Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Asma > Kemahiran > Isu-isu Khas Asma > Asma Pekerjaan: Bagaimana Untuk Mencegah

Asma Pekerjaan: Bagaimana Untuk Mencegah

Pengenalan

Asma pekerjaan adalah asma yang disebabkan oleh atau bertambah teruk disebabkan oleh pendedahan kepada bahan pencetus tertentu di tempat kerja. Banyak bahan di tempat kerja boleh menyebabkan asma pekerjaan. Kekerapan kejadian asma pekerjaan adalah tidak diketahui disebabkan oleh kejadian kurang dilaporkan. Asma pekerjaan sepatutnya dikesan awal supaya pekerja boleh dilindungi atau dialihkan daripada pendedahan sebelum kerosakan paru-paru yang berkekalan terjadi.

Pencegahan asma pekerjaan

Tiga komponen utama langkah-langkah pencegahan termasuklah:

  1. Pencegahan Primer
  • Bertujuan untuk mencegah kejadian penyakit, selalunya dengan mengurangkan atau mengelakkan sama sekali pendedahan terhadap agen pencetus di tempat kerja. Ini adalah langkah yang paling berkesan untuk mengawal dan mencegah pendedahan sama sekali dengan menggantikan bahan pencetus dengan bahan yang kurang merbahayakan melalui pengubahan cara kerja dan langkah penjagan kebersihan diri.
  • Peralatan perlindungan pernafasan seperti penutup muka mempunyai peranan jika pengawalan punca tidak boleh dilakukan. Ia boleh memberi perlindungan jika ia digunakan dengan betul, ditanggalkan dengan cara selamat, diganti dan sentiasa dipastikan dalam keadaan baik.
  1. Pencegahan Sekunder

Pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk asma pekerjaan adalah bertujuan untuk mengesan penyakit pada peringkat awal dan pada tahap yang masih boleh dipulihkan. Langkah-langkah biasanya digunakan untuk mengesan kes asma pekerjaan adalah dengan soalan saringan masalah pernafasan, ujian spirometry, pengesanan IgE yang spesifik dan ujian alahan kulit (skin prick test).

  1. Pencegahan Tertiari

Pencegahan tertiari bertujuan untuk mencegah gejala daripada bertambah teruk dengan pengesanan awal asma pekerjaan dan pengalihan awal daripada pendedahan dan pekerja sepatutnya dirawat sebagai kes asma pekerjaan.

Rawatan

Tujuan utama rawatan adalah untuk mengenalpasti penyebab dan mengalihkan pekerja daripada pendedahan jika mungkin. Pencegahan gejala asma dengan pengurangan pendedahan kepada bahan pencetus di tempat kerja adalah langkah yang paling penting untuk mengurangkan kejadian asma pekerjaan. Adalah juga penting untuk menggunakan ubat asma yang sesuai untuk mencegah dan mengawal gejala asma.

Pencegahan pendedahan

Pencegahan pendedahan terhadap bahan pencetus yang boleh menyebabkan asma pekerjaan adalah rawatan yang paling berkesan. Langkah-langkah pencegahan termasuklah:

  • Bertukar pekerjaan
  • Jika untuk pekerjaan tertentu, pendedahan kepada pencetus asma tidak dapat dielakkan, majikan perlu membantu pekerja mencari tempat kerja yang lebih sesuai di mana kurang pendedahan terhadap bahan pencetus
  • Penggunaan pelindung pernafasan untuk melindungi dan mengurangkan pendedahan

Ubat-ubatan

Ubat asma (terutamanya ubat sedut) mungkin membantu pesakit menangani gejala mereka. Ini termasuklah:

  • Ubat sedut pelega asma – membantu untuk mengendurkan otot saluran pernafasan dan melegakan gejala akut asma
  • Ubat sedut pengawal asma – perlu digunakan setiap hari untuk mencegah serangan asma

Kesimpulan

Pada umumnya, prognosis pekerja dengan asma pekerjaan adalah bagus dengan pengesanan awal dan pencegahan pendedahan yang awal. Ia memberi peluang untuk sembuh sepenuhnya. Walaubagaimanapun, asma pekerjaan mungkin bertambah teruk jika pekerja terus terdedah kepada bahan pencetus yang boleh mengakibatkan serangan asma, walaupun ubat asma boleh membantu melegakan gejala asma.