Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Asma > Asma yang dicetuskan oleh senaman

Asma yang dicetuskan oleh senaman

Asma yang dicetuskan oleh senaman berlaku kerana penyempitan atau pengecilan saluran pernafasan susulan daripada aktiviti senaman yang berat. Sekarang, ‘bronkokonstrik’(penyempitan saluran pernafasan)yang dicetuskan  adalah istilah yang dirasakan lebih sesuai untuk di guna pakai bagi permasalahan ini. Istilah ini menerangkan senaman bukan punca penyakit asma, tetapi  senaman hanya mencetuskan tanda-tanda serangan asma. Kebanyakan pesakit yang mempunyai sejarah penyakit asma yang kronik akan mengalami masalah senaman ‘bronkokonstrik’yang dicetuskan oleh senaman. Bagi individu yang sihat, tidak mempunyai latar belakang  penyakit asma atau resdung, mereka masih  berisiko untuk menghadapi masalah ini. Kebiasaannya, penyakit ini sukar dikesan  kerana pesakit tidak melaporkan gejala keadaan ini kepada pengamal perubatan atau pesakit secara tidak sengaja menghadkan aktiviti fizikal bagi mengelakkan gejala masalah ini timbul.

Gejala penyakit

Gejala penyakit senaman mencetuskan ‘bronkokonstrik ‘selalunya berlaku 5-10 minit selepas selesai melakukan senaman berat. Namun tanda-tanda penyakit ini boleh juga terjadi semasa melakukan senaman tanpa henti seawal 5-20 minit pertama bersenam. Ini berlaku kerana perubahan suhu dan kelembapan udara yang dihidu masuk dengan kadar yang lebih cepat ketika bersenam. Antara gejala penyakit adalah:

  • Batuk
  • Dada terasa ketat atau sakit
  • Bunyi seperti muzik ketika bernafas
  • Mengah ketika bersenam
  • Penat yang berlebihan semasa bersenam dan memerlukan masa yang lama untuk pulih

Gejala penyakit akan hilang selepas 30 -45 minit berehat daripada melakukan senaman.Tempoh bermulanya tanda-tanda penyakit dan kelegaan daripada tanda-tanda di atas adalah amat  penting bagi membezakannya dengan keletihan yang disebabkan keadaan badan yang tidak mantap atau jarang melakukan senaman. Gejala penyakit adalah lebih teruk bagi mereka yang menghidapi penyakit senaman mencetuskan ‘bronkokonstrik‘ berbanding golongan yang kurang bersenam.

Diagnosa

Gejala penyakit sahaja tidak cukup untuk memastikan diagnosa senaman mencetuskan bronkokonstrik adalah betul. Penyakit lain seperti peti suara gagal berfungsi, rentak jantung tidak sekata semasa bersenam, penyakit paru-paru yang kronik dan radang saluran pemakanan boleh mempunyai gejala penyakit yang serupa. Lazimnya, fungsi paru-paru boleh diuji dengan spirometri.

spirometer
Spirometer
Sumber: www.balasoonyahospital.Ik

Ujian ini akan mengukur jumlah udara yang dihembus dan kekuatan hembusan yang dibuat. Ujian akan dibuat sebelum dan selepas senaman berat yang dipantau, menggunakan mesin larian setempat atau basikal setempat. Ujian ini akan membuktikan penyempitan saluran pernafasan akibat senaman. Senaman yang dipantau ini hanya mengambil masa selama 6 – 10 minit dengan memastikan kadar rentak jantung yang diingini tercapai.

ujian larian
Ujian larian setempat dan basikal setempat
Sumber: www.sads.org.uk)

Selain daripada ujian senaman, ada  ujian lain yang boleh dilakukan untuk membuktikan saluran pernafasan yang sensitif. Ujian cabaran dengan menggunakan metakolin atau manitol adalah contoh ujian untuk mencetuskan tindakbalas saluran pernafasan.

Komplikasi
Penyakit senaman mencetuskan ‘bronkokonstrik ‘ jika tidak dirawat boleh  mengakibatkan gaya hidup tidak aktif. Gaya hidup ini boleh membawa kepada banyak permasalahan perubatan seperti darah tinggi dan kegemukan. Kesukaran pernafasan yang serius jarang berlaku, tetapi jika tidak dirawat boleh menyebabkan kematian.
Mengapa kita perlu bersenam?

  • Menguatkan sistem pernafasan dan peredaran darah
  • Menambah aras stamina
  • Membantu meningkatkan kualiti tidur dan memperbaiki tahap tumpuan
  • Mengurangkan tekanan perasaaan dan kebimbangan
  • Meningkatkan daya tahan badan bagi membantu melawan jangkitan kuman yang menyebabkan selsema.

Rujukan

  1. http://www.thorasic.org>allergy-asthma
  2. www.ncbi.nlm.nih.gov>pubmed
  3. http://en.wikipedia.org/wiki/exercise-induced_bronchoconstriction

 

Last Reviewed :  16 Mei 2016
Writer :  Dr. Azlina bt Samsudin
Accreditor :  Dr. Jamalul Azizi b. Abdul Rahaman

 

Baca Juga

Asma dan Pembedahan

Setakat ini tiada kajian yang menunjukkan peningkatan risiko pembedahan untuk pesakit asma secara keseluruhan. Walaubagaimana …