Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Asma > Asma dan Merokok

Asma dan Merokok

Apa itu asma?

Asma adalah penyakit paru-paru kronik yang menyebabkan kesukaran bernafas yang berulang.

Gejala asma adalah disebabkan oleh keradangan kronik pada saluran pernafasan. Ini menjadikan saluran pernafasan pesakit asma sangat sensitif kepada pelbagai faktor pencetus.

Apabila keradangan saluran pernafasan dicetuskan oleh mana-mana jenis faktor pencetus luaran atau dalaman, saluran pernafasan membengkak dan dipenuhi dengan lendir.

Otot pada saluran pernafasan akan mengecut dan mengakibatkan penyempitan saluran pernafasan selanjutnya. Saluran pernafasan yang sempit menyukarkan udara untuk disedut masuk dan dihembus keluar dari paru-paru dan ia mengakibatkan pelbagai gejala asma.

Bagaimana merokok berkaitan dengan asma?

Asap rokok adalah pencetus utama gejala asma. Jika pesakit mempunyai asma, serangan asma boleh berlaku jika sesuatu bahan mengganggu saluran pernafasan dan mencetuskan serangan.

Asap tembakau termasuk asap rokok pasif adalah salah satu daripada pencetus asma yang paling biasa. Asap rokok pasif merupakan gabungan asap daripada pembakaran rokok dan asap hembusan oleh perokok.

Bagaimanakah asap tembakau mencetuskan serangan asma?

Asap tembakau (dan bahan kimia lain dalam asap rokok) mempunyai empat kesan utama pada saluran pernafasan:

  1. Apabila seseorang menyedut asap tembakau, bahan iritasi akan melekat pada lapisan saluran pernafasan dan boleh menyebabkan serangan pada orang yang mempunyai asma.
  2. Asap tembakau juga boleh merosakkan struktur rambut halus pada saluran pernafasan, sehingga mereka tidak berfungsi dan mengakibatkan pengumpulan debu dan lendir di dalam saluran pernafasan.
  3. Asap tembakau juga menyebabkan paru-paru menghasilkan lebih banyak lendir daripada biasa dan mencetuskan serangan asma.
  4. Asap tembakau boleh merosakkan saluran pernafasan dengan memusnahkan tisu paru-paru dan mengakibatkan lebih keradangan pada saluran pernafasan dan seterusnya menyebabkan saluran pernafasan menjadi kurang elastik dan sempit

Apakah kesan menghisap rokok tembakau pada pesakit asma?

Oleh kerana asap tembakau adalah pencetus utama gejala asma, ia boleh mencetuskan serangan asma dan memburukkan lagi gejala asma.

  • Pesakit asma yang merokok akan mempunyai serangan asma yang lebih kerap.
  • Mereka akan mempunyai serangan asma yang lebih teruk dan lebih berkemungkinan untuk dimasukkan ke hospital.
  • Mereka mungkin perlu menggunakan dos ubat pencegah yang lebih tinggi untuk mengawal asma.

Adakah asap rokok pasif berbahaya kepada orang yang mempunyai asma?

Asap rokok adalah pencetus utama gejala asma. Pendedahan kepada asap pasif /asap tembakau persekitaran mungkin lebih berbahaya daripada merokok yang sebenar.

Ini kerana asap yang membakar dari hujung rokok mengandungi lebih bahan-bahan berbahaya (seperti tar, karbon monoksida, nikotin dan lain-lain) daripada asap yang disedut oleh perokok.

Asap rokok amat berbahaya kepada orang yang mempunyai asma.

  • Apabila orang dengan asma terdedah kepada asap rokok pasif, dia mungkin mengalami gejala asma yang lebih kerap seperti nafas berbunyi, batuk dan sesak nafas.
  • Apabila terdedah kepada asap rokok pasif, kanak-kanak dengan asma lebih berkemungkinan untuk mempunyai asma yang tidak terkawal dan lebih berisiko untuk dimasukkan ke hospital kerana serangan asma yang teruk.
  • Kanak-kanak dengan ibu bapa yang merokok juga lebih berisiko untuk mendapat jangkitan paru-paru dan sinus, ini boleh memburukkan lagi gejala dan kawalan asma.

Apakah kesan merokok pada pesakit asma semasa mengandung? 

  • Jika seorang wanita merokok semasa hamil, bayi yang sedang berkembang dalam kandungan akan menyerap bahan kimia dalam asap rokok melalui tali pusat dan ini akan meningkatkan risiko bayi untuk mendapat gejala semput pada awal kehidupan.
  • Merokok semasa mengandung juga menyebabkan banyak masalah lain seperti bayi yang kurang berat badan, kelahiran pra-matang dan meningkatkan risiko kematian janin dan kelahiran mati.

Adakah asap rokok pasif memudaratkan kanak-kanak bukan asma?

Kanak-kanak lebih mudah mendapat kesan buruk asap rokok daripada orang dewasa kerana paru-paru mereka masih berkembang.

  • Kanak-kanak kepada ibu yang merokok semasa mengandung adalah lebih berisiko untuk mempunyai masalah paru-paru dan sepuluh kali ganda lebih berisiko untuk mendapat asma.
  • Kanak-kanak kecil yang terdedah kepada asap rokok mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat gejala seakan-akan asma pada zaman awal kanak-kanak.
  • Kanak-kanak yang menyedut asap rokok pasif juga berisiko untuk mendapat pelbagai masalah termasuklah jangkitan telinga, bronkitis, jangkitan paru-paru dan penyakit alahan.

Walaupun ibu bapa keluar rumah untuk merokok, habuk asap rokok masih boleh melekat pada badan mereka apabila mereka kembali ke dalam rumah. Walaupun lebih baik daripada merokok berhampiran dengan anak-anak mereka, ia masih mungkin mempunyai kesan jangka panjang kepada anak-anak mereka.

Apakah isu-isu kesihatan lain yang berkaitan dengan merokok?

Orang yang merokok boleh mendapat banyak masalah-masalah kesihatan yang lain seperti penyakit paru-paru (Chronic Obstructive Airways Disease), strok, penyakit jantung, tekanan darah tinggi, kanser paru-paru dan lain-lain. 

Kesimpulan

Asap rokok adalah pencetus utama asma yang boleh memburukkan lagi gejala asma. Orang yang merokok dan juga mempunyai asma akan mempunyai kawalan asma yang lebih teruk, lebih kerosakan saluran pernafasan dan kehilangan fungsi paru-paru dengan lebih cepat. Asap rokok pasif juga merupakan pencetus serangan asma kepada orang yang ada asma. Oleh itu, adalah penting bagi pesakit asma untuk berhenti merokok atau mengelakkan pendedahan kepada asap rokok pasif  untuk mengelakkan serangan asma yang teruk.

 Rujukan

  1. Asthma Foundation. Smoking and asthma. http://www.asthmaaustralia.org.au/Smoking. [accessed 2014 August 28]
  2. American Academy of Allergy, Asthma & Immunology: No Butts About It: Smoking Makes Asthma Worse. Updated May 15, 2013 Worse.” http://quitsmoking.about.com/cs/nicotinepatch/a/asthma.htm. [accessed 2014 August 28] British Thoracic Society. British Guideline on the Management of Asthma-a national guideline 2008.
  3. Centers for Disease Control and Prevention. Asthma: Common Asthma Triggers [last updated 2012 Aug 20; accessed 2014 August 28].
  4. Centers for Disease Control and Prevention. Secondhand smoke and asthma. http://www.cdc.gov/tobacco/campaign/tips/secondhand-smoke-asthma.html [accessed 2014 August 28].
  5. Global Strategy for Asthma Management and Prevention: Global Initiative for Asthma (GINA) (Updated 2014)
  6. Ministry Of Health Malaysia. Clinical Practice Guidelines For Management Of Adult Asthma 2002.
Semakan Akhir : 12 September 2017
Penulis : Dr. Ho Bee Kiau
Terjemahan : Dr. Ho Bee Kiau
Akreditor : Dr. Jamalul Azizi b. Abdul Rahaman

Baca Juga

Asma yang dicetuskan oleh senaman

Asma yang dicetuskan oleh senaman berlaku kerana penyempitan atau pengecilan saluran pernafasan susulan daripada aktiviti …