Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Fakta dan Mitos > Tekanan Darah Tinggi Tidak Dapat Dielakkan

Tekanan Darah Tinggi Tidak Dapat Dielakkan

Pengenalan

Adakah anda bimbang mengenai tekanan darah tinggi disebabkan oleh pengalaman anda atau seseorang terdekat yang sedang mengalami masalah ini? Kebimbangan anda mengenai tekanan darah tinggi (juga dikenali sebagai hipertensi) adalah wajar kerana jika dibiarkan, keadaan ini boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan lain seperti masalah buah pinggang, sakit jantung dan angin ahmar. Anda boleh mengambil langkah-langkah pencegahan daripada membiarkan masalah ini daripada memudaratkan kesihatan anda atau mereka yang terdekat dengan mendapatkan maklumat-maklumat sahih mengenai masalah tekanan darah tinggi. Langkah pertama adalah untuk mengetahui fakta-fakta benar dan palsu mengenai keadaan ini. Lima daripada salah tanggapan umum mengenai masalah tekanan darah tinggi adalah seperti berikut:

  • Tekanan darah tinggi bukanlah masalah besar.
  • Tekanan darah tinggin tidak boleh dielakan.
  • Tekanan darah adalah terdiri daripada dua nombor: saya tidak mengalami tekanan darah tinggi sekiranya cuma satu daripada bacaan tekanan darah saya tinggi.
  • Salah tanggapan mengenai rawatan tekanan darah tinggi.
  • Rawatan tekanan darah tinggi adalah tidak berkesan.

Tekanan Darah Tinggi Tidak Dapat Dielakkan

Masalah tekanan darah tinggi adalah masalah yang umum. Ibu bapa anda mungkin mengalami masalah ini. Dengan usia yang semakin meningkat, anda mungkin juga berisiko. Oleh itu, anda mungkin merasakan bahawa tekanan darah tinggi adalah tidak dapat dielakkan atau sebarang langkah pencegahan, tidak berguna.

Pendapat di atas cuma separuh benar. Berikut adalah faktor risiko tekanan darah tinggi yang tidak boleh dimodifikasikan:

  • Umur: risiko tekanan darah tinggi meningkat dengan peningkatan usia.
  • Sejarah keluarga: faktor keturuanan meningkatkan risiko tekanan darah tinggi.
  • Faktor perkauman: Faktor perkauman telah dikenal pasti sebagai satu daripada faktor risiko di negara barat. Walau bagaimanapun, hubungan di antara faktor perkauman dan tekanan darah tinggi untuk masyarakat Malaysia tidak begitu ketara. Perbezaan insiden tekanan darah tinggi di antara pelbagai kaum di negara ini yang ditunjukkan oleh beberapa kajian tempatan, mungkin adalah berpunca daripada interaksi genetik, persekitaran dan gaya hidup.

Adalah benar bahawa faktor di atas adalah faktor yang tidak boleh dimodifikasi dan tidak banyak yang kita boleh lakukan untuk mengubahnya. Walau bagaimanapun, sebelum sebarang kesimpulan dibuat, berita baik megenai masalah tekanan darah tinggi adalah terdapat pelbagai faktor risiko lain yang boleh di modifikasi. Berikut adalah langkah yang boleh anda ambil untuk mencegah atau mengurangkan risiko masalah tekanan darah tinggi:

  • Kekalkan berat badan di tahap yang sihat. Apabila berat badan seseorang meningkat, lebih isi padu darah diperlukan untuk menampung keperluan oksigen dan nutrisi tisu badan. Peningkatan isi padu darah yang mengalir di dalam badan meningkatkan tekanan terhadap dinding-dinding saluran darah. Tekanan ini akan mengakibatkan kerosakan kepada dinding saluran darah, dan seterusnya meninkatkan risiko untuk menghidap penyakit tekanan darah tinggi. Berat badan yang berlebihan juga meingkatkan risiko penyakit kardiovaskular seperti penyakit sakit jantung dan angin ahmar. Anda boleh mengekalkan berat badan di tahap yang sihat dengan mengamalkan cara pemakanan yang sihat dan bersenam. Untuk masyarakat Malaysia, Indeks jisim badan (BMI) yang ideal adalah di antara 18.5 ke 23.5 kg/m2. Malahan, tanpa mengambil kira berat badan anda sekarang, pengurangan sebanyak 4.5kg akan mengurangkan tekanan darah dengan ketara.
Indeks Jisim Badan (BMI) = [Berat (kg)/(Tinggi (m) x Tinggi (m))]
  • Bersenam selalu. Orang yang tidak aktif daripada segi fisikal akan menpunyai nadi denyutan jantung yang lebih tinggi. Ini bermakna bahawa jantung perlu mengepam dengan lebih kerap dan bekerja lebih kuat. Stres yang dialami oleh jantung akan disalurkan kepada dinding saluran darah dengan setiap denyutan jantung dan seterusnya meningkatkan risiko tekanan darah tinggi. Kekurangan aktiviti fizikal juga boleh mengakibatkan peningkatan berat badan. Oleh itu, pilihlah gaya hidup yang aktif. Cuba lakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari. Senaman juga dapat mengurangkan stress dan dapat membantu anda mencapai berat badan yang ideal.
  • Gaya pemakanan yang sihat. Gaya pemakanan yang tidak sihat meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular. Kalori berlebihan akan mengakibatkan peningkatan berat badan. Oleh itu, anda boleh pilih untuk mengekalkan kesihatan dengan mengambil kuantiti makanan yang secukupnya dan memilih makanan yang tinggi kandungan nutrisi serta redah kandungan lemak, gula dan garam.
  • Hadkan pengambilan garam. Anda perlu fokus kepada pengambilan garam (sodium) sekiranya anda sedang mengambil langkah untuk mengurangkan tekanan darah, Garam berlebihan akan menyebabkan badan memerangkap air badan berlebihan. Akibatnya, peningkatan isipadu darah akan berlaku. Peningkatan isipadu darah akan meningkatkan tekanan terhadap dinding saluran darah dan seterusnya meningkatkan risiko tekanan darah. Kebanyakan pengambilan sodium adalah dalam bentuk garam (garam sodium klorida, NaCl atau garam monosodium glutamate, MSG). Kandungan garam berlebihan dalam makanan berpunca daripada penambahan garam di meja makan atau semasa pemprosesan atau penyediaan makanan. Secara amnya, anda seharusnya mengambil kurang daripada 100 mmol sodium atau 6 gram garam meja (sodium klorida) sehari (bersamaan dengan ¼ sudu teh garam sodium klorida atau 3 sudu teh garam monosodium glutamate).
  • Mengoptimakan pengambilan potasium dalam pemakanan. Potasium membantu dalam keseimbangan kandungan sodium badan. Kekurangan potasium akan mengakibatkan peningkatan kandungan sodium badan. Anda seharusnya mengambil potasium yang secukupnya kecuali untuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang menghadkan pengambilan potasium; masalah seperti penyakit buah pinggang. Bertanyalah kepada doktor atau pakar ditetik mengenai keperluan potasium anda.
  • Hadkan pemgambilan minuman beralkohol. Bagi yang bukan beragama Islam, hadkan pengambilan minuman alkohol. Pengambilan minuman alkohol yang berlebihan untuk jangka masa panjang boleh mencederakan hati dan jantung. Bagi mereka yang memerlukan rawatan tekanan darah tinggi, hati yang tercedera akan menghadkan pilihan ubat-ubatan yang boleh diambil. Sekiranya anda mengambil minuman beralkohol, praktiskan kesederhanaan. Bagi golongan wanita yang sihat, hadkan minuman alkohol kepada satu minuman sehari, tanpa mengira usia. Bagi golongan lelaki, hadkan kepada satu minuman sehari untuk mereka yang berusia 65 tahun ke atas, dan hadkan kepada dua minuman sehari untuk mereka yang berusia 65 tahun ke bawah.
  • Elakan merokok. Tekanan darah akan meningkat secara serta-merta untuk satu jangka pendek, sejurus selepas sesorang itu merokok. Bagi jangka masa panjang, toksin dan bahan kimia di dalam rokok akan mencederakan dinding saluran darah. Dinding saluran darah yang tercedera akan mengeras dan meningkatkan risiko mendapat tekanan darah tinggi. Merokok juga meningkatkan risiko darah tinggi di kalangan mereka yang anda kasihi melalui pendedahan sekunder kepada asap rokok. Oleh itu, ambillah langkah untuk berhenti merokok hari ini, biar untuk diri sendiri, ataupun untuk meraka yang anda kasihi. Dapatkan nasihat profesional untuk membantu anda. Sekiranya anda tidak mempunyai tabiat merokok, kurangkan pendedahan sekunder kepada asap rokok.
  • Kendalikan tekanan hidup anda. Tekanan hidup yang tinggi boleh menyebabkan peningkatan sementara dalam tekanan darah. Pengendalian tekanan hidup dengan cara yang tidak sihat seperti meningkatkan pengambilan makanan, pengunaan rokok atau minuman beralkohol boleh meningkatkan lagi tekanan darah yang sedia ada. Bahan kimia dan hormon stres akan dilepaskan ke dalam sistem badan semasa sesorang itu mengalami stres. Bahan kimia dan hormon ini akan menyebabkan jantung berdenyut dengan lebih cepat dan lebih kuat, sementara saluran darah akan mengecut. Bagi jangka masa panjang, proses ini akan mencederakan dinding saluran darah anda, dan seterusnya, tekanan darah tinggi akan menjadi berkekalan. Oleh itu, belajarlah untuk mengatasi tekanan hidup dengan cara yang sihat seperti meluahkan perasaan kepada orang yang terdekat, mendengarkan muzik atau melakukan senaman. Sekiranya, anda tidak dapat mengendalikan stres atau tekanan hidup dengan sendiri, dapatkan bantuan nasihat daripada profesional.
  • Keadaan kesihatan kronik tertentu. Masalah kesihatan tertentu boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat masalah tekanan darah tinggi. Di antara masalah kesihatan yang berkaitan adalah seperti masalah buah pinggan dan tidur berdengkur. Baca mengenai gejala-gejala masalah kesihatan ini. Sekiranya anda mempunyai gejala-gejala yang terlibat, dapatkan pemeriksaan daripada pakar perubatan yang bertauliah untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya. Kadang-kadang, tekanan darah akan menjadi normal atau pengawalan tekanan darah menjadi lebih senang, selepas masalah kesihatan yang terlibat dirawat.
  • Kandungan vitamin D di dalam pemakanan yang tidak mencukupi. Sehingga hari ini, masih terdapat banyak persoalan mengenai kaitan di antara vitamin D dan tekanan darah. Vitamin D adalah penting untuk fungsi sejenis enzim yang bertanggungjawab dalam kawalan tekanan darah seseorang. Walau bagaimanapun, yang pasti, vitamin D penting untuk kesihatan tulang dan fungsi badan yang lain. Oleh itu, dapatkan vitamin D yang secukupnya di dalam pemakanan anda.

Apakah Langkah-Langkah Yang Perlu Diambil?

  • Kenal pasti faktor-faktor risiko anda. Bahagikan faktor-faktor yang dikenal pasti kepada faktor-faktor yang boleh dimodifikasi dan tidak boleh dimodifikasi.
  • Ambil langkah untuk mengurangkan faktor risiko yang boleh dimodifikasi, bermula dari hari ini. Kurangkan risiko ini seberapa banyak yang mungkin.
  • Sekiranya anda berumur 30 tahun ke atas, lakukan pemeriksaan tekanan darah setiap tahun. Sekiranya anda mempunyai bacaan tekanan darah yang normal, sambungkan pemeriksaan tahunan ini.
  • Lakukan pemeriksaan tekanan darah dengan lebih kerap sekiranya anda mempunyai risiko kardiovaskular yang tinggi. Kekerapan pemeriksaan tekanan darah adalah bergantung kepada ketinggian dan kestabilan bacaan tekanan darah anda. Dapatkan nasihat daripada doktor.
  • Lakukan pemeriksaan tekanan darah sendiri di rumah sekiranya anda memerlukan pemeriksaan tekanan darah yang kerap.

Kesimpulan

  • Tekanan darah tinggi adalah satu masalah kesihatan kronik.
  • Faktor risiko tekanan darah tinggi boleh dibahagikan kepada faktor risiko yang boleh dimodifikasi dan tidak boleh dimodifikasi.
  • Ambil langkah pencegahan untuk mengatasi faktor risiko yang boleh dimodifikasi, bermula dari hari ini.

Rujukan

  1. Loh K.W., Rani F., Chan T.C., et al (2013). The association between risk factors and hypertension in Perak, Malaysia. Med J Malaysia 64(4): 291-296.
  2. National Health and Morbidity Survey (NHMS III) 2006.
  3. Rahman, A.R., Bavanandan, S., Kamaruddin, A.S., et al. (2008). Clinical Practice Guidelines: Management f hypertension (3rd ed. 2008): Ministry of Health Malaysia.
Semakan Akhir : 2 Mac 2016
Penulis : Dr. Cheah Wee Kooi
Akreditor : Dr. Ainol Shareha Binti Sahar

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …