Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Asma > Rawatan Asma > Rawatan Tradisional

Rawatan Tradisional

Perubatan komplementari dan alternatif atau Complementary and Alternative Medicine (CAM) adalah rawatan tradisional yang wujud sejak dahulu lagi terutamanya di luar institusi penjagaan kesihatan (Ernst, 1998). Untuk beberapa dekad yang lalu, penggunaan CAM semakin popular termasuk di negara kita, Malaysia (Featherstone, Godden, Selvaraj, Emslie & Took-Zozaya, 2003; Barnes, Bloom & Nahin, 2008; Siti et al, 2009) dalam julat 4 – 79% di kalangan orang dewasa (Slader, Reddel, Jenkins, Armour & Bosnic-Anticevich, 2006).

Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom juga tidak terkecuali sebanyak 42% dan 59% pengguna CAM, direkodkan (Blanc, Trupin, Earnest, Katz, Yelin & Eisher, 2001; Ernst, 1998). Dalam rantau Asia seperti Singapura, pengguna CAM hanya sebanyak 27.2% (Ng, Wong, Hong, Koh & Goh, 2003). Di Malaysia, terdapat peningkatan daripada 41.0% pada tahun 2006 (Mokhtar & Chan, 2006) kepada 61.1% pengguna CAM pada tahun 2009 (Alshagga, Al-Dubai, Muhamad Faiq & Yusuf, 2011).

Di negara kita, CAM lebih dikenali sebagai perubatan tradisional dan komplementari atau Traditional and Complementary Medicine (TCM). Mengikut Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (2012), definisi bagi “amalan perubatan tradisional dan komplementari” ialah suatu bentuk amalan yang berkaitan dengan kesihatan bertujuan untuk mencegah, merawat atau mengurus penyakit atau sakit serta memelihara kesejahteraan fizikal dan mental individu juga termasuk amalan seperti perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, homeopati dan terapi komplementari, tetapi tidak termasuk amalan perubatan dan pergigian yang masing-masing digunakan oleh pengamal perubatan dan pengamal pergigian.

Dengan kewujudan rang undang-undang Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (2012) di Malaysia, satu “Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari” telah ditubuhkan yang antaranya bertujuan :

  • menasihati Menteri atas perkara dasar negara
  • mendaftar dan mengeluarkan perakuan amalan individu atau pengamal yang menyediakan perkhidmatan TCM kepada orang ramai
  • menyediakan kaedah-kaedah yang berhubungan dengan tata kelakuan profesional pengamal berdaftar dan kod tata kelakuan profe sional, termasuk penalti bagi pelanggaran kaedah-kaedah atau kod
  • menentukan, menyediakan dan mentadbir tata cara dan proses aduan

Menurut Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (2012), majlis ini dianggotai oleh sebelas orang yang dilantik oleh Menteri atas syor Ketua Pengarah, yang terdiri daripada :

  • Kementerian Kesihatan (tidak lebih daripada tiga wakil)
  • mana-mana universiti tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang TCM (dua wakil)
  • pengamal berdaftar dalam perkhidmatan awam (tidak lebih daripada tiga)
  • pengamal swasta yang mewakili badan pengamal TCM yang ditetapkan di Malaysia (tidak lebih daripada lapan individu) dan
  • yang mempunyai pengalaman dan kepakaran yang layak dalam industri yang berkaitan (lima individu)

Penduduk Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu dan pribumi (58%), Cina (24%), India (8%) dan kaaum-kaum lain (10%) (Encyclopedia of the Nations, 2012). Oleh itu, kajian yang melibatkan pesakit asma di Ipoh mendapati 60% daripada kaum Melayu menjadi pengguna TCM diikuti oleh kaum Cina (27%) dan India (24%) pada tahun 2006 (Mokhtar & Chan, 2006). Ia disokong oleh kajian yang dijalankan pada 2009 di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur yang mendapati 66.7% pengguna TCM adalah kaum Melayu. Namun, kajian ini mendapati kaum India menjadi pengguna TCM yang lebih tinggi iaitu 55.0% berbanding kaum Cina hanya 16.7% (Alshagga et al., 2011). Faktor jantina juga memainkan peranan penting di mana wanita telah dikaitkan dengan penggunaan TCM termasuk di United Kingdom, Jerman dan Malaysia (Ernst, 1998; Schäfer, 2004; Alshagga et al., 2011).

Contoh Rawatan Tradisional

Herba tradisional, minyak sapu, homeopati, urut, madu, kopi dan teknik pernafasan adalah contoh rawatan tradisional yang biasa digunakan oleh pesakit asma (Austin, 1998). Kajian Mokhtar dan Chan (2006) di Ipoh menemui 39% daripada pesakit asma mengambil makanan tambahan, 11% menggunakan urutan dan minyak sapu, 6% mengamalkan yoga, 6% mengambil perubatan homeopati dan 2% melanggan perkhidmatan refleksologi. Makanan tambahan dan herba adalah termasuk pegaga (Centella Asiatica), ginseng, terapi herba kaum India dan Cina, bawang putih, minyak ikan dan madu (Mokhtar & Chan, 2006). Kaji selidik di Kuala Lumpur pada 2009 pula mendapati 39% pesakit asma menggunakan gosokan manakala 16.9% mengambil makanan, 16.9% menggunakan herba dan selebihnya termasuk aromaterapi, teknik pernafasan, ho meopati dan manipulasi (Alshagga et al., 2011).

Urutan Melayu telah diperkenalkan di tiga fasiliti kerajaan iaitu di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang, Hospital Putrajaya dan Hospital Sultan Ismail, Johor (Traditional and complementary medicine practice guideline on malay massage, 2009). Contoh perubatan tradisional herba cina yang telah melalui kajian ialah ginkgo biloba, Antiasthma Herbal Medicine Intervention (ASHMI), modified Mai Men Dong Tang (mMMDT), Ding Chuan Tang, STA-1, Sophora Flavescens Ait, Ligusticum wallichii, kaedah Strengthening Body Resistance (SBR), Reinforcing Kidney and Invigorating Spleen Principle (RKISP), tablet Invigorating Kidney for Preventing Asthma (IKPA) dan Wenyang Tonglulo mixture (WTM) (Huntley & Ernst, 2000; Xiu-Min, 2007). Perubatan tradisional herba india bagi rawatan Ayurveda ialah seperti Picrorrhiza kurroa, Solanum xanthocarpum/trilobatum, Boswellia serrate dan Tylophora indica (Huntley & Ernst, 2000).

Tujuan Rawatan Tradisional

Pesakit kronik termasuk asma lebih cenderung untuk menggunakan rawatan tradisional (Vincent & Furnham, 1996). TCM digunakan sebagai pengganti atau ubat tambahan kepada ubat konvensional atau lebih dikenali sebagai ubat moden (Ernst, 1998). Di Malaysia, antara 64% hingga 81% pesakit asma mengambil TCM bersama perubatan konvensional (Mokhtar & Chan, 2006; Alshagga et al., 2011).

Antara alasan pesakit menggunakan TCM termasuk merasakan penyakit lebih terkawal, berasa lebih bertenaga dengan tindakannya, bimbang kesan sampingan ubat-ubatan moden atau mempunyai pengalaman yang mengecewakan dengan doktor (Austin, 1998). Berdasarkan kajian di kalangan penduduk Malaysia, alasan yang diberikan termasuk untuk ketenangan (Mokhtar & Chan, 2006), hanya untuk mencuba, sebagai rawatan tambahan, kos murah berbanding ubat-ubatan konvensional, sebagai rawatan kecemasan (Alshagga et al., 2011), untuk mengelak kesan sampingan ubat atau steroid, untuk melegakan gejala asma dan terapi konvensional yang tidak membantu atau gagal menyembuhkan penyakit mereka (Mokhtar & Chan, 2006; Alshagga et al., 2011).

Bagi masyarakat Melayu, rawatan tradisional membantu asma mereka seperti mengamalkan minum madu yang dicampur dengan telur, perubatan homeopati, urutan dan pegaga (Mokhtar & Chan, 2006). Madu dipercayai berkhasiat kerana boleh meningkatkan daya ketahanan tubuh terhadap habuk, debunga atau kulat termasuk perubatan homeopati (Steurer-Stey, Russi & Steurer, 2002). Bagi kaum Cina, penyakit “sejuk” seperti asma memerlukan makanan “panas” seperti daging binatang liar atau sesetengah pengguna mengambil minyak ikan (Mokhtar & Chan, 2006). Yoga adalah teknik pernafasan yang diamalkan oleh kaum India. Menurut Nagarathna dan Nagendra (1985), ia bertujuan untuk menyembuhkan asma dengan mengawal gejala-gejala asma dan untuk berehat. Ini dibuktikan oleh kajian di mana pesakit kurang terangsang kepada faktor perangsang asma atau penurunan kekerapan serangan asma (Nagarathna & Nagendra, 1985).

Dalam kalangan pengguna TCM (72.2%), 81% merasakan penambahbaikan secara subjektif bagi kawalan asma. Purata skor bagi tahap keyakinan keberkesanan TCM untuk meningkatkan penyakit asma dan masalah kesihatan yang lain ialah 5.53 dari 10.00 (Mokhtar & Chan, 2006). Walau bagaimanapun, ia adalah sukar untuk menentukan atau mengukur keberkesanan rawatan kerana mungkin dipengaruhi oleh faktor psikologi (Nagarathna & Nagendra, 1985).

Apabila Mengguna Rawatan Tradisional
Jika anda ingin mencuba rawatan tradisional atau TCM, sila :

1. Dapatkan maklumat tentang produk atau perkhidmatan sebelum menggunakannya.

  • Sila layari www.bpfk.gov.my untuk semakan produk yang berdaftar dengan pihak berkuasa.
  • Ini untuk memastikan produk tersebut selamat dan berkesan.
  • Di Malaysia, penggunaan TCM mudah dikenal pasti melalui ahli keluarga dan saudara -mara (31% – 46.6%), disyorkan oleh rakan-rakan (34.5% – 42%), inisiatif sendiri (19%) media (8% – 10.3%) serta dicadangkan oleh pengamal perubatan tradisional (8.6%) (Mokhtar & Chan, 2006; Alshagga et al., 2011).

2. Baca label ubat terlebih dahulu sebelum pengambilannya supaya memahami arahan penggunaan dan kesan sampingannya.

  • Perlu diingatkan bahawa setiap produk atau perkhidmatan boleh menyebabkan kesan mudaratkan yang tersendiri.
  • Ini disebabkan banyak kajian mendapati pesakit tidak memaklumkan kepada doktor berkenaan campuran penggunaan TCM dan ubat konvensional (Robinson & McGrail, 2004).
  • Sebagai contoh, kajian di Malaysia menjumpai 62.1% hingga 81.0% daripada pesakit asma tidak memberitahu doktor mereka (Mokhtar & Chan, 2006; Alshagga et al., 2011).
  • Antara sebab-sebab pesakit tidak memaklumkan kepada doktor yang bertugas ialah doktor tidak pernah bertanya, mereka tidak tahu mereka perlu berbuat demikian, rasa doktor tidak tahu tentang topik itu, doktor akan mengetepikan dan tidak mempunyai masa yang cukup semasa berjumpa dengan doktor (Alshagga et al., 2011).

3. Laporkan kepada pihak berkuasa (“Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari” atau layari www.bpfk.gov.my) bagi :

  • Kesan mudarat selepas penggunaan rawatan tradisional sebagai data TCM berkenaan dan/atau
  • Pengamal TCM tidak berdaftar untuk tindakan undang-undang

Rujukan

  1. Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (2012), Kerajaan Malaysia.
  2. Alshagga, M.A., Al-Dubai, S.A., Muhamad Faiq, S.S. & Yusuf, A.A. (2011). Use of complementary and alternative medicine among asthmatic patients in primary care clinics in Malaysia.  Annals of Thoracic Medicine, 6, 115-119.
  3. Austin, J.A. (1998). Why patients use alternative medicine. JAMA, 279, 1548-1553.
  4. Barnes, P.M., Bloom, B. & Nahin, R.L. (2008). Complementary and alternative medicine use among adults and children: United States 2007. Nati Health Stat Report, 12, 1-23.
  5. Blanc, P.D., Trupin, L., Earnest, G., Katz, P.P., Yelin, E.H. & Eisner, M.D.(2001). Alternative therapies among adults with a reported diagnosis of asthma or rhinosinusitis: data from a population-based survey. Chest, 120, 1461-1467.
  6. Encyclopedia of the Nations (2012). www.nationsencyclopedia.com/Asia-and-Oceania/Malaysia-ETHNIC-GROUPS.html. Retrieved 30th November 2012.
  7. Ernst, E. (1998). Complementary therapies for asthma: what patients use? J Asthma, 35,667-671.
  8. Featherstone, C.D., Godden, S., Selvaraj, M., Emslie, M. & Took-Zozaya, E. M. (2003). Characteristics associated with reported CAM use in patients attending six GP practices in the Tayside and Grampian regions of Scotland: A survey. Complement Ther Med, 11, 168-176.
  9. Huntley, A. & Ernst, E. (2000). Herbal medicines for asthma: a systematic review. Thorax, 55, 925-929.
  10. Mokhtar, N. & Chan, S.C. (2006). Use of complementary medicine amongst asthmatic patients in primary care. Med J Malaysia, 61, 125-127.
  11. Nagarathna, R. & Nagendra, H.R. (1985). Yoga for bronchial asthma: a controlled study. BMJ, 291, 1077-1079.
  12. Ng, T., Wong, M., Hong, C., Koh, K. & Goh, L. (2003). The use of complementary and alternative medicine by asthma patients. QJM, 96, 747-754.
  13. Robinson, A. & McGrail, M.R. (2004). Disclosure of CAM use to medical practitioners: A review of qualitative and quantitative studies. Complement Ther Med, 12, 90-98.
  14. Schäfer, T. (2004). Epidemiology of complementary alternative medicine for asthma and allergy in Europe and Germany. Ann Allergy Asthma Immunol, 93, S5-S10.
  15. Slader, C.A., Reddel, H.K., Jenkins, C.R., Armour, C.L. & Bosnic-Anticevich, S.Z. (2006). Complementary and alternative medicine use in asthma: Who is using what? Respirology, 11, 373-387.
  16. Siti, Z.M., Tahir, A., Ida Farah, A., Ami Fazlin, S.M., Sondi, S., Azman, A.H., et al. (2009). Use of traditional and complementary medicine in Malaysia: A baseline study. Complement Ther Med, 17,292-299.
  17. Steurer-Stey, C., Russi, E.W. & Steurer, J. (2002). Complementary and alternative medicine in asthma -do they work? Swiss Med Wkly, 132, 338-344.
  18. Traditional and complementary medicine practice guideline on malay massage. (2009). Ministry of Health Malaysia.
  19. Vincent, C. & Furnham, A. (1996). Why do patients turn to complementary medicine? An empirical study. Br J Clin Psychol, 35, 37-48.
  20. Xiu-Min, L. (2007). Traditional Chinese herbal remedies for asthma and food allergy. J Allergy Clin Immunol, 120, 25-31.
Last Reviewed : 17 Mac 2016
Translator : Pn. Suhadah bt. Ahad
Accreditor : Tn. Haji Abdul Malek b. Abdul Rahaman

Baca Juga

Jenis-Jenis Ubat Bagi Rawatan Asma

Rawatan asma boleh diberi dalam beberapa cara : Sedutan/inhalasi Mulut/Oral (Ubat ditelan) Suntikan Rawatan secara …