakit perlu mengambil lebih daripada satu jenis ubat dan ubat-ubatan ini perlu diambil secara berterusan dan dalam jangka masa panjang atau dalam erti kata lain “sepanjang hidup’.

Pengambilan ubat secara berterusan penting untuk memastikan ubat menstabilkan keadaan tekanan darah dan mengekalkan kesejahteraan kesihatan.

Ia juga penting dalam memastikan perawatan ke atas penyakit darah tinggi memberikan kesan yang optimum.

Sekiranya anda tidak mengambil ubat-ubatan ini secara berterusan, ia akan menyebabkan penyakit sukar dikawal dan boleh mengundang kesan kompilasi yang tidak diingini dan keadaan penyakit mungkin akan bertambah teruk.

Sebab-Sebab Mengapa Anda Kemungkinan Berfikir Untuk Mengambil Ubat Bila Diperlukan Sahaja

Beberapa sebab mengapa anda mungkin berfikir untuk mengambil ubat apabila perlu sahaja. Antaranya ialah:

  1. Anda sentiasa lupa untuk mengambil ubat.
  2. Anda mempunyai kepercayaan bahawa ubat yang diambil adalah tidak perlu dan tidak membantu dalam merawat penyakit anda.
  3. Anda takut akan kesan sampingan ubat yang memudaratkan.
  4. Anda percaya bahawa ubat yang diambil mempunyai kesan negatif terhadap prestasi aktiviti harian anda.
  5. Mengambil ubat dikatakan membazirkan wang.
  6. Anda tidak merasakan sebarang kesakitan. Oleh itu anda berfikir ubat-ubatan adalah sama sekali tidak perlu.
  7. Anda keliru dengan maklumat yang diberikan oleh pihak yang tidak bertauliah.
  8. Anda takut dengan bilangan ubat-ubatan yang banyak yang anda perlu diambil.
  9. Anda mengalami kesukaran untuk menelan ubat-ubatan.
  10. Anda tidak suka makan ubat.

Langkah-Langkah Yang Boleh Membantu Anda Sentiasa Ingat Dan Patuh Dalam Mengambil Ubat-Ubatan

Berikut adalah langkah-langkah cadangan yang boleh anda amalkan bagi membantu anda agar sentiasa ingat dan patuh dalam pengambilan ubat-ubatan:

  1. Senaraikan kesemua jenis ubat yang diambil yang mana merangkumi ubat-ubatan yang diarahkan oleh doktor dan juga ubat-ubatan lain seperti vitamin ataupun ubat-ubat tradisional.
  2. Jadikan amalan menulis dan membuat catatan tentang sebarang soalan atau kemusykilan yang ada berkaitan penyakit atau ubat-ubatan. Gunakan kesempatan untuk bertanya kepada doktor atau pegawai farmasi semasa temujanji anda dengan mereka. Jika ada sebarang keraguan terutama sekali berkaitan cara pengambilan ubat yang betul, inilah masa untuk mendapatkan maklumat yang tepat dari mereka.
  3. Anda digalakkan untuk memahami tentang bagaimana ubat-ubatan anda bertindak dan juga kesan-kesan sampingan yang mungkin berlaku selepas pengambilan sesuatu ubat. Jika anda telah mengetahui kemungkinan kesan-kesan sampingan ini adalah hanya bersifat sementara sahaja, maka anda akan lebih cenderung untuk menghargai dan meneruskan pengambilan ubat-ubatan tersebut daripada bertindak memberhentikan pengambilan ubat dengan sendiri.
  4. Anda digalakkan untuk mencuba teknik membantu daya ingatan yang lebih baik bagi mengambil ubat-ubatan seperti mengambil ubat apabila makan sarapan pagi.
  5. Pastikan anda menyimpan rekod untuk tarikh temujanji berjumpa doktor. Sentiasa bertanya dengan doktor tentang berapa kerap anda perlu berjumpa dengan mereka.
  6. Pastikan anda mengikuti apa-apa bentuk ujian yang diminta oleh doktor kerana sesetengah ubat-ubatan mungkin memerlukan pemeriksaan secara berkala melalui beberapa siri ujian darah.
  7. Anda boleh mencuba untuk menggunakan pill box yang semestinya dapat membantu anda mengingati dengan lebih baik lagi tentang masa pengambilan ubat-ubatan dalam sehari. Pastikan bekas ubat dilabel dengan jelas yang mengandungi maklumat-maklumat seperti NAMA UBAT, INDIKASI (UNTUK APA?), ARAHAN MAKAN UBAT (BILA, KEKERAPAN DAN JUMLAH UBAT) dan TARIKH LUPUT.
  8. Buang ubat-ubatan yang tidak digunakan lagi atau yang telah tamat tarikh luputnya. Jangan sesekali menyimpan ubat yang tidak digunakan lagi untuk masa yang akan datang atau berkongsi dengan orang lain.

Jika Mempunyai Masalah, Rujuk Doktor

Sekiranya anda menghadapi sebarang masalah berkaitan penyakit dan ubat-ubatan anda, silalah rujuk perkara tersebut dengan doktor. Ini penting kerana doktor mungkin akan mencadangkan kepada anda beberapa bentuk ujian atau prosedur pemeriksaan untuk mencari penyebab masalah tersebut.

Jika tiada masalah yang serius dijumpai, kemungkinan doktor akan mencadangkan rawatan susulan dilakukan sama ada perubahan dalam dos ubat atau penukaran jenis ubat.

Semakan Akhir : 2 Mac 2016
Penulis : Suzana Binti Shamsuddin
Akreditor : Dr. Siti Norlina Binti Md. Said

 

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …