Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Komplikasi Hipertensi – Buah Pinggang

Komplikasi Hipertensi – Buah Pinggang

Komplikasi Hipertensi (Buah Pinggang)

Tekanan darah tinggi (hipertensi) adalah punca kedua penyakit buah pinggang kronik di Malaysia. Penyakit buah pinggang kronik adalah penyakit kronik di mana buah pinggang tidak dapat berfungsi dengan baik.

Penyakit buah pinggang kronik akan menyebabkan fungsi buah pinggang yang berikut terjejas:

  • Mengeluarkan bahan buangan dan cecair yang berlebihan dari badan
  • Pengeluaran hormon untuk:
    • Pengawalan tekanan darah
    • Pembinaan tulang yang sihat
  • Meningkatkan bilangan sel-sel darah merah di dalam badan
  • Pengawalan keseimbangan garam-garam di dalam badan kita, sebagai contoh : natrium, kalium, fosforus dan kalsium.
  • Mengekalkan keseimbangan badan daripada segi asid dan bes.

Penyakit buah pinggang kronik boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang. Pesakit yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang perlu menerima rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang. Oleh itu, pengesanan dan rawatan awal boleh mencegah atau melambatkan komplikasi penyakit buah pinggang kronik.

Bagaimana Tekanan Darah Tinggi Menyebabkan Kerosakan Buah Pinggang?

Tekanan darah tinggi boleh merosakkan saluran darah di seluruh badan. Ia akan menyebabkan bekalan darah ke organ-organ penting seperti buah pinggang terjejas. Seterusnya ini akan merosakkan unit penapisan kecil di dalam buah pinggang. Buah pinggang yang rosak akan berhenti mengeluarkan bahan buangan dan cecair yang berlebihan daripada darah. Akibatnya, cecair yang berlebihan di dalam badan akan menyebabkan tekanan darah meningkat lagi.

Apakah Tanda – Tanda Dan Gejala Penyakit Buah Pinggang Kronik?

Gejala penyakit buah pinggang adalah bergantung kepada tahap dan peringkat penyakit itu. Pada peringkat awal penyakit buah pinggang, pesakit biasanya tidak mempunyai apa-apa gejala.Oleh itu, pesakit tersebut mungkin tidak sedar bahawa mereka telah berpenyakit. Pada peringkat akhir, gejala berikut mungkin berlaku:

  • Sentiasa rasa letih
  • Bengkak kaki, terutamanya pada waktu malam / berdiri yang lama
  • Rasa loya / muntah berterusan
  • Tekanan darah tidak terkawal
  • Jumlah air kencing berkurangan

Protein dalam air kencing (Proteinuria) adalah salah satu tanda penting penyakit buah pinggang kronik. Pesakit penyakit buah pinggang kronik mungkin akan mengeluarkan air kencing berbuih. Ia boleh disahkan melalui ujian air kencing. Kerosakan buah pinggang akan menyebabkan protein darah yang dipanggil albumin tersingkir melalui air kencing.

Pada peringkat awal, hanya kuantiti kecil albumin terjerlus ke dalam air kencing melalui buah pinggang. Keadaan ini dikenali sebagai “microalbuminuria”. Ini merupakan satu tanda awal kegagalan fungsi buah pinggang. Apabila fungsi buah pinggang semakin terjejas, jumlah protein yang terjerlus melalui air kencing akan semakin meningkat. Keadaan ini dikenali sabagai “proteinuria”.

Air kencing berbuih dengan proteinuria disahkan melalui ujian air kencingRajah 1: Air Kencing Berbuih Dengan Proteinuria Disahkan Melalui Ujian Air Kencing

Bagaimana Mengesahkan Penyakit Buah Pinggang Kronik Pada Pesakit Darah Tinggi?

Ujian-ujian berikut perlu dilakukan oleh doktor yang merawat untuk mengesahkan penyakit buah pinggang kronik :

  1. Ujian darah untuk menilai fungsi buah pinggang

Creatinine adalah produk sisa daripada sel-sel otot di badan kita. Buah pinggang yang sihat boleh mengeluarkan creatinine daripada darah dan menyingkirkannya melalui air kencing. Apabila buah pinggang tidak berfungsi dengan baik, creatinine akan tersimpan dalam darah.

Creatinine digunakan untuk menilai GFR (glomerular filtration rate). GFR adalah penilaian fungsi buah pinggang menapis bahan buangan daripada darah. Jika GFR terlalu rendah, ia mungkin bermakna buah pinggang tidak mampu membuang sisa dan cecair berlebihan daripada darah.

Pengambilan darah untuk siasatan lanjutRajah 2: Pengambilan Darah Untuk Siasatan Lanjut

  1. Ujian air kencing untuk protein dan sel darah merah

Proteinuria berterusan atau dan kehadiran sel – sel darah merah di dalam air kencing adalah tanda kerosakan buah pinggang. Kemungkinan penyakit buah pinggang menjadi lebih teruk apabila tahap protein dalam air kencing meningkat.

Ujian air kencingRajah 3: Ujian Air Kencing

Bagaimana Mencegah Kerosakan Buah Pinggang Daripada Tekanan Darah Tinggi?

Pengawalan tekanan darah adalah penting untuk mencegah kerosakan buah pinggang daripada tekanan darah tinggi. Ubat – ubatan dan gaya hidup yang sihat boleh membantu dalam pengawalan tekanan darah.

Pilihan gaya hidup sihat termasuk tidak merokok, pemakanan yang sihat, bersukan, mengekalkan berat badan yang unggul, mengelakkan ubat – ubatan tertentu dan mengawal stres.

Dari segi rawatan perubatan, kawalan tekanan darah dan proteinuria merupakan faktor-faktor penting untuk memperlahankan kerosakan buah pinggang.

Oleh itu, ubat – ubatan antihipertensi yang boleh mengurangkan proteinuria diberi keutamaan. Sebagai contoh, angiotensin – converting enzyme inhibitors (ACEI) dan angiotensin receptor blockers (ARBs) adalah jenis-jenis ubat anti hipertensi utama yang biasanya juga digunakan untuk mengawal tekanan darah apabila pesakit mempunyai proteinuria

Untuk pesakit tekanan darah tinggi dengan proteinuria, sasaran tekanan darah harus seperti yang dinyatakan di bawah.

  • <130/80 mmHg bagi pesakit dengan proteinuria> 1g/24 jam

Rujukan

  1. Clinical practice guidelines for management of chronic kidney disease in adults, Malaysia
  2. Figure 1: http://www.transplantbuddies.org/tbx/messages/7/419778.html?1299424414
  3. Figure2:http://www.mudframes.com/2011/07/18/world-hepatitis-day-2011-malaysia-campaign-in sunway-pyramid/_mg_0618/
  4. Figure 3: http://seh.50megs.com/central_activity.htm
Semakan Akhir : 31 Disember 2013
Penulis : Dr. Yeoh Chin Aun
Akreditor : Dr. Anita Bhajan

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …