Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Hipertensi Dan Warga Emas Uzur

Hipertensi Dan Warga Emas Uzur

Apakah Maksud Uzur?

Seorang yang berumur 80 tahun mungkin masih aktif dalam aktiviti-aktiviti kehidupan harian dan bertemu dengan rakan-rakan setiap petang untuk minum petang, manakala seorang lagi yang juga berumur 80 tahun mungkin bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak kerana penyakit sendi pada lutut yang teruk, nyanyuk dan memerlukan bantuan semasa makan dan mandi.

Contoh pertama adalah warga tua yang sihat manakala contoh kedua adalah warga tua yang uzur.

Kumpulan warga tua terdiri daripada mereka yang berusia yang sangat berbeza.

Keuzuran berlaku apabila terdapat pengurangan rizab badan seseorang. Ini menyebabkan pengurangan keupayaan beliau untuk menghadapi cabaran daripada luar badan seperti penyakit dan juga ubat-ubatan. Dalam erti kata lain, warga tua uzur adalah lebih berisiko kepada kesan teruk semasa menghidap penyakit dan semasa mengambil juga ubat-ubatan.

Hipertensi Dan Warga Tua Uzur

Kejadian hipertensi meningkat dengan usia.

Tiada sebarang perbezaan dari segi rawatan dan matlamat rawatan untuk warga tua yang teguh berbanding dengan golongan muda (rujuk kepada topik pada hipertensi dan warga tua (teguh)). Walau bagaimanapun, rawatan hipertensi untuk warga tua uzur perlu disesuaikan mengikut keperluan individu. Ini adalah kerana warga tua uzur adalah lebih terdedah kepada kesan sampingan ubat-ubatan.

Apakah Sebab Keuzuran Dalam Warga Tua?

Keuzuran boleh berlaku kepada aspek fizikal, mental, emosi dan sosial seseorang warga emas.

Keuzuran fizikal dan mental merupakan pengumpulan (secara kumulatif):

  • Proses degeneratif daripada proses penggunaan dan kehausan (contoh: sakit sendi)
  • Penyakit degeneratif (contoh: Penyakit Alzheimer, Penyakit Parkinson)
  • Kemerosotan fisiologi dalam fungsi organ dan jisim otot

Keuzuran dari segi sosial mungkin berlaku atas sebab-sebab berikut:

  • Kematian suami / saudara-mara dan / atau rakan-rakan rapat
  • Anak-anak dewasa yang tinggal / berkerja berjauhan

Siapa Yang Dikatakan Uzur?

Tiada cara mudah untuk menentukan siapa yang uzur dan siapa tidak uzur.

Warga emas yang bergantung sepenuhnya kepada penjaga untuk melaksanakan tugas-tugasa harian adalah uzur manakala warga emas yang berdikari dari semua aspek adalah tidak uzur. Walau bagaimanapun, masalahnya adalah untuk mengenalpasti di antara mereka yang digolongkan di pertengahan antara dua kumpulan ini.

Oleh kerana warga emas uzur lebih sensitif kepada kesan sampingan rawatan, adalah penting untuk anda melaporkan segala kesan sampingan yang anda alami kepada doktor anda. Sekiranya terdapat sebarang keraguan tentang kaitan gejala kesan sampingan dengan ubat-ubatan, adalah lebih baik melaporkannya kepada doktor untuk siasatan yang lebih terperinci. Penilaian yang lengkap oleh doktor anda boleh bantu mengenal pasti warga tua berisiko uzur.

Komplikasi

Warga tua uzur mempunyai masalah kesan sampingan daripada ubat-ubatan yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan warga emas teguh dan orang muda. Mereka mungkin juga mengalami kesan sampingan yang tidak biasa dilaporkan.

Warga emas uzur adalah lebih terdedah kepada masalah hipotensi postur (hyperlink to postural hypotension) dan gejala jatuh daripada ubat-ubatan darah tinggi.

Warga emas lebih cenderung mengambil banyak ubat-ubatan. Interaksi antara ubat-ubatan boleh menyebabkan kesan buruk. Sebagai contoh, orang tua yang sedang mengambil ubat tekanan darah tinggi mungkin mempunyai penurunan tekanan darah drastik sekiranya ubat untuk penyakit prostat ditambah, dan ini mungkin menyebabkan pening dan gejala jatuh.Oleh itu, maklumkan kepada doktor anda mengenai semua ubat-ubatan yang anda sedang ambil.

Apakah Ujian Untuk Mengenal Pasti Uzur?

Pada masa ini, ujian untuk mengenal pasti uzur tidak dilakukan secara rutin.

Sejenis ujian saringan ringkas yang boleh dilakukan dipanggil ‘Time Up and Go’. Anda dikehendaki untuk berdiri dari kedudukan duduk dan diminta untuk berjalan untuk satu jarak tertentu sebelum disuruh berpatah balik dan berjalan kembali ke tempat duduk. Anda akan dinilai bagaimana anda berdiri dari kedudukan duduk, bagaimana anda berjalan, masa yang diambil untuk berjalan.

Apakah Yang Boleh Saya Lakukan Di Rumah?

Warga emas uzur adalah lebih berisiko untuk mengalami masalah hipotensi postur daripada rawatan darah tinggi. Pemeriksaan tekanan darah di rumah sendiri dengan mengunakan alat pengukur tekanan darah tinggi automatik dapat membantu anda mengesan masalah hipotensi postur.

Anda perlu memeriksa tekanan darah pada kedudukan duduk dan berdiri.

Bacaan yang tidak normal bermakna penurunan:

  • 20 mmHg bacaan atas (sistolik) dan/atau
  • 10 mmHg bacaan bawah (diastolik)

Sekiranya terdapat sebarang keraguan,dapatkan nasihat perubatan daripada doktor anda.

Bagaimana Hipertensi Warga Emas Uzur Dirawat?

Hipertensi di kalangan warga emas uzur dirawat dengan cara yang sama seperti mana orang lain yang mempunyai hipertensi. Walaubagaimanapun, terdapat sedikit butiran yang perlu diberi perhatian:

  • Ubat-ubatan darah tinggi harus dimulakan pada dos rendah dan sebarang peningkatan dos hendalah dilakukan secara perlahan-lahan. Laporkan segala kesan sampingan yang anda alami.
  • Kadang-kadang matlamat kawalan hipertensi yang disyorkan tidak boleh tercapai untuk warga emas uzur kerana masalah hipotensi postur yang teruk berterusan walaupun selepas pelarasan dos dan ubat-ubatan darah tinggi. Sekiranya ini berlaku, tekanan darah yang terendah yang boleh diterima oleh warga emas tersebut akan diambil sebagai matlamat kawal hipertensi khas untuk beliau.

Bagi warga emas berumur 80 dan ke atas, matlamat kawalan hipertensi adalah < 150/80mmHg. Matlamat yang ditetapkan akan berbeza mengikut ciri – ciri individu.

Pencegahan

Proses keuzuran boleh ditangguhkan sekiranya anda mula melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti fizikal pada usia yang muda. Penglibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti fizikal dari muda dapat meningkatkan rizab badan.

Pencegahan kesan sampingan ubat-ubatan dilakukan dengan melaporkan secara tepat mengenai sebarang masalah yang dialami kepada doktor anda.
Sentiasa bawa semua ubat-ubatan yang anda sedang ambil apabila anda berjumpa dengan doktor anda. Dengan ini, doktor anda dapat memberi ubat yang bersesuaian sekiranya terdapat penambahan atau pertukaran ubat. Ini adalah untuk mengelakkan interaksi ubat-ubatan yang tidak diingini.

Rujukan

  1. Beckett, N.S., Peters, R., Fletcher, A.E., et al. (2008).Treatment of Hypertension in Patients 80 Years of Age or Older for the HYVET Study Group. N Eng J Med, 358, 1887-1898.
  1. Chobanian, A.V., Bakris, G.L., Black, H.R., et al.(2003). The Seventh Report of the Joint National Committee (JNC) on the Prevention, Detection, Evaluation and Treatment of High Blood Pressure.JAMA, 289(19), 2560-2572.
  1. Espinoza, S. & Walston, J.D. (2005). Frailty in older aldults: Insights and interventions. Cleveland Clin J Med, 72(12). 1105-1112. Available: http://geriatrics.uthscsa.edu/reading%20resources/Frailty%20in%20older%20adults,%20Insights%20and%20Interventions%20(Espinoza%20-%20Walston).pdf. Accessed 20 Sept 2012
  1. Rahman, A.R., Bavanandan, S., Kamaruddin, A.S., et al. (2008). Clinical Practice Guidelines: Management f hypertension ( 3rd ed. 2008): Ministry of Health Malaysia.
Semakan Akhir : 18 April 2014
Penulis : Dr. Cheah Wee Kooi
Akreditor : Dr. Lee Fatt Soon

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …