Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Asma > Pencegahan > Adakah Pencemaran Udara Berbahaya?

Adakah Pencemaran Udara Berbahaya?

Apakah pencemaran udara dalam dan luar?

Pencemaran udara ialah satu keadaan di mana terdapat perubahan kandungan bahan kimia, jirim zarahan atau wujudnya bahan pencemar di dalam udara atau atmosfera yang berbahaya kepada kehidupan (manusia, haiwan dan tumbuhan).

Terdapat dua (2) jenis pencemaran udara iaitu;

  1. Pencemaran udara dalaman – pencemaran udara di dalam bangunan (rumah, pejabat, kedai, tempat membeli belah dan lain-lain). Terdapat pelbagai punca antaranya disebabkan oleh:
    • Struktur binaan, penggunaan bahan binaan dan bahan-bahan rumah yang  berada di dalam bangunan – contohnya bangunan yang kecil dan tiada pengudaraan/ventilasi yang bagus serta penggunaan asbestos pada atap rumah;
      air1
      Gambar 1 – Penggunaan asbestos pada binaan atap bangunan memberi risiko kepada orang awam.
      Sumber: infobisnesproperti.com
    • Pengunaan bahan pencuci dan pengekalan (maintenance) bangunan – penggunaan bahan pencuci yang mengandungi bahan seperti atau ‘glycol ethers’ boleh menyumbang kepada pencemaran udara dalaman;
    • Aktiviti manusia di dalam bangunan – seperti menghisap rokok di dalam rumah dan juga penggunaan lingkaran ubat nyamuk boleh membebaskan bahan partikel/terampai ke udara.
  2. Pencemaran udara luar – pencemaran udara di luar bangunan dan ianya berlaku disebabkan oleh pelbagai punca seperti;
    • Pembakaran bahan api di kilang-kilang dan juga daripada asap kenderaan akan membebaskan debu, gas karbon monoksida dan nitrogen dioksida. Pembakaran hutan secara tak terkawal menyumbang kepada pencemaran udara.
      air2
      Gambar 2: Asap dilepaskan oleh kilang-kilang mencemarkan udara.
      Source: http://www.peopleandtheplanet.com/
    • Penyemburan racun serangga dan penggunaan baja yang tidak terkawal di ladang-ladang akan membebaskan gas dan bahan kimia beracun ke udara; dan
    • Aktiviti manusia yang menyumbang kepada pencemaran udara seperti membakar sampah, memasak menggunakan pembakaran kayu/arang dan juga merokok atau menghisap vape.

Bagaimana udara tercemar boleh menyebabkan serangan asma?

Pencemaran udara boleh menyebabkan serangan asma dan juga menyebabkan penyakit tersebut bertambah teruk.

  • 75% pesakit asma menyatakan serangan asma bertambah teruk disebabkan terhidu asap kenderaan (Asthma UK website)
  • Peningkatan kes asma ketika jerebu berlaku (Hamidi et al)

Pencemaran udara yang tinggi menyebabkan bahan tercemar itu tersedut ketika kita bernafas. Pesakit asma adalah lebih sensitif  kepada bahan pencemaran udara dan mudah mendapat gejala serangan asma.

Kajian menunjukkan paras pencemaran udara yang tinggi menyebabkan perkara seperti berikut;

  1. Pesakit asma lebih sensitif kepada bahan pencetus seperti debu, fungus, bulu haiwan dan lain-lain
    air3
    Gambar 3 –pembakaran lingkaran ubat nyamuk menyumbangkan partikel ke dalam udara dalaman.
    Sumber: http://englishdictionary.education/en/mosquito-repellent
  2. Fungsi paru-paru akan berkurang kerana berlakunya radang pada saluran pernafasan.

Apakah bahan-bahan tercemar di udara yang boleh mencetuskan serangan asma?

Bahan-bahan pencemaran udara yang boleh mencetuskan asma antaranya ialah;

  • Ozone – gas ozone terbentuk akibat daripada tindakbalas matahari dengan bahan kimia yang terbebas daripada asap kenderaan dan pembakaran bahan api seperti daripada kilang dan juga plantar minyak.
  • Bahan partikel/terampai – bahan ini terhasil daripada pembakaran bahan api oleh kilang, pembakaran kayu atau hasil hutan dan juga daripada asap kenderaan

Bagaimana mencegah pesakit asma daripada terdedah kepada pencemaran udara.

Adalah sukar bagi pesakit asma untuk mengelak daripada terkena pencemaran udara. Namun begitu, berikut merupakan langkah-langkah mengurangkan risiko serangan asma;

  1. Membuat pemeriksaan kesihatan dan lawatan ke klinik secara berkala. Nasihat spesifik berkaitan pencemaran udara seperti langkah-langkah pencegahan sekiranya berkaitan bolehlah dibincangkan bersama doktor yang membuat rawatan;
  2. Pastikan ubat-ubatan sentiasa dibawa bersama bagi bersedia sekiranya serangan asma berlaku; dan
  3. Pesakit boleh mendapatkan maklumat daripada portal ramalan cuaca dan media masa berhubung cuaca dan paras indek pencemaran udara di persekitaran.


Gambar 4: Jerebu merupakan pencemaran udara yang boleh menyebabkan serangan asma.
Sumber: http://myum.um.edu.my/mainpage.php?module=News_khas&show=1&id=991

Sekiranya terdapat pencemaran udara yang teruk/tinggi, pesakit asma atau orang awam boleh mengambil langkah-langkah seperti berikut bagi mengurangkan serangan asma atau peringkat keterukan asma tersebut;

  1. Kurangkan terdedah kepada pencemaran udara luar tersebut dengan berada di dalam bangunan;
  2. Tutup tingkap, pintu atau sebarang bukaan bagi mengelakkan pencemaran udara luar masuk ke dalam bangunan;
  3. Elakkan dari melakukan aktiviti di luar bangunan tetapi sekiranya aktiviti tersebut perlu dilaksanakan, pilih waktu yang bersesuaian contohnya di awal pagi di mana paras pencemaran adalah rendah;
  4. Elakkan daripada berada di kawasan yang sesak dengan kenderaan terutamanya di waktu puncak seperti di waktu pagi dan petang; dan
  5. Sentiasa bersedia dengan ubat-ubatan bagi mengurang dan mengawal serangan asma.

Rujukan:

  1. Asthma: Air pollution. www.asthma.org.uk
  2. Asthma and Air Pollution. California Environmental Protection Agency
  3. Making the connection – asthma and air quality. American Lung Association
  4. Hubungan Jerebu dengan Kes Asma: kajian di Beberapa Buah Hospital di Lembah Kalng. Hamidi Ismail & Tuan Pah Rokiah.
Last Reviewed : 26 October 2016
Writer : Dr. Norita bt. Shamsudin
Accreditor : Dr. Norhaya bt. Mohd Razali

Baca Juga

Serangan Asma Disebabkan Aditif Makanan

Seringkali aditif makanan dikaitkan sebagai punca alahan (allergy) kepada makanan. Kajian telah mendapati kebanyakan alahan …