Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Etiologi > Kaitan Antara Obesiti Dan Hipertensi

Kaitan Antara Obesiti Dan Hipertensi

Apakah Obesiti?

Obesiti didefinisikan sebagai jumlah berat badan yang berlebihan akibat kandungan lemak yang tinggi. Secara amnya, lelaki dengan lemak badan >25% dan wanita dengan lemak badan >35% dianggap obesiti. Indeks Jisim badan (Body Mass Index, BMI) adalah cara terbaik untuk mengklasifikasikan berat badan.

Obesiti abdomenGambar 1: Obesiti Abdomen

Berapa IJB/BMI Anda?

Indeks Jisim Badan (IJB) atau Body Mass Index (BMI) merupakan formula untuk menilai tahap kelebihan berat badan berasaskan berat (kg) dan ketinggian (m). BMI merupakan pengukuran tidak langsung komposisi badan. Ia memberikan indikasi jumlah lemak badan seseorang individu.

Ukur berat badan anda dalam kilogram (kg) dan tinggi dalam meter (m):

BMI

Ukuran berat badan boleh dilakukan berdasarkan panduan seperti:

  1. Normal : 18-23 kg/m2
  2. Berat badan berlebihan : 23.9 – 27.9 kg/m2
  3. Obesiti tahap I : 28.0 – 34.9 kg/m2
  4. Obesiti tahap II : 35.0 – 39.9 kg/m2
  5. Obesiti tahap III : 40 ke atas

Bebanan global dunia masalah obesiti dianggarkan lebih daripada 1.1 bilion. Di Malaysia, kadar berat badan berlebihan (overweight) dan obesiti adalah tinggi iaitu 44.5%, hasil daripada kajian terbaru National Health Morbidity Survey 2011 (NHMS).

Terdapat bukti bahawa risiko penyakit berkaitan obesiti di kalangan penduduk Asia adalah pada tahap BMI yang lebih rendah iaitu 23 kg/m2.

Di Malaysia, kaum Melayu dan India mengalami masalah obesiti pada kadar lebih tinggi daripada kaum Cina. Bagaimanapun, perbezaan antara kawasan pedalaman dan bandar sangat sedikit.

Kenapa Berat Badan Naik?

Hampir sebahagian besar masalah obesiti ini berpunca daripada faktor luaran seperti :

  • Pemakanan. Makan secara berlebihan terutamanya makanan yang mengandungi kalori (tenaga) tinggi. Ini termasuklah makanan yang mempunyai kandungan lemak dan gula yang tinggi serta hidangan yang besar.

 Snek ringan tinggi lemak dan gulaGambar 2: Snek Ringan Tinggi Lemak Dan Gula

  • Cara hidup sedentari. Kurang melakukan senaman atau aktiviti fizikal. Kesibukan bekerja, menonton televisyen dan banyak menghabiskan masa di depan komputer.
  • Penyakit metabolisme endokrin seperti kekurangan atau terlebih hormon pertumbuhan kortisol. Sekiranya kekurangan hormon tiroxin atau kekurangan hormon lelaki (testosteron) seseorang boleh mengalami masalah berat badan berlebihan. Ada kalanya ketumbuhan pada hipotalamus boleh menyebabkan individu mempunyai berat badan berlebihan kerana selera makan yang tinggi.
  • Ubat-ubatan. Amalan memakan sesetengah ubat-ubatan seperti steroid atau ubat tradisional Cina boleh mengakibatkan berat badan bertambah. Steroid yang berlebihan boleh menyebabkan penyakit diabetes dan hipertensi.
  • Masalah genetik. Terdapat beberapa gen dalam tubuh yang menyebabkan berat badan berlebihan. Sindrom-sindrom seperti Prader-Willi, Lawrence Moon Biedl dan sebagainya boleh menyebabkan obesiti.
  • Sindrom metabolik. Sindrom metabolik adalah konstelasi penyakit seperti tekanan darah tinggi, dislipidemia, obesiti dan berlebihan paras glukosa darah. Keadaan simptom ini bersama faktor keturunan menyebabkan seseorang itu mempunyai risiko tinggi untuk mengalami diabetes dan penyakit kardiovaskular.

Komplikasi Obesiti

Komplikasi pertambahan berat badan adalah:

  • Penyakit kardiovaskular (berkaitan dengan jantung)
  • Strok (angin ahmar)
  • Tekanan darah tinggi
  • Batu hempedu
  • Diabetes (kencing manis)
  • Paras kolesterol darah yang tinggi
  • Gout dan batu karang asid urik
  • Sakit di bahagian bawah belakang badan
  • Sukar bernafas, halangan tidur apnea (Obstructive sleep apnoea)
  • Osteoartritis spina (tulang belakang), pinggang atau lutut
  • Gangguan pembuangan air kecil
  • Penyakit hati
  • Barah usus
RISIKO Sangat tinggi (RR>3) Sederhana tinggi (RR 2-3)
 

PENYAKIT BERKAITAN DENGAN OBESITI

Diabetes Mellitus (Jenis 2) Masalah jantung
Penyakit berkaitan hati (batu hempedu dan hati berlemak) Strok/ angin ahmar

 

Masalah lemak dan sindrom metabolik Kegagalan fungsi jantung/ jantung bengkak
Masalah pernafasan Darah tinggi
Osteoartritis/masalah sendi
Gout/ asid urik tinggi

Kaitan Berat Badan Dengan Tekanan Darah Tinggi

Risiko menghidap tekanan darah tinggi meningkat dua ke tiga kali ganda sekiranya anda obes.

Tekanan darah tinggi, obesiti dan diabetes saling berhubung-kait dalam sindrom metabolik. Punca penyebabnya adalah rintangan insulin yang tinggi pada sindrom metabolik. Kesan rintangan insulin juga menghasilkan lemak trigleserida (TG) tinggi dan seterusnya rendah lemak High-density lipid (HDL).

Tekanan darah tinggi boleh terjadi apabila dinding saluran arteri mengeras akibat daripada mendakan plak dan lemak iaitu arterosklerosis.

Arterosklerosis juga boleh menyebabkan kerosakan dan pembengkakkan dinding kapilari darah yang menyempitkan aliran darah. Seterusnya, kerosakkan organ seperti buah pinggang, jantung dan otak boleh berlaku.

Kajian menunjukkan penurunan sebanyak 10% daripada berat badan dapat mengawal tekanan darah tinggi dengan lebih baik iaitu penurunan 20 mmHg tekanan darah sistolik dan penurunan 10 mmHg tekanan darah diastolik. Oleh itu, keperluan untuk mengambil ubat darah tinggi juga akan berkurangan.

Cara Menurunkan Berat Badan

Objektif penurunan/pengurangan berat badan adalah:

  • Mengekalkan berat badan yang sihat
  • Mengelakkan kenaikan semula berat badan

Ia terbahagi kepada beberapa cara iaitu diet, meningkatkan aktiviti fizikal dan ubat-ubatan ataupun pembedahan. Senaman dan penjagaan diet pemakanan adalah kaedah pertama dan yang perlu dilakukan berterusan bagi menjayakan proses penurunan berat badan.

  • Diet

Penurunan berat badan boleh dicapai melalui pemakanan yang sihat dan rendah kalori. Makanan yang tinggi serat amat baik kerana ia cepat mengenyangkan. Ia juga dapat menggantikan makanan yang tinggi lemak tepu. Contoh makanan berserat seperti roti, bijirin, pasta, biji-bijian, buah-buahan dan sayur-sayuran. Kaunseling dietari rendah kalori boleh diperoleh melalui pegawai dietetik dan pengambilan kalori akan dicadangkan berdasarkan keperluan individu.

  • Aktiviti Fizikal

Semua program senaman perlu diperkenalkan secara perlahan-lahan. Sebagai contoh, senaman berjalan kaki setiap hari sesuai untuk golongan obes. Pada permulaan, ia boleh di lakukan selama 10 minit 3 kali seminggu. Kemudian, senaman boleh ditingkatkan kepada 30-60 minit sekurang-kurangnya 3 kali seminggu atau lebih. Sebaik-baiknya amalkan senaman setiap hari daripada bersenam selama dua jam tetapi hanya seminggu sekali.

Antara contoh-contoh senaman lain:

  1. Senaman ringan: berjalan perlahan (15min/km), tai chi, mengemas rumah
  2. Senaman sederhana: berjalan laju (brisk walk) 10min/km, badminton, aerobik, berenang
  3. Senaman berat: joging, berjalan di kawasan berbukit, bermain bola keranjang

Senaman atas fitballGambar 3: Senaman Atas Fitball

  • Farmako Terapi

Ubat-ubatan untuk pengurangan berat badan adalah tambahan kepada gaya hidup sihat bagi mereka yang mempunyai BMI >27.5kg/m2.

Rawatan ubat hanya dibenarkan di bawah seliaan doktor. Ia dapat membantu mengurangkan sebanyak antara lima hingga 10 peratus berat badan. Terdapat 2 jenis ubat-ubatan iaitu :

i. Lipase inhibitor contoh Xenical : Ubat ini menghalang enzim lipase di dalam saluran penghadaman memproses lemak makanan yang dimakan daripada menyerap ke dalam tubuh. Bagaimanapun, ia hanya menyekat 1/3 daripada lemak tersebut dan bakinya akan memasuki sistem penghadaman makanan.

  1. Duramine/Phentermine : Ubat mengekalkan paras hormon adrenalin dan serotonin. Dengan memakan ubat ini, ia akan mengawal fungsi selera makan dalam otak yang menyebabkan individu terbabit berasa kenyang. Kesan sampingannya ialah hipertensi, sukar tidur, jantung berdebar, panas dan sebagainya. Ubat-ubatan ini hanya boleh diambil untuk jangka masa 3 bulan sahaja. Jika terdapat kesan sampingan, perlu hentikan pengambilannya.
  • Pembedahan

Pembedahan merupakan rawatan pilihan bagi sesetengah pesakit yang berada dalam keadaan obesiti morbid (BMI >40kg/m2) atau 35-40kg/mg dan mempunyai penyakit serius berkaitan obesiti. Ia digunakan apabila cara lain tidak berkesan atau gagal.

Rujukan

  1. http://www.myhousecallmd.com/archives/2179
  2. http://www.howtolearn.com/2012/02/how-to-reverse-childhood-obesity
  3. http://www.caregivercollege.org/scoa/?PhysicalActivity.html
Semakan Akhir : 18 April 2014
Penulis : Dr. Masni Binti Mohamad
Akreditor : Dr. Zanariah Binti Hussien

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …