Selasa , November 21 2017
msen
Utama > Asma > Etiologi > Asma Pekerjaan

Asma Pekerjaan

Asma pekerjaan adalah asma yang bertambah teruk disebabkan oleh pendedahan kepada bahan tertentu di tempat kerja. Banyak bahan di tempat kerja boleh menyebabkan asma pekerjaan. Pencetus asma yang biasa termasuklan habuk kayu, habuk gandum, bulu binatang, kulat dan bahan kimia tertentu. Kekerapan kejadian asma pekerjaan tidak diketahui kerana banyak kes tidak dilaporkan. Data yang diterbitkan melaporkan peratusan asma pekerjaan dianggarkan antara 9-15% daripada asma di kalangan dewasa.

Golongan berisiko

Pekerja berikut adalah berisiko tinggi untuk mendapat asma pekerjaan:

  • Tukang menyembur cat
  • Tukang membuat roti
  • Jururawat
  • Pekerja kimia
  • Pekerja mengendali binatang
  • Tukang kimpal
  • Pekerja memproses makanan
  • Pekerja kayu balak

Tanda dan gejala asma pekerjaan

Gejala

Gejala asma pekerjaan termasuklan batuk, nafas berbunyi (wheezing), dada berasa ketat dan sesak nafas. Mata gatal, hidung tersumbat dan/atau hidung berair mungkin juga berlaku. Ini mungkin berkaitan dengan alahan atau reaksi terhadap iritasi daripada pendedahan kepada bahan pencetus di tempat kerja.

Pada amnya, asma pekerjaan perlu disyaki jika gejala bertambah teruk pada hari bekerja, bertambah baik apabila pekerja berada di rumah untuk satu tempoh (akhir minggu atau cuti) dan berlaku semula bila mereka balik ke tempat kerja.

Tanda

Anggota kesihatan perlu bertanya soalan berkaitan dengan sejarah perubatan dan menjalankan pemeriksaan fizikal. Gejala pesakit mungkin bertambah teruk apabila terdedah kepada bahan tertentu di tempat kerja.

Anggota kesihatan mungkin mendengar nafas berbunyi (wheezing) apabila mendengar dada pesakit dengan stetoskop.

Ujian

Ujian berikut boleh dilakukan :

  • Ukuran berulang peak expiratory flow rate (PEFR)
  • X ray dada
  • Ujian full blood count
  • Ujian fungsi paru-paru (spirometry)
  • Ujian alahan kulit atau ujian darah untuk mengesan IgE yang spesifik
  • Ujian bronchial provocation test (menilai respon saluran pernafasan terhadap bahan alahan yang disyaki)

Pada umumnya, maklumat yang diberi oleh pesakit adalah lebih berguna untuk membuat diagnosis asma pekerjaan. Sebahagian besar pekerja yang mempunyai gejala asma yang bertambah baik apabila meninggalkan tempat kerja atau bercuti mempunyai asma pekerjaan.

Komplikasi

Prognosis untuk pekerja dengan asma pekerjaan adalah lebih teruk untuk mereka yang masih terdedah melebihi tempoh setahun selepas gejala berlaku berbanding dengan mereka yang telah dialihkan daripada pendedahan dengan lebih awal. Jika asma pekerjaan tidak dikesan awal dan pekerja tidak dilindungi atau dialihkan daripada pendedahan, ia boleh mengakibatkan kerosakan yang berkekalan pada paru-paru mereka.

Selain daripada itu, orang dewasa yang mempunyai asma pekerjaan mungkin lebih susah mendapat pekerjaan berbanding dengan orang dewasa yang tiada asma pekerjaan.

Rawatan

Tujuan utama rawatan adalah dengan mengesan penyebab asma dan mengalihkan pekerja daripada pendedahan jika mungkin.

Pencegahan pendedahan

Pencegahan pendedahan terhadap bahan yang menyebabkan asma pekerjaan adalah rawatan yang terbaik. Langkah-langkah termasuklah :

  • Bertukar pekerjaan (ini adalah pilihan terbaik)
  • Penempatan semula dengan memindahkan pekerja ke tempat yang berlainan di mana kurang pendedahan kepada bahan pencetus
  • Dengan mengguna alat pelindung pernafasan (peralatan perlindungan peribadi) untuk melindungi atau mengurangkan pendedahan

Ubat-ubatan

Ubat-ubatan untuk asma (terutamanya ubat sedut) mungkin membantu pesakit untuk mengendali gejala asma. Ini termasuklah :

  • Ubat sedut pelega asma – untuk mengendurkan otot pada saluran pernafasan dan melegakan gejala asma akut
  • Ubat sedut pengawal asma – digunakan setiap hari untuk mencegah serangan asma

Asma pekerjaan mungkin bertambah teruk jika pekerja terus terdedah kepada bahan yang menyebabkan serangan asma, walaupun ubat asma mungkin membantu melegakan gejala.

Pada umumnya, prognosis untuk pekerja yang mempunyai asma pekerjaan adalah bagus jika dikesan pada peringkat awal dan mengelak pendedahan yang berterusan. Ia memberi peluang untuk sembuh dengan sepenuhnya.

Pencegahan

Pencegahan gejala asma dengan pengurangan pendedahan terhadap pencetus asma di tempat kerja adalah langkah paling penting yang boleh diambil oleh pekerja untuk mengurangkan kejadian asma pekerjaan. Adalah penting untuk menggunakan ubat asma yang sesuai untuk mencegah dan mengawal gejala asma. Jika untuk pekerjaan tertentu di mana pendedahan terhadap pencetus asma tidak dapat dielakkan, majikan perlu membantu pekerja dalam mencari tempat kerja yang lebih sesuai.