Sabtu , April 27 2024
msen
Utama > Asma > Serangan Asma Disebabkan Aditif Makanan

Serangan Asma Disebabkan Aditif Makanan

Seringkali aditif makanan dikaitkan sebagai punca alahan (allergy) kepada makanan. Kajian telah mendapati kebanyakan alahan adalah disebabkan oleh makanan semulajadi dan juga hanya sebahagian kecil sahaja disebabkan oleh aditif makanan.

Apakah itu aditif makanan?

Aditif makanan adalah bahan yang ditambah kepada makanan bagi meninggikan kandungan nutrien atau mineral, ianya berfungsi sebagai:

    • Mencantikkan warna makanan seperti pewarna makanan;
    • Menambah atau menaikkan rasa makanan
    • Mengurangkan kandungan asid dan alkali sesuatu makanan; dan
    • Lain-lain kriteria yang dapat membantu meninggikan kualiti makanan tersebut seperti vitamin dan mineral.

Bagaimana aditif makanan boleh menyebabkan seseorang yang mempunyai asma terkena serangan asma?

Kajian menunjukkan kurangnya pembentukan antibodi (immunoglobulin E) atau ketahanan imuniti badan terhadap bahan aditif tersebut bagi pesakit yang mendapat serangan asma atau tanda-tanda asma akibat daripada pengambilan aditif makanan tersebut.

Siapa yang mempunyai reaksi terhadap aditif makanan ini?

Makanan dan aditif makanan bukan merupakan bahan biasa sebagai pencetus asma. Dianggarkan hanya lima peratus (5%) pesakit asma yang terlibat. Bilangan kanak-kanak adalah lebih ramai daripada orang dewasa.
Reaksi terhadap aditif makanan ini bergantung kepada tahap sensitif seseorang dan juga jumlah aditif makanan yang diambil. Terdapat dua jenis reaksi terhadap aditif makanan iaitu:

  1. Alahan kepada aditif makanan. Badan pesakit kenalpasti bahan aditif tersebut sebagai bahan asing dan cuba mengatasi bahan tersebut. Ini menyebabkan reaksi alahan pada badan; dan
  2. Tidak toleransi terhadap bahan kimia di dalam makanan. Badan pesakit tidak dapat menerima bahan aditif tersebut dan menyebabkan reaksi pada badan. Di mana reaksi badan setiap manusia adalah berbeza mengikut individu.

Senarai aditif makanan yang boleh menyebabkan pesakit asma terkena serangan asma?

  1. Sulphites – makanan yang mengandungi sulfur dioksida seperti buah-buahan kering dan jeruk, jus anggur, wain, frozen potatoes dan sebahagian jem dan agar-agar; Gambar 1; Makanan berjeruk (mengandungi sulphites dan nitrates) dan frozen potatoes mengandungi sulphites yang merupakan aditif makanan pencetus asma
    jeruk       fries

    Sumber: http://www.healthcentral.com/asthma/cf/slideshows/7-foods-to-avoid-if-you-
    have-asthma#slide=4

  2. Tartarazine (FD&C Yellow 5) – merupakan sejenis pewarna (dye) yang digunakan di dalam pembuatan minuman, desserts, keju, sayuran di dalam tin, sosej, salad dressings, garam perisa dan makanan-makanan lain; dan
  3. Monosodium glutamate (MSG) – bahan yang digunakan di dalam pembuatan daging dan ayam proses serta di dalam restoran bagi menimbul atau menaikkan perisa      makanan. Namun begitu, kajian masih dan sedang dijalankan berhubung kaitan antara MSG dan asma.

Bagaimana mencegah atau menghalang serangan asma yang disebabkan oleh aditif makanan?

Bagi mencegah serangan asma terjadi, seseorang yang mempunyai asma perlulah:

  • Kenalpasti aditif makanan yang merupakan pencetus serangan asmanya; dan
  • Elak pengambilan makanan yang mengandungi aditif makanan tersebut

Aditif makanan dapat dikenalpasti berdasarkan senarai kandungan pada label makanan tersebut (sekiranya disertakan bersama makanan) atau boleh bertanya kepada tukang masak restoran sekiranya perlu.
Gambar 3; Baca label makanan bagi kenalpasti TIADA aditif makanan yang merupakan pencetus asma kepada pesakit

nutrition facts

Sumber: http://www.livestrong.com/article/87900-calculate-daily-value-labels/

Sekiranya serangan asma terjadi selepas pengambilan aditif makanan, apa yang perlu anda lakukan?

Langkah-langkah tersebut perlulah diambil sekiranya serangan asma terjadi selepas pengambilan makanan yang mengandungi aditif makanan;

  1. Perlulah mendapatkan rawatan dengan segera ke hospital atau klinik yang berhampiran;
  2. Kenalpasti kandungan aditif makanan di dalam makanan tersebut melalui pembacaan pada senarai kandungan aditif makanan pada label makanan tersebut. Pesakit juga boleh bertanya kepada doktor anda; dan
  3. Elak pengambilan makanan yang berkemungkinan mengandungi aditif makanan tersebut di masa hadapan.

Pemakanan untuk pesakit asma

Pesakit asma perlulah mengambil makanan sihat dan seimbang. Makanan tersebut perlulah mengandungi makanan segar dan semulajadi. Pesakit asma perlu kurangkan pengambilan makanan proses.

Semakan Akhir : 20 Mei 2016
Penulisan : Dr. Norita bt. Shamsudin
Akreditor : Dr. Norhaya bt. Mohd Razali

Baca Juga

Adakah Pencemaran Udara Berbahaya?

Apakah pencemaran udara dalam dan luar? Pencemaran udara ialah satu keadaan di mana terdapat perubahan …