Sabtu , April 27 2024
msen
Utama > Renal > Etiologi (Renal) > Vesicoureteric Reflux (VUR)

Vesicoureteric Reflux (VUR)

Apa Itu VUR?

VUR berlaku apabila air kencing yang bertakung di pundi kencing mengalir balik ke salur kencing dan seterusnya ke dalam buah pinggang. Kekerapan VUR berlaku ialah 1 dalam setiap 100 individu.

4

Dalam keadaan biasa, air kencing akan bertakung di pundi kencing sebelum dikumuhkan dari badan. Kedua-dua salur kencing berhubung dengan pundi kencing melalui satu sistem injap khas yang akan memastikan aliran sehala air kencing (dari buah pinggang ke pundi kencing). Sistem injap ini mengelakkan air kencing dari mengalir secara songsang ke dalam buah pinggang semula.

Apabila mekanisme ini tidak berfungsi, air kencing boleh mengalir balik ke dalam salur kencing dan seterusnya buah pinggang. Fenomena ini dinamakan Vesicoureteric Reflux (VUR).

Bila VUR berlaku?

  • VUR kerap berlaku di kalangan kanak-kanak yang mempunyai sejarah keluarga VUR
  • VUR boleh juga berlaku di kalangan kanak-kanak yang mempunyai masalah seperti spina bifida atau kanak-kanak yang mempunyai masalah struktur sistem urinari yang lain seperti Posterior Urethral Valve.   

Petanda Klinikal VUR

Setiap individu yang menpunyai masalah VUR mungkin memaparkan petanda klinikal yang berlainan.  Anda dinasihati supaya mendapatkan pandangan professional dari doktor anda.

Petanda-petanda klinikal yang biasa dikesan ialah:

  • Jangkitan kuman dalam air kencing
  • Masalah kencing seperti aliran kencing yang tidak lawas, hilang upaya menahan kencing sehingga kencing dalam seluar ataupun kencing malam dan kerap kencing.
  • Bengkak di perut akibat buah pinggang yang bengkak
  • Peningkatan berat badan kanak-kanak tidak memuaskan
  • Tekanan darah tinggi

Kanak-kanak yang mempunyai masalah VUR mempunyai risiko jangkitan air kencing yang berulangan. Dengan jangkitan ulangan, jangkitan air kencing yang kerap boleh menyebabkan kesan parut dan kerosakan pada fungsi buah pinggang.

Bagaimana Diagnosa VUR Dibuat?

Cara spesifik untuk membuat diagnosis VUR adalah melalui ujian X-ray khas yang dikenali sebagai MCUG ataupun Micturating Cystourethrography.

2

Filem MCUG menunjukkan pengaliran air kencing ke dalam sistem saluran kencing dan kedua-dua buah pinggang kiri dan kanan.

Apakah Ujian MCUG?

Ujian MCUG ialah satu ujian X-Ray khas. Cecair  pewarna atau Contrast digunakan untuk pemeriksaan sistem urinari pesakit.  Adakalanya, kanak-kanak memerlukan agen penenang sebelum prosedur.

Tiub getah yang halus dimasukkan ke dalam pundi kencing melalui uretra dan cecair pewarna diberi melalui tiub tersebut. Sebaik sahaja pundi kencing dipenuhi dengan cecair pewarna, pesakit akan diarahkan supaya kencing dan filem X-ray diambil semasa dan selepas proses kencing.

Ujian ini dapat memberi gambaran aliran air kencing sama ada kesemuanya disingkirkan melalui uretra ataupun sebahagian mengalir dalam arah bertentangan (songsang) ke dalam salur kencing /buah pinggang (reflux).

Ujian MCUG akan memberi gambaran Gred VUR. Terdapat 5 gred; gred I paling kurang serius, manakala gred V paling serius. VUR boleh berlaku di sebelah atau di kedua-dua belah.

3

Rawatan

  • Sekiranya anak anda mengalami demam tanpa sebab; periksa sampel kencingnya untuk memastikan sama ada dia mengalami jangkitan kencing berkuman.  Rawatan antibiotik perlu di mulakan dengan segera sekiranya kencing berkuman.
  • Lazimnya, kanak-kanak yang mempunyai Gred I ke II VUR tidak memerlukan rawatan seterusnya tetapi perlu dipantau di klinik. Masalah refluk biasanya pulih dengan masa.
  • Kanak-kanak yang kerap mengalami jangkitan air kencing dan masalah VUR gred III ke atas adakalanya memerlukan rawatan antibiotik pencegah untuk jangka masa yang lama.
  • Kadang-kadang  pembedahan diperlukan untuk kes gred VUR yang teruk (gred IV atau V) yang sering mengalami jangkitan air kencing
  • Anda perlu berbincang dengan doktor anda tentang butiran lanjut pelan rawatan.

Rujukan:

  1. Children’s Hospital of Wisconsin. Vesicoureteric reflux (VUR). Diambil dari: http://www.chw.org/medical-care/urology/conditions/vesicoureteral-reflux/
  2. Gargollo, P.C., & Diamond, D.A. (2007). Therapy Insight: What nephrologists need to know about primary vesicoureteral reflux. Nature Clinical Practice Nephrology, 3, 551-563.
Semakan Akhir : 28 April 2016
Penulis : Dr. Lee Ming Lee
Akreditor : Dr. Wan Jazilah Wan Ismail