Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Asma > Asma & Merokok: Bagaimana Untuk Mencegah

Asma & Merokok: Bagaimana Untuk Mencegah

Apa itu Asma?

Asma adalah penyakit paru-paru kronik yang menyebabkan kesukaran bernafas secara berulang. Gejala asma adalah disebabkan oleh keradangan kronik pada saluran pernafasan. Ini menjadikan saluran pernafasan pesakit asma sangat sensitif terhadap pelbagai faktor pencetus.

Apabila keradangan saluran pernafasan dicetuskan oleh faktor pencetus luaran atau dalaman, saluran pernafasan akan membengkak dan dipenuhi oleh lendir. Otot pada saluran pernafasan akan mengecut dan mengakibatkan penyempitan saluran pernafasan. Saluran pernafasan yang sempit menyukarkan udara untuk disedut masuk dan dihembus keluar dari paru-paru dan ia boleh mengakibatkan pelbagai gejala asma.

Bagaimana asap rokok berkaitan dengan asma?

Asap tembakau termasuk asap rokok pasif adalah salah satu pencetus utama gejala asma. Malah, pendedahan kepada asap rokok pasif /asap rokok persekitaran adalah lebih berbahaya daripada merokok sebenarnya.

Bagaimana asap rokok boleh dielakkan?

Pesakit asma perlu dinasihati tentang bahaya merokok kepada diri mereka sendiri dan anak-anak mereka dengan asma dan sokongan yang sesuai untuk berhenti merokok perlu ditawarkan.Pesakit boleh mengurangkan risiko asma menjadi semakin teruk dengan mengelakkan pendedahan kepada asap rokok.Beberapa cadangan termasuklah:

  • Berhenti merokok jika anda seorang perokok. Berhenti merokok adalah satu proses yang sukar tetapi terdapat banyak program berhenti merokok dan kaedah yang boleh membantu.
  • Jika pasangan anda atau ahli keluarga yang lain merokok, bantu mereka untuk memahami bahaya merokok dan galakkan mereka untuk berhenti merokok.
  • Pastikan rumah anda bebas asap rokok sepenuhnya dengan meminta tetamu untuk tidak merokok di dalam rumah.
  • Jangan merokok atau membenarkan orang lain untuk merokok di dalam kereta dan membuka tingkap kereta tidak melindungi anda daripada bahaya asap rokok.
  • Elakkan tempat-tempat awam seperti pub, bar, kafe dan restoran yang membenarkan orang merokok.
  • Tidak membenarkan sesiapa merokok berhampiran dengan anda, pasangan atau anak-anak anda.
  • Pastikan pusat-pusat jagaan harian dan sekolah anak-anak anda adalah bebas daripada asap rokok.
  • Ajar anak-anak anda untuk menjauhkan diri dari asap rokok dan menjadi contoh yang baik dengan tidak merokok.

Apakah yang perlu dilakukan apabila anda tidak boleh mengelakkan tempat-tempat yang berasap rokok?

    • Anda mungkin perlu mengubahsuai pelan pengurusan asma dengan menggunakan lebih ubat pencegah dan pelega.
    • Sentiasa membawa ubat pelega dengan anda setiap kali anda melawat tempat yang berasap rokok.

Jika saya berhenti merokok, apakah faedah yang saya boleh perolehi?

  • Berhenti merokok mengurangkan risiko untuk mencetuskan serangan asma, maka boleh mengurangkan gejala asma dan penggunaan ubat pelega asma.
  • Meningkatkan fungsi paru-paru sama ada anda mempunyai asma atau tidak. Kerosakan kepada saluran pernafasan oleh asap tembakau biasanya tidak boleh dipulihkan tetapi  tidak terlambat untuk berhenti merokok.
  • Dalam masa beberapa minit selepas berhenti, badan anda akan berasa banyak faedah seperti mempunyai lebih banyak tenaga, bernafas dengan lebih mudah, makanan berbau dan berasa lebih enak.
  • Faedah jangka panjang berhenti merokok termasuklah mengurangkan risiko serangan jantung dan strok, meningkatkan peredaran darah, mengurangkan masalah sinus dan batuk.

Bagaimanakah gejala asma apabila pesakit berhenti merokok pada mulanya?

Gejala asma kadang-kadang boleh menjadi lebih teruk apabila pesakit berhenti merokok pada mulanya. Ini kerana selepas berhenti merokok, paru-paru mula berfungsi dengan baik dengan pembersihan habuk atau asap dari saluran pernafasan.

Perubahan ini seterusnya boleh mengakibatkan iritasi pada saluran pernafasan, menyebabkan lebih batuk dan menjadikan asma lebih teruk untuk tempoh yang singkat. Apa yang perlu dilakukan termasuk:

  • Jika gejala asma menjadi lebih teruk selepas berhenti merokok, mendapatkan temujanji dengan doktor anda untuk menyemak semula gejala dan rawatan asma.
  • Kadang-kadang anda mungkin perlu mengambil ubat steroid untuk jangka pendek atau mendapat rawatan asma lain untuk memastikan gejala asma terkawal.

Keadaan ini akan bertambah baik selepas beberapa ketika dan anda akan mula merasakan kawalan asma bertambah baik.

Kenyataan tentang berhenti merokok·

  • Kebanyakan orang tahu tentang bahaya merokok tetapi tidak mudah untuk berhenti merokok kerana nikotin boleh menyebabkan ketagihan.
  • Walaubagaimanapun, adalah mungkin untuk berhenti merokok dan ramai orang berjaya berhenti merokok dengan atau tanpa bantuan.
  • Memahami bahawa mereka yang cuba untuk berhenti merokok mungkin perlu membuat beberapa percubaan sebelum berhenti dengan jayanya.
  • Pertimbangkan apa yang telah dilakukan sebelum ini tetapi gagal dan apa yang anda boleh lakukan sekarang untuk memastikan percubaan berhenti seterusnya berjaya.

Bagaimana untuk menghentikan tabiat merokok?

Berhenti merokok terutamanya jika anda atau ahli keluarga anda mempunyai asma, adalah salah satu langkah terbaik yang perlu dilakukan untuk mengelakkan serangan asma dan meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan mereka.

Empat langkah untuk berhenti merokok termasuklah:

  1. Memahami tabiat merokok anda
    • Menyimpan diari mengenai bila, di mana dan mengapa anda merokok.
    • Dengan mengetahui situasi yang menyebabkan anda merokok akan membantu anda merancang bagaimana boleh mengelakkan situasi tersebut.
  2. Mengetahui kenapa anda mahu berhenti
    • Senaraikan sebab-sebab mengapa anda ingin berhenti merokok.
    • Apabila anda telah menulis senarai tersebut, simpan dengan baik untuk mengingatkan anda apakah faedah berhenti merokok.
    • Lihat senarai tersebut setiap kali anda teringat untuk merokok lagi.
  3. Gunakan perkhidmatan berhenti merokok yang tersedia
    • Perkhidmatan ini disediakan oleh kemudahan kesihatan swasta dan kerajaan dan mereka boleh memberi sokongan dan nasihat kepada anda tentang cara untuk berhenti merokok.
    • Anda lebih berpeluang untuk berhenti dengan jayanya dan menjauhkan diri daripada merokok jika anda mempunyai sokongan yang baik.
  4. Tetapkan dan patuhi tarikh berhenti merokok
    • Selepas menghisap rokok terakhir anda, buang pemetik api, tempat abu rokok dan semua rokok.
    • Mula memikirkan diri anda sebagai seorang yang bukan perokok dan kekal dengan percubaan berhenti merokok anda.

(Rujuk kepada Portal Tak Nak mengenai rawatan bukan farmakologi dan rawatan farmakologi untuk berhenti merokok)

Kesimpulan

Asap rokok adalah pencetus utama asma yang boleh memburukkan lagi gejala asma. Orang yang merokok dan juga mempunyai asma akan mempunyai kawalan asma yang lebih teruk, lebih banyak kerosakan pada saluran pernafasan dan kehilangan fungsi paru-paru dengan lebih cepat . Asap rokok pasif juga merupakan pencetus bagi orang dengan asma. Oleh itu, adalah penting bagi pesakit asma untuk berhenti merokok atau mengelakkan pendedahan kepada asap rokok pasif untuk mencegah serangan asma yang teruk.

Rujukan

  1. Centers for Disease Control and Prevention. Asthma: Common Asthma Triggers [last updated 2012 Aug 20; accessed 2014 August 28].
  2. Centers for Disease Control and Prevention. Secondhand smoke and asthma. http://www.cdc.gov/tobacco/campaign/tips/secondhand-smoke-asthma.html [accessed 2014 August 28].
  3. Asthma Foundation. Smoking and asthma. http://www.asthmaaustralia.org.au/Smoking. [accessed 2014 August 28]
  4. American Academy of Allergy, Asthma & Immunology: No Butts About It: Smoking Makes Asthma Worse. Updated May 15, 2013 Worse.” http://quitsmoking.about.com/cs/nicotinepatch/a/asthma.htm. [accessed 2014 August 28]
  5. Asthma UK. Smoking with asthma. www.asthma.org.uk/knowledge-bank-living-with-asthma-smoking. [accessed 2014 August 28]
  6. Ministry Of Health Malaysia. Clinical Practice Guidelines For Management Of Adult Asthma 2002.
  7. Global Strategy for Asthma Management and Prevention: Global Initiative for Asthma (GINA) (Updated 2014)
  8. British Thoracic Society. British Guideline on the Management of Asthma-a national guideline 2008.
Semakan Akhir : 12 September 2017
Penulis : Dr. Ho Bee Kiau
Terjemahan : Dr. Ho Bee Kiau
Akreditor : Dr. Jamalul Abdul Rahaman

Baca Juga

Asma yang dicetuskan oleh senaman

Asma yang dicetuskan oleh senaman berlaku kerana penyempitan atau pengecilan saluran pernafasan susulan daripada aktiviti …