Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Cara Mengurus Ubat Bila Bermusafir

Cara Mengurus Ubat Bila Bermusafir

“Saya nak pergi melawat anak di Langkawi minggu depan.”

“Saya nak pergi menunaikan umrah insya-Allah bulan depan.”

“Ok pakcik, tapi jangan lupa bawa ubat ya.”

Sekiranya anda bercadang untuk melancong atau bermusafir ke suatu tempat, tidak kira dekat ataupun jauh, adalah penting untuk anda menyediakan keperluan ubat-ubatan anda. Bagi pesakit yang mengidap penyakit kronik sebagai contoh penyakit darah tinggi dan penyakit kencing manis, keperluan ubat-ubatan adalah perkara no.1 yang perlu diingati.

Tidak meneruskan pemakanan ubat mengikut jadual harian boleh menyebabkan perkara yang tidak diingini berlaku seperti anda mungkin jatuh sakit semasa melancong. Untuk pesakit darah tinggi contohnya, tidak memakan ubat semasa cuti mungkin membawa kepada tekanan darah yang tidak terkawal dan boleh membawa kepada serangan jantung atau strok. Perkara ini bukan sahaja akan merosakkan percutian anda, bahkan menambahkan beban kewangan untuk mendapatan khidmat rawatan perubatan dan ubat-ubatan lebih-lebih lagi di luar negara. Lebih menakutkan, anda mungkin tidak akan menemui ubat yang anda biasa digunakan di negara lain. Dengan perancangan yang bijak, anda boleh mengurus ubat-ubatan anda dengan baik dan anda akan kekal sihat di samping menikmati percutian anda.

Secara amnya, cara pengurusan ubat ketika bermusafir untuk pesakit darah tinggi adalah tidak banyak berbeza dengan penyakit kronik yang lain. Pesakit darah tinggi makan ubat yang memerlukan preskripsi dari doktor. Jadi tips-tips umum di bawah yang berkenaan bolehlah diikuti.

Cara Membawa Ubat

Jika Anda Ingin Ke Luar Negara

Sebagai contoh, jika anda ingin keluar negara dengan menaiki kapal terbang, anda perlu mengetahui cara-cara untuk membawa ubat-ubatan tersebut. Jika anda membawa ubat berpriskripsi, anda boleh mengambil langkah langkah berikut:

  1. Simpan ubat di dalam beg untuk di bawa ke atas kepal terbang.
  2. Bawa semua preskripsi ubat yang lengkap dengan tandatangan dan nota doktor bersama nama generik ubat tersebut. Ini berikutan sesetengah jenama ubat tidak terdapat di luar negara dan ini akan menyukarkan proses mengenali ubat anda nanti.
  3. Bawa bersama surat rasmi dari doktor anda yang menjelaskan tujuan anda menggunakan ubat jika anda menggunakan ubat terkawal seperti ubat sedatif dan ubat penenang seperti Clonazepam dan juga jika anda menggunakan ubat suntikan.
  4. Pastikan anda membawa ubat di dalam bekas asal berserta label yang lengkap untuk memudahkan proses pemeriksaan oleh pegawai kastam jika anda diperiksa. Ini bermaksud anda tidak meletakkan ubat di dalam kotak ubat atau “pill box” yang anda selalu guna atau sehingga anda tiba ke destinasi. Anda boleh memasukkan ubat ke dalam kotak ubat bila anda tiba ke destinasi.
  5. Pastikan anda memeriksa dengan pihak berkuasa negara yang berkenaan untuk memastikan ubat-ubatan anda adalah dibenarkan untuk dibawa ke negara yang ingin dilawati. Sesetengah negara tidak membenarkan sesetengah jenis ubat-ubatan manakala sesetengah negara ada kekangan tentang berapa jumlah ubat-ubatan yang boleh dibawa masuk untuk penggunaan.
  6. Perbelanjaan perubatan di luar negara boleh jadi sangat mahal, jadi pastikan anda membeli insuran perjalanan sebelum mula bercuti.

Bagi pesakit darah tinggi, ubat-ubat darah tinggi memang memerlukan preskripsi. Jadi anda boleh mengikuti arahan yang berkenaan di atas ketika bermusafir ke luar negara.

Jika Anda Bercuti Di Dalam Negara

  1. Sila pastikan anda membawa bekalan ubat yang cukup dan ada lebihan jika anda ingin ke suatu tempat dikhuatiri sebarang kesulitan berlaku yang menyebabkan ubat tidak cukup.
  2. Anda boleh membawa ubat di dalam kotakubat untuk memudahkan urusan makan ubat bila diperlukan.
  3. Pastikan anda tidak meninggalkan ubat di dalam kenderaan setelah tiba ke destinasi. Ini berikutan keaadan yang panas di dalam kenderaan yang boleh menyebabkan ubat rosak atau menjadi kurang efektif.

Perkara Umum Tentang Membawa Ubat Sewaktu Bermusafir

  1. Sila letakkan juga ubat di dalam beg yang berlainan bersama-sama salinan preskripsi agar ubat anda tetap ada jika beg anda hilang.
  2. Pastikan anda membawa ubat tambahan jika ada sebarang kemungkinan anda akan terkandas di lapangan terbang disebabkan kelewatan penerbangan atau jika ada sebarang kesulitan sewaktu di dalam perjalanan yang menyebabkan tempoh percutian anda bertambah. Anda tidak mahu terlepas makan ubat darah tinggi atau tertinggal dos insulin hanya disebabkan tidak cukup bekalan.
  3. Pastikan anda menyimpan ubat dalam bekas asal yang lengkap dengan label beserta maklumat seperti nama ubat, kekuatan ubat, cara pengambilan dan tarikh luput. Jika anda mengisi ubat di dalam kotak ubat, pastikan anda mengingati semua ubat-ubatan anda untuk mengelakkan kekeliruan.
  4. Jika ubat anda memerlukan penyimpanan dalam keadaan sejuk, anda perlu memastikan ubat berada dalam bekas tertutup seperti kotak sejuk atau beg yang ada insulasi. Sila dapatkan nasihat dari ahli farmasi anda jika anda tidak pasti tentang penyimpanan ubat anda.

Cara Makan Ubat

Secara umum, anda perlu mengekalkan jadual pengambilan ubat anda seperti biasa. tapi, kita sedia maklum, apabila bercuti, jadual kehidupan sehari-hari juga bakal berubah. Berikut adalah tips untuk membantu anda mengambil ubat sewaktu bermusafir.

  1. Tetapkan masa pengambilan ubat agar anda tidak terlepas dos ubat anda. Anda boleh menggunakan penggera jam di telefon atau anda juga boleh menggunakan aplikasi yang boleh dumuat turun dalam telefon pintar anda. Kebanyakan aplikasi dapat memberi peringatan yang boleh meransang dialog berkenaan kepatuhan ubat dan menunjukkan senarai ubat yang boleh disemak setiap hari. Ubat darah tinggi perlu dimakan setiap hari untuk mengekalkan tekanan darah yang optimum dan mengelakkan serangan jantung atau angin ahmar.
  2. Perhatikan perubahan zon masa di tempat yang ingin dilawati. Anda mungkin berada di zon masa yang berlainan yang boleh menyebabakan masa tidur dan makan yang tidak menentu yang meningkatkan peluang untuk terlepas ubat-ubatan. Jadi, anda boleh menggunakan kotak ubat yang mengandungi bahagian berbeza untuk hari yang berbeza sepanjang minggu untuk membantu pemakanan ubat mengikut waktu yang tertentu. Selain daripada itu, peringatan dari ahli keluarga juga amat membantu untuk anda kekal makan ubat.
  3. Perubahan dos sewaktu bermusafir merentas zon masa yang berbeza bergantung kepada ubat itu dan juga dari saranan doktor anda. Anda perlu memastikan agar ubat yang diambil adalah cukup tetapi tidak berlebihan semasa anda ingin berubah ke zon masa yang berbeza. Dapatkan nasihat dari doktor atau ahli farmasi anda.
  4. Memandangkan diet anda mungkin bertukar apabila anda bercuti, pastikan anda mendapatkan nasihat daripada ahli farmasi anda berkenaan interaksi antara ubat dan makanan yang mungkin akan menggangu proses penyerapan ubat-ubatan anda.
  5. Memandangkan aktiviti fizikal anda sewaktu bercuti mungkin bertambah, pastikan anda mengambil air yang cukup setiap hari. Dehidrasi boleh menyebabkan sesetengah ubat tidak dapat berfungsi dengan baik.
  6. Pemakanan berbeza sewaktu percutian boleh mendedahkan anda kepada risiko seperti cirit-birit (“traveller’s diarrhoea”) dan muntah-muntah. Jika ia berlarutan, ini boleh membawa kepada dehidrasi. Dehidrasi boleh mengakibatkan symptom-simptom “orthostatic hypotension” seperti lemah, pening, berpinar dan juga mungkin boleh pengsan. “Orthostatic hypotension” adalah tekanan darah rendah yang berlaku apabila anda berdiri dari posisi duduk atau baring. Warga tua dan orang yang mengambil sesetangah jenis ubat mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami perkara ini. Ini termasuk pesakit yang mengambil ubat untuk tekanan darah tinggi dan jantung, seperti kumpulan diuretik (hydrochlorothiazide), kumpulan penghalang alpha seperti prazosin, panghalang salur kalsium (amlodipine), kumpulan angiotensin-converting enzyme (ACE) inhibitors (perindopril) dan kumpulan nitrates (isosorbide mononirate). Apa yang anda boleh anda lakukan adalah memastikan anda minum air yang cukup dan kekal hidrasi sepanjang hari. Elakkan atau kurangkan jumlah alkohol yang diambil kerana alkohol akan lebih memudaratkan perkara ini. Selain daripada itu, anda boleh bangun perlahan-lahan dari posisi duduk atau baring untuk berdiri untuk mengurangkan simptom “orthostatic hypotension”.

Bila Terdapat Tanda-Tanda Kecemasan

Semasa bermusafir, ada banyak kemungkinan yang mungkin berlaku. Anda boleh bersedia untuk memastikan perjalanan anda tidak terganggu. Sebelum berangkat, anda boleh menyediakan kit ubat untuk perjalanan. Anda boleh membawa ubat ‘over the counter’ (OTC) yang tidak mengandungi bahan terkawal atau ubat yang tidak memerlukan preskripsi dari doktor.

Untuk pesakit hipertensi yang mempunyai penyakit lain seperti “angina pectoris”, mereka perlu ingat untuk membawa ubat kecemasan mereka (glyceryl trinitrate (GTN) tablet) yang boleh diletakkan di bawah lidah untuk memberi kelegaan jika terdapat sebarang serangan.

Ubat Apa Yang Perlu Dibawa?

Berikut adalah senarai ubat OTC atau ubat yang tidak memerlukan preskripsi yang boleh dibawa untuk memudahkan anda jika berlaku kecemasan semasa perjalanan.

  1. Ubat cirit birit-Jangkitan berkaitan makanan adalah biasa dan boleh menyebabkan cirit-birit. Ubat yang boleh dibawa adalah: (seperti contoh charcoal, lomotil dan loperamide).
  2. Ubat tambah garam dan mineral- Dikhuatiri jika berlaku dehidrasi disebabkan cirit-birit atau muntah-muntah. Ubat yang boleh dibawa adalah: (Oral Rehydration Salts (ORS)).
  3. Ubat anti-histamine untuk selesema dan alergi. Ubat yang boleh dibawa adalah: (chlorpheniramine dan loratadine).
  4. Ubat mabuk perjalanan seperti semasa menaiki kapal terbang atau kapal. Ubat yang boleh dibawa adalah: (dimenhydrinate dan meclozine+pyridoxine).
  5. Ubat antasid. Ubat yang boleh dibawa adalah: (magnesium trisilicate, simethicone).
  6. Ubat untuk sakit atau demam. Ubat yang boleh dibawa adalah: (paracetamol, aspirin, ibuprofen).
  7. Ubat laksatif atau pelembut najis – Perubahan dalam jadual pemakanan dan pemakanan boleh menyebabkan sembelit, jadi ubat-ubatan ini boleh diambil. Ubat yang boleh dibawa adalah: (lactulose dan bisacodyl).
  8. Krim anti-kulat atau alergi. Ubat yang boleh dibawa adalah: (clorimazole, hydrocortisone 1%).
  9. Ubat batuk biasa. Ubat yang boleh dibawa adalah: (Ubat batuk herba yang mengandungi madu).

Selain daripada itu, jika anda ada sebarang alergi ubat, sila pastikan anda membawa bersama kad alergi anda atau memakai gelang tangan yang berkaitan. Sila pastikan anda mempunyai nombor yang boleh dihubungi jika berlaku sebarang kecemasan sewaktu anda bermusafir.

Anda boleh memanfaatkan tip-tip di atas bagi membantu anda mendapatkan percutian yang selesa. Jika anda sebarang masalah atau kemusykilan, silalah berhubung dengan doktor atau ahli farmasi anda. Bermusafir dengan bijak. Selamat melancong!

Rujukan

  1. Centers for Disease Control and Prevention (2008). Travelers’ HealthPack Smart. Retrieved October 25, 2015, from http://wwwnc.cdc.gov/travel/page/pack-smart
  2. Gambar dari :Centers for Disease Control and Prevention (2008). Travelers’ HealthPack Smart. Retrieved October 25, 2015, from http://wwwnc.cdc.gov/travel/page/pack-smart
  3. Department of Health & Human Services, State Government of Victoria, Australia (2014). Travel Tips For Seniors. Retrieved October 29, 2015, from https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/healthyliving/travel-tips-for-seniors
  4. Diana Rodriguez (2015). Securing Medications for Your Trip. Retrieved October 30, 2015, from http://www.everydayhealth.com/healthy-travel/traveling-with-medications.aspx
  5. Mayo Clinic Staff (2014). Orthostatic Hypotension (postural hypotension). Retrieved October 25, 2015, from http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/orthostatic-hypotension/basics/definition/con-20031255
Semakan Akhir : 06 September 2017
Penulis : Pn. Zanariah Binti Abu Bakar
Akreditor : Dr. Siti Norlina Binti Md Said

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …