Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Asma > Pencegahan > Vaksinasi

Vaksinasi

Pengenalan

Vaksinasi ialah satu proses pemberian suatu bahan (vaksin) yang boleh merangsangkan daya tahan badan seseorang untuk melawan kuman tertentu. Seseorang itu akan mempunyai daya tahan terhadap penyakit tertentu dan seterusnya mencegah daripada mendapat jangkitan penyakit tersebut. Oleh itu, vaksin boleh mencegah morbiditi dan kematian yang berpunca daripada penyakit berjangkit. Penyakit asma adalah di antara penyakit saluran pernafasan yang kerap terjadi di kalangan kanak-kanak dan dewasa yang boleh dipengaruhi oleh jangkitan influenza (demam selesema). Oleh itu, pesakit asma adalah dinasihatkan agar mendapat vaksinasi untuk demam selesema kerana ia boleh memberi perlindungan yang terbaik terhadap jangkitan demam selesema.

Kenapa pesakit asma mempunyai risiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang berpunca daripada demam selesema?

Pesakit asma tidak mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat jangkitan demam selesema. Jangkitan ini boleh meningkatkan risiko pesakit asma mendapat risiko komplikasi daripada jangkitan demam selesema. Penyakit asma menyebabkan saluran pernafasan pesakit membengkak dan menjadikannya lebih sensitif. Jangkitan demam selesema boleh menyebabkan inflamasi saluran pernafasan dan paru-paru bertambah teruk. Ini boleh mengakibatkan jangkitan paru-paru dan lain-lain penyakit saluran pernafasan akut yang teruk.

Bagaimana pesakit asma boleh melindungi diri mereka daripada jangkitan demam selesema?

Cara yang paling berkesan untuk mencegah jangkitan demam selesema ialah dengan mendapatkan vaksin demam selesema. Pesakit tahap asma sederhana dan teruk seharusnya dinasihatkan untuk menerima vaksin demam selesema setiap tahun. Di samping itu, mereka patut mengamalkan gaya hidup sihat untuk menjamin kesihatan mereka dan mengelakkan tempat yang dikunjungi orang ramai.

Berapa lamakah perlindungan yang boleh diberi oleh vaksin demam selesema?

Vaksin demam selesema boleh melindungi pesakit asma daripada mendapat jangkitan demam selesema untuk setahun. Oleh itu, vaksin demam selesema perlu diulangi setiap tahun.

Bagaiman vaksin demam selesema berfungsi?

Vaksin demam selesema boleh menghasilkan antibodi dalam badan pesakit. Antibodi ini memberi perlindungan terhadap jangkitan yang disebabkan oleh kuman demam selesema. Ia mengambil masa selama dua minggu selepas vaksinasi untuk menghasilkan antibodi yang mencukupi di dalam badan dan memberi perlindungan terhadap jangkitan demam selesema.

Adakah vaksin demam selesema selamat dan apakah kesan sampingan yang kerap berlaku?

Vaksin demam selesema mempunyai rekod keselamatan yang memuaskan. Ia adalah selamat untuk ibu mengandung dan dicadangkan ibu mengandung dengan asma diberi vaksin semasa trimester kedua dan ketiga.

Kesan sampingan yang ringan selalunya bermula sebaik sahaja selepas pesakit mendapat vaksin dan berkekalan selama sehari dua. Kesan sampingan yang mungkin dan kerap berlaku akibat daripada vaksin demam selesema termasuklah kesakitan, kemerahan dan bengkak di tempat suntikan, sakit kepala dan demam.

Kesan sampingan yang teruk selalunya bermula dalam masa beberapa minit hingga beberapa jam selepas menerima suntikan vaksin. Kesan sampingan vaksin yang teruk dan mungkin terjadi termasuklan susah bernafas, suara menjadi garau dan bengkak di sekeliling mata dan bibir. Pesakit sepatutnya mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika mereka mengalami salah satu daripada reaksi ini selepas vaksinasi demam selesema.

Adakah sesiapa yang tidak sesuai untuk mendapat vaksin demam selesema?

Pesakit asma yang mempunyai ciri-ciri berikut sepatutnya tidak menerima vaksin demam selesema iaitu :

  • Sejarah reaksi yang teruk terhadap vaksinasi demam selesema di masa lampau.
  • Pesakit asma tahap sederhana dan teruk yang mengalami demam (pesakit seharusnya menunggu sehingga sembuh daripada demam sebelum menerima vaksin).

 

Semakan Akhir : 26 Disember 2013
Penulis : Dr. Ho Bee Kiau
Akreditor Dr. Jamalul Azizi Abdul Rahaman

 

Baca Juga

Serangan Asma Dan Faktor Pencetus

Pengenalan Apabila seseorang pesakit asma terdedah kepada faktor pencetus, mereka boleh mendapat serangan asma atau …