Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Tekanan Darah Tinggi, Adakah Ianya Normal?

Tekanan Darah Tinggi, Adakah Ianya Normal?

Saya Seorang Warga Emas, Tekanan Saya Tinggi, Adakah Ianya Normal?

Pengenalan

  • Perubahan fisiologi berlaku kepada saluran darah sejajar dengan peningkatan usia seseorang.
  • Reseptor tekanan dalam badan dapat mengekalkan tekanan darah pada satu julat yang normal walaupun terdapat pertukaran posisi badan atau kegiatan aktiviti fizikal. Reseptor badan ini menjadi kurang sensitif dengan peningkatan usia seseorang.
  • Dinding saluran darah mejadi tebal dan keras dengan peningkatan usia. Ini akan mengakibatkan peningkatan tekanan darah sistolik. Walaubagaimanapun, tekanan darah diastolic mungkin akan mengurang disebabkan oleh saluran darah yang tidak dapat mengendur dengan sempurna selepas pengecutan.
  • Satu masa dahulu, adalah menjadi satu kepercayaan bahawa fenomena tekanan darah yang tinggi di kalangan warga emas adalah normal. Justeru itu, rawatan tekanan darah tinggi adalah tidak diperlukan untuk golongan warga emas. Kepercayaan ini telah dibuktikan silap dengan penyelidikan yang menunjukan peningkatan risiko penyakit kardiovaskular golongan warga emas adalah juga berkait rapat dengan tekanan darah tinggi yang tidak dirawat.
  • Penyakit hipertensi golongan warga emas juga memerlukan rawatan
  • Ketepatan diagnosa adalah sangat penting. Ini adalah untuk mengelakan kesilapan menbuat diagnosa hipertensi untuk mereka yang normal atau TIDAK membuat diagnosa untuk mereka yang benar-benar berpenyakit.

Ketepatan Diagnosa

Definasi hipertensi untuk warga emas adalah sama dengan golongan dewasa muda.

Tekanan darah Sistolik Tekanan darah Diastolik
Hipertensi Bacaan lebih atau sama dengan 140mmhg Bacaan lebih atau sama dengan 90mmhg

Tekanan darah adalah bukan konstan dan berubah mengikut keperluan fizikal atau emosi seseorang. Oleh itu, anda memerlukan sekurang-kurangnya 2 bacaan tekanan darah sebelum membuat sebarang kesimpulan bahawa anda menghidap penyakit hipertensi. Walaubagaimanapun, satu bacaan adalah memadai untuk tujuan diagnosa sekiranya anda juga menpunyai tanda-tanda kerosakan organ disebabkan penyakit hipertensi.

Contoh-Contoh Ketidaktepatan Diagnosa Hipertensi Yang Biasa Ditemui

Contoh 1

Puan AZ telah membeli sebiji alat pengukur tekanan darah elektronik untuk mengukur sendiri tekanan darah beliau. Beliau bertanggungjawab menjaga 2 orang cucu dirumah. Justeru itu, adalah tidak mudah untuk beliau mendapat masa kesunyian di rumah pada bila-bila masa. Beliau mendapati bahawa tekanan darah beliau berulang-kali mencatatkan bacaan 180/85 mmHg dan membuat keputusan untuk membeli ubat hipertensi daripada kedai farmasi. Beliau juga membuat keputusan untuk merawat hipertensi sendiri kerana beliau berpendapat bahawa ia akan mengambil masa yang banyak sekiranya berkunjung ke klinik untuk menerima rawatan.

  • Alat pengukur dan kaedah mengukur tekanan darah: Alat pengukur tekanan darah adalah lebih sensitif dan mungkin memberi bacaan yang lebih tinggi daripada yang sepatutnya sekiranya kaedah pengukuran adalah tidak betul. Adalah lebih tepat sekiranya anda mengira purata selepas mengambil beberapa bacaan atau membandingkan bacaan daripada alat elektronik dengan alat pengukur manual (sfignomanometer). Adalah dinasihatkan bahawa anda mengambil bacaan tekanan darah di suasana yang sunyi.

Contoh 2

Encik BY baru sahaja didiagnosa sebagai menghidap penyakit strok 2 hari yang lepas. Beliau menghisap 20 batang rokok sehari. Pemeriksaan 6 bulan sekali sebelum gejala strok tidak mendapati beliau menghidap penyakit diabetis atau hipertensi. 2 hari selepas strok, tekanan darah beliau didapati sentiasa tinggi pada bacaan 150/85 mmHg. Beliau diberi diagnosa hipertensi dan rawatan hipertensi dimulakan.

  • Keadaan kesihatan semasa: Tekanan darah boleh meningkat sejurus selepas strok. Ini adalah reaksi normal badan untuk mengekalkan saluran darah ke bahagian otak yang bengkak selepas kejadian strok. Secara umumnya, tekanan darah ini akan turun ke keadaan asal selepas 1 hingga 2 minggu selepas strok. Sekiranya anda tidak menghidap penyakit hipertensi sebelum strok (anda hanya boleh mengetahui fakta ini sekiranya anda selalu menjalani pemeriksaan perubatan), adalah dinasihatkan supaya mengulangi bacaan tekanan darah 1-2 minggu selepas strok sebelum diagnosa hipertensi dibuat. Walaubagaimanaupun, sekiranya tekanan darah anda terlalu tinggi semasa serangan strok akut, anda mungkin diberi ubat hipertensi untuk satu jangkamasa pendek. Ubat hipertensi juga diperlukan sekiranya seseorang itu menghidap strok bersama masalah kegagalan jangtung.

Contoh 3

Encik CX sedang mengalami masalah cirit-birit dan kehilangan selera makan untuk 3 hari. Semasa pemeriksaan di klinik, beliau diberitahu bahawa bacaan tekanan darah beliau adalah 130/85mmHg. Beliau berasa lega bahawa beliau tidak mempunyai masalah tekanan darah tinggi.

  • Keadaan kesihatan semasa: Bacaan tekanan darah boleh menjadi lebih tinggi atau lebih rendah semasa anda sakit. Bacaan tekanan darah pada masa ini tidak mengambarkan bacaan tekanan darah yang sebenarnya. Sebagai contoh, tekanan darah anda boleh menjadi rendah sekiranya badan menghadapi masalah dehidrasi (kekontangan air badan) semasa sakit.

Contoh 4

Puan DW telah menghidap penyakit gout untuk 5 tahun. Beliau jarang mendapat serangan gout akut. Walaubagaimanapun, beliau sekarang sedang mengalami serangan akut. Beliau mengalami kesakitan pada kaki kiri dan sedang mengambil ubat tahan sakit. Bacaan tekanan darah beliau adalah 160/90mmHg. Beliau diberi diagnosa hipertensi dan rawatan untuk hipertensi dimulakan.

  • Masalah perubatan lain: Sesetengah ubat tahan sakit boleh menyebabkan retensi garam di dalam badan. Ini boleh menyebabkan bacaan tekanan darah yang lebih tinggi sekiranya bacaan ini diambil semasa anda mengambil ubat-ubatan yang berkenaan. Oleh itu, adalah tidak dinasihatkan untuk mendapatkan diagnosa hipertensi semasa anda mengalami kesakitan akut atau anda sedang mengambil ubat-ubatan yang mempunyai kesan terhadap bacaan tekanan darah.

Contoh 5

Encik EU adalah seorang warga emas yang sihat dan kuat, Beliau berumur 85 tahun. Tekanan darah beliau adalah 160/70mmHg (selepas beberapa bacaan). Beliau dinasihatkan bahawa beliau tidak memerlukan rawatan kerana bacaan bawah tekanan darah (diatolik) adalah normal.

  • Diagnosa hipertensi mengambil kira sebarang bacaan tekanan darah (samada bacaan sistolik ATAU bacaan diastolik) yang lebih tinggi daripada nilai normal (rujuk ke atas untuk definasi hipertensi). Bacaan diastolik adalah tidak tinggi disebabkan oleh perubahan fisiologi pada dinding saluran darah yang berlaku dengan peningkatan usia seseorang. Dinding saluran darah menjadi lebih keras. Contoh 5 ini mengambarkan satu keadaan yang dikenali sebagai penyakit hipertensi sistolik. Hipertensi sistolik adalah lebih kerap berlaku di golongan warga emas. Keadaan ini juga meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular. Oleh itu, penyakit hipertensi sistolik memerlukan rawatan.

Contoh 6

Encik FT mengamalkan pemeriksaan tekanan darah di rumah selalu. Beliau mendapati bahawa tekanan beliau adalah tinggi semas berbaring, 180/90mmHg secara purata. Walaubagaimanapun, pada posisi duduk, tekanan darah beliau adalah normal, 130/80mmHg secara purata. Adakah beliau menghidap penyakit hipertensi?

  • Keadaan ini dikenali sebagai hipertensi semasa baring, hipotensi postural3. Ia berlaku apabila badan tidak dapat mengekalkan tekanan darah pada tahap konstan semasa badan berubah posisi. Akibatnya adalah tekanan darah yang tinggi semasa berbaring dan tekanan darah yang rendah semasa duduk atau berdiri.. Ini adalah disebabkan oleh kegagalan sistem sarah untuk mengawal pengecutan dan pengenduran otot-otot dinding saluran darah. Masalah perubatan yang boleh menyebabkan keadaan ini adalah penyakit diabetes dan penyakit denegerasi saraf. Hipertensi semasa berbaring boleh memudaratkan badan sekiranya tidak dirawat. Oleh itu, rawatan adalah masih diperlukan. Dapatkan nasihat daripada pakar perubatan yang biasa dengan rawatan untuk masalah ini (cth. Pakar perubatan keluarga, pakar perubatan umum, pakar neurologi (saraf), pakar endokrinologi, pakar geriatrik).

Contoh 7

Puan GS mendapat rawatan perubatan secara berkala daripada doktor klinik. Beliau mendapati bahawa bacaan tekanan darah beliau sentiasa mencatatkan bacaan yang tinggi di klinik. Tekanan darah beliau adalah 160/90mmHg secara purata. Walaubagaimanapun, beliau mendapati bahawa tekanan beliau adalah 135/85mmHg secara purata apabila beliau mengukur sendiri tekanan darah dengan alat elektronik di rumah. Beliau berasa risau samada beliau menghidap penyakit hipertensi.

  • Keadaan persekitaran: Untuk segelintir orang, tekanan darah mereka adalah lebih tinggi apabila bacaan tekanan darah ini diambil di klinik. Keadaan ini juga dikenali sebagai sindrom ‘white coat’. Untuk golongan ini, tekanan darah adalah lebih tepat sekiranya diambil di rumah. Kadang-kala, doktor akan membuat pemeriksaan bacaan tekanan darah 24 jam untuk mendapat kepastian.

Kesimpulan

  • Diagnosa hipertensi untuk golongan warga emas adalah sama dengan golongan dewasa muda.
  • Rawatan hipertensi untuk golongan warga emas adalah bertujuan untuk mengurangkan risiko kardiovaskular.
  • Ketepatan diagnosa hipertensi adalah bergantung kepada masa dan cara tekanan darah diukur.

Rujukan

  1. Kaplan NM. Systemic hypertension: therapy. In: Libby P, Bonow RO, Mann DL, Zipes DP. Braunwald’s Heart Disease: A Textbook of Cardiovascular Medicine. 8th ed. Philadelphia, Pa: Saunders Elsevier; 2007:chap 41.
  2. Victor RG, Kaplan NM. Systemic hypertension: mechanisms and diagnosis. In: Libby P, Bonow RO, Mann DL, Zipes DP. Braunwald’s Heart Disease: A Textbook of Cardiovascular Medicine. 8th ed. Philadelphia, Pa: Saunders Elsevier; 2007:chap 40.
  3. Jordan J, Biaggioni I. Diagnosis and treatment of supine hypertension in autonomic failure patients with orthostatic hypotension, J Clin Hypertens (Greenwish). 2002; 4(2): 139-145.
Semakan Akhir : 2 Mac 2016
Penulis : Dr. Cheah Wee Kooi
Akreditor : Dr. Ainol Shareha Binti Sahar

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …