Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Asma > Fakta & Mitos > Bolehkah asma disembuhkan?

Bolehkah asma disembuhkan?

Sejauh mana asma difahami?

Asma adalah penyakit saluran pernafasan (respiratori) yang kronik. Ketika serangan asma, berlakunya radang pada saluran pernafasan yang menyebabkan saluran menjadi sempit dan kurangnya oksigen ke dalam paru-paru. Ianya akan menyebabkan timbulnya tanda-tanda asma seperti batuk, susah bernafas, nafas berbunyi (wheezing) dan dada berasa sempit/ketat.

saluran-pernafasan

Gambar 1 – Saluran Pernafasan
Source: https://ciricirigejalapenyakitasma.wordpress.com

Serangan asma boleh dibahagikan;

  1. Saluran pernafasan yang sempit pada keadaan normal, otot di sekeliling saluran pernafasan adalah dalam keadaan relak/santai. Bagi asma yang disebabkan oleh bahan alahan seperti kekacang atau jerebu, saluran pernafasan akan menjadi sempit dan udara akan terhalang dari masuk ke paru-paru.
  2. Keradangan – berlakunya keradangan pada saluran pernafasan. Kerosakan pada saluran pernafasan boleh berlaku sekiranya tidak dirawat atau dikawal pada peringkat awal
  3. Irritasi saluran pernafasan – Saluran pernafasan bagi pesakit asma adalah mudah mengalami irritasi terhadap bahan-bahan penggalak seperti debu, bulu haiwan dan lain-lain.

Adakah asma boleh disembuhkan?

Asma tidak boleh disembuhkan, walaubagaimana pun ia boleh dikawal.

Bagaimana mengawal dan mengurangkan serangan asma?

Asma dapat dikawal dan dikurangkan dengan mengenalpasti faktor risiko bagi setiap individu. Berikut merupakan cara atau kaedah bagi mengawal dan mengurangkan serangan asthma;

  1. Kenalpasti faktor pencetus atau penyebab
      • Pesakit perlu mengenalpasti faktor pencetus, penggalak atau penyebab serangan asma. Faktor ini berbeza bagi setiap individu.
      • Setelah faktor ini dikenalpasti, langkah pencegahan dan kawalan dapat dilakukan.
      • Contoh: serangan asma yang disebabkan oleh pencemaran udara / jerebu, pesakit bolehlah mengurangkan aktiviti di luar rumah/premis.

    asma2

    Gambar 2: Kekacang antara faktor penggalak/pencetus serangan asma

  2. Kawal serangan asma melalui pengambilan ubat dan pemeriksaan kesihatan atau lawatan ke klinik secara berkala. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil oleh pesakit;
      • Pesakit boleh menyediakan rekod gejala dan kekerapan serangan asma;
      • Lawatan ke klinik secara berkala bagi pemantauan tahap penyakit asma; dan
      • Ambil ubat-ubatan mengikut kaedah dan arahan doktor

    asma3

    Gambar 3: Ubat perlu diambil mengikut aturan yang ditentukan

  3. Cara hidup sihat:
    • Senaman secara kerap dan berkala – terdapat pesakit di mana serangan asma yang dicetuskan oleh senaman. Sekiranya berlaku pada anda, sila berhubung dengan doktor bagi mendapat nasihat berkaitan senaman yang bersesuaian.
    • Kawal berat badan dan dapatkan/kekalkan berat badan ideal – bagi pesakit kronik termasuk asma, pengurangan berat badan dan mendapat/mengekalkan berat badan ideal boleh membantu mengurangkan serangan asma dan juga kawalan serangan asma dapat dilakukan dengan mudah.

Rujukan:

  1. www.emedicineheath.com
  2. Can asthma be cured? What are the latest treatment? Javeed Akhter.www.scientificamerican.com

 

Last Reviewed : 26 October 2016
Writer : Dr. Norita bt. Shamsudin
Accreditor : Dr. Norhaya bt. Mohd Razali