Sabtu , April 27 2024
msen
Utama > Asma > Promosi > Gaya Hidup Sihat – Stress

Gaya Hidup Sihat – Stress

emosi_2
Source: http://www.thailandtesol.com/stress-management-for-esl-and-efl-educators/

Apakah Gaya Hidup Sihat? Dan apakah kaitannya dengan asma secara tidak langsung?

Gaya hidup sihat ialah aktiviti, pendekatan atau amalan sama ada secara fizikal ataupun spiritual yang merangsang diri secara fizikal ataupun secara kerohanian yang menyumbang kepada kestabilan fizikal dan mental.

Gaya hidup sihat amat penting di dalam kehidupan manusia, kerana bermula dari amalan inilah, kestabilan minda dan fizikal secara keseluruhan dapat dicapai. Gaya hidup sihat bukan sekadar menjalankan aktiviti riadah mahupun mengamalkan pemakanan seimbang, malah amalan kerohanian dan keagamaan yang terdiri daripada elemen murni dan mulia juga menyumbang kepada kesihatan fizikal dan spiritual seseorang. Ianya juga secara tidak langsung membantu mengawal penyakit asma di mana penyakit asma mampu dikawal sebaiknya melalui gaya hidup sihat.

Apakah itu “stress”?

Stress atau tekanan ialah keadaan seseorang itu mengalami ketidakstabilan sama ada fizikal ataupun mental dan ianya berkaitan dengan cara hidup kita ataupun “lifestyle”. Semakin stress seseorang itu, semakin jauhlah dia dari amalan sihat yang seharusnya dilakukan dan dipraktikkan.

Stress boleh terjadi disebabkan persekitaran yang terdiri daripada persekitaran tempat tinggal, tempat kerja, keadaan emosi semasa disebabkan keadaan hidup seseorang , pemakanan yang tidak sihat yang secara langsung menyumbang kepada keadaan fizikal dan mental tidak optimum seperti penyakit.

Kemurungan berlebihan juga menyumbang kepada stress yang melampau. Kes seperti memerlukan bantuan pakar. Jika tidak ditangani dengan betul ianya bukan sahaja mempengaruhi kehidupan individu tersebut malah orang di sekelilingnya.

Justeru, untuk menghindarkan diri dari berlaku perkara seumpama ini, maka gaya hidup sihat seperti aktiviti fizikal dan mental serta amalan pemakanan sihat sangat diperlukan. Piramid makanan adalah permulaan yang hebat demi mencapai kestabilan hidup yang sihat.

Bagi mengatasi stress, seseorang itu perlu tahu pelan yang betul dan lebih komprehensif. Stress perlu ditangani dengan menyerap elemen positif dan menjauhi elemen negatif dan kronik. Gaya hidup sihat membantu  memperbetulkan elemen negatif seterusnya menyahkan elemen kronik.

Gaya hidup sihat membantu menambah nilai kehidupan individu dan mengurangkan perasaan kecewa dan secara tidak langsung menyumbang kepada kualiti usia yang lebih baik.

Kebanyakan elemen gaya hidup sihat membantu menangani stress semasa dan stress yang berkemungkinan kita lalui di masa mendatang.

Memang tidak dinafikan untuk menjalani gaya hidup sihat memerlukan komitmen dan iltizam yang kuat daripada menangani stress itu sendiri, namun keputusan positif jangka panjang akan membantu memberi ransangan agar pendekatan tersebut diteruskan demi kebaikan individu it u sendiri.

Kebanyakan orang takut untuk mengubah gaya hidup semasanya kepada yang lebih sihat disebabkan takut dengan bayang-bayang sendiri dan terlalu cepat merasa tidak yakin dapat meneruskannya. Di sini, disiplin dan iltizam memainkan peranan yang sangat penting. Mulakan dengan meletakkan sasaran yang mampu dicapai. Seterusnya tingkat pencapaian agar boleh diselaraskan kepada kedudukan lebih tinggi sekiranya sasaran awal telah dapat dicapai.

Di bawah digariskan beberapa elemen gaya hidup sihat yang boleh diaplikasikan ke dalam kehidupan seharian kita:

  1. Pemakanan sihat
    Ia adalah elemen teras di mana piramid makanan adalah permulaan kepada gaya hidup yang lebih baik. Pemakanan yang baik menyumbang kepada fizikal luaran dan dalaman yang lebih baik. Lebih baik daripada segi penampilan dan juga kesihatan dalaman seperti jantung, tekanan darah, paras gula dan sebagainya.
  2. Senaman secara berkala
    Senaman secara berkala membantu mencapai tahap optimum fizikal dan mental seseorang itu. Secara spiritual ia menggalakkan kita bergaul sesama sendiri melalui aktiviti yang disertai. Secara tidak lansung kehidupan sosial kita juga lebih berkualiti.
  3. Kualiti tidur yang baik
    Kualiti tidur yang baik juga adalah di antara elemen gaya hidup yang baik. Rehat yang cukup
    mempersiapkan kita secara fizikal dan mental  untuk hari-hari seterusnya.

Kesimpulannya, gaya hidup sihat bermula dengan diri kita sendiri dan hanya kita yang mampu menangani stress dengan jayanya kerana sahabat yang baik adalah diri kita sendiri.

Berbalik kepada hubung kait gaya hidup sihat dan asma, ternyata ianya banyak membantu menangani penyakit tersebut. Ini adalah disebabkan, penyakit tersebut dipengaruhi secara khusus oleh faktor-faktor  persekitaran, ketahanan tubuh dan sistem respiratori kita serta pengawalan pemakanan yang baik.

Semoga kehidupan kita lebih berkualiti, sihat dan secara tidak langsung membantu menangani stress dan akhirnya membantu mengawal gejala asma.

“Gaya Hidup Sihat Penyumbang Kepada Kehidupan Berkualiti

 

Last Reviewed :  27 April 2016
Writer : Dr. Wan Ermiyati bt. Wan Mohamad
Accreditor : Dr. Azza bt. Omar