Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Hipotensi Postur

Hipotensi Postur

Apakah Itu Hipotensi Postur?

Hipotensi postur berlaku apabila terdapat penurunan tekanan darah dengan mendadak semasa pertukaran postur daripada posisi baring ke posisi berdiri.

Apabila ini berlaku, anda mungkin akan berasa pening dan kadang-kadang mengakibatkan pengsan. Gejala ini mungkin berlaku dengan serta-merta selepas pertukaran postur, atau 5 hingga 10 minit selepas pertukaran postur.

Apakah Punca Hipotensi Postur?

Hipotensi postur mungkin berlaku disebabkan oleh punca-punca tertentu. Punca-punca tersebut adalah seperti berikut:

  • Badan anda kekurangan kandungan air. Ini mungkin berlaku jika anda tidak mengambil air yang cukup, mengeluarkan terlalu banyak air kencing atau jika anda kehilangan sejumlah besar darah.
  • Orang yang berisiko adalah:
  1. Orang yang mempunyai penyakit yang menjejaskan saraf mereka dan/atau hormon yang mengawal pengecutan saluran darah.
  2. Pesakit yang mempunyai jantung yang lemah.
  3. Kanak-kanak yang menghidap penyakit cirit-birit yang teruk.
  4. Orang yang mengambil ubat-ubatan yang meningkatkan jumlah pengeluaran air kencing.
  5. Warga emas tidak dapat mengesan rasa dahaga dengan sempurna. Oleh itu, mereka tidak akan minum air yang mencukupi walaupun badan kekurangan air.
  6. Semasa demam Anda mungkin kehilangan cecair badan berlebihan melalui berpeluh.
  7. Jika anda mengambil ubat-ubatan tertentu seperti ubat tekanan darah, ubat untuk prostat dan ubat yang meningkatkan pengeluaran air kencing anda.
  8. Orang yang mempunyai penyakit yang menjejaskan kawalan tekanan darah postur seperti diabetes dan penyakit Parkinson.
  9. Orang yang sihat juga mungkin mempunyai masalah hipotensi postur. Warga emas, mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding dengan orang muda disebabkan oleh perubahan normal fisiologi badan.

Apakah Yang Anda Akan Rasa Semasa Mengalami Hipotensi Postur?

Apabila anda duduk atau berdiri dari posisi berbaring, anda mungkin mengalami tanda-tanda berikut:

  • Rasa pening
  • Penglihatan yang kabur
  • Badan lemah
  • Rasa hendak pengsan
  • Pengsan

Komplikasi: Apakah Akibatnya Yang Akan Terjadi Sekiranya Anda Tidak Mendapatkan Rawatan Segera?

Rasa pening boleh mengganggu kualiti hidup anda.

Anda mungkin pengsan dan jatuh. Seterusnya anda boleh mendapat kecederaan jika jatuh seperti:

  • Kecederaan pada otot dan kulit
  • Patah tulang
  • Pendarahan dalam otak (orang yang berisiko adalah warga emas atau pesakit yang mengambil ubat-ubatan yang boleh mengganggu proses pembekuan darah seperti ubat ‘pencair darah’

Haruskah Saya Dapatkan Nasihat Perubatan?

Ya! Jika anda berasa pening atau pengsan apabila anda berdiri, anda perlu dapatkan nasihat jururawat atau doktor.

Apakah Ujian Yang Mungkin Dilakukan Semasa Berjumpa Doktor?

Biasanya diagnosa dan punca hipotensi postur boleh didapati dengan sejarah terperinci yang diperoleh daripada anda. Oleh itu, beritahu doktor anda tentang kejadian yang anda alami (sebelum, semasa dan selepas) dengan setepat yang mungkin.

Terdapat beberapa ujian asas yang mungkin diperlukan:

  • Ukuran tekanan darah dan nadi semasa anda sedang duduk atau berbaring. Ukuran ini diulangi selepas anda mengubah postur anda kepada posisi berdiri. Tekanan darah semasa berdiri mungkin diulangi pada 3 minit, 5 minit dan 10 minit sekiranya bacaan awal tidak menunjukkan penurunan tekanan darah.
  • Ujian darah untuk memeriksa sel darah merah. Kehilangan darah yang keterlaluan boleh menyebabkan hipotensi postur.
  • Ujian darah untuk memeriksa keseimbangan kimia dalam badan anda.

Dalam kes-kes tertentu, ujian yang lebih terperinci seperti ujian pemeriksaan fungsi jantung akan diperlukan.

Apa Yang Boleh Saya Lakukan Di Rumah?

Jika anda adalah orang berisiko (mengambil ubat-ubatan yang merendahkan tekanan darah anda, kumpulan umur yang lebih tua), anda dinasihatkan untuk mengukur tekanan darah anda di rumah sendiri. Ini dapat dilakukan dengan alat pengukur tekanan darah automatik.

Anda perlu memeriksa tekanan darah pada posisi duduk dan berdiri.

Bacaan yang tidak normal bermakna penurunan:

  • 20 mmHg bacaan atas (sistolik) dan/atau
  • 10 mmHg bacaan bawah (diastolik)

Sekiranya terdapat sebarang keraguan, dapatkan nasihat perubatan daripada doktor anda.

Bagaimana Hipotensi Postur Dirawat?

Langkah awal dalam rawatan hipotensi postur adalah untuk mengenal pasti punca masalah dan merawat punca tersebut.

  • Jika anda mengambil ubat-ubatan yang boleh mengurangkan tekanan darah, penyelarasan dos atau penukaran ubat kepada yang ubat yang lebih sesuai akan dilakukan. Ubat yang boleh menyebabkan hipotensi postur adalah seperti ubat tekanan darah tinggi, ubat-ubatan untuk masalah jantung, ubat untuk kemurungan dan ubat-ubatan untuk penyakit prostat. JANGAN sesekali hentikan ubat tekanan darah secara tiba-tiba dengan sendiri tanpa terlebih dahulu berunding dengan doktor anda.
  • Jika anda mengalami cirit-birit atau muntah yang teruk dan anda tidak dapat untuk menggantikan kehilangan cecair yang berterusan melalui minum, anda mungkin perlu dimasukkan ke hospital. Cecair akan diberikan secara langsung ke dalam badan anda melalui saluran darah (intravena).

Terdapat ubat yang merawat hipotensi postur secara langsung. Ia hanya akan diperlukan dalam keadaan tertentu. Tanya doktor anda.

Bagaimana Saya Boleh Mencegah Atau Mengurangkan Gejala?

Terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan sendiri untuk mengurangkan gejala hipotensi postur. Sentiasa berbincang dengan doktor anda terlebih dahulu kerana punca-punca tertentu hipotensi postur boleh dirawat.

Nasihat-nasihat adalah seperti berikut:

  • Bangun secara perlahan daripada posisi duduk atau berbaring bagi memberi badan anda masa yang cukup untuk menyesuaikan diri. Ini adalah penting terutamanya apabila anda bangun dan turun dari katil pada waktu pagi kerana badan anda telah berada pada posisi baring untuk masa yang lama.
  • Kemudian biarkan kaki anda tergantung turun daripada sebelah katil.
  • Semasa berdiri, pastikan ada sesuatu yang stabil berdekatan dengan anda untuk dipegang sekiranya anda mula berasa pening.
  • Elakkan aktiviti berat yang boleh membawa kepada peluh berlebihan semasa cuaca panas.
  • Minum air yang mencukupi.
  • Elakkan minum minuman beralkohol berlebihan.

Dalam keadaan yang lebih teruk:

  • Meninggikan kepala katil anda boleh mengurangkan perubahan dalam tekanan darah apabila anda berdiri di waktu pagi.
  • Pemakaian stokin ketat khas dapat membantu untuk mengepam darah dari kaki anda ke keseluruhan badan. Ini dapat mengurangkan gejala hipotensi postur. (Dapatkan nasihat doktor mengenai kesesuaian kaedah ini untuk anda)

Rujukan

  1. Gibbons, C.H. & Freeman, R.(2006). Delayed orthostatic hypotension: a frequent cause of orthostatic intolerance. Neurology , 67, 28.
  1. Gupta, V. & Lipsitz, L.A. (2007). Orthostatic hypotension in the elderly: diagnosis and treatment. Am J Med,120,841.
  2. Kaufmann, H. (1996). Consensus statement on the definition of orthostatic hypotension, pure autonomic failure and multiple system atrophy. Clin Auton Res, 6, 125.
  1. Robertson, D. & Robertson, M.(1994). Causes of chronic orthostatic hypotension. Arch Intern Med,154,1620.
  1. Rutan, G.H., Hermanson, B., Bild, D.E., et al.(1992) Orthostatic hypotension in older adults. The Cardiovascular Health Study. Hypertension, 19, 508.
Semakan Akhir : 15 Februari 2013
Penulis : Dr. Cheah Wee Kooi
Akreditor : Dr. Lee Fatt Soon

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …