Sabtu , April 27 2024
msen
Utama > Diabetes > Bagaimana Diabetes Dikesan?

Bagaimana Diabetes Dikesan?

Diabetes dan Anda – Bagaimana Diabetes Dikesan?

 

Pengenalan

(sumber : www.engagemobile.com)

Tahukah anda, 1 daripada 5 penduduk di Malaysia mempunyai penyakit Diabetes Mellitus jenis ke-2 (type 2 Diabetes Mellitus) ?

Ia bukan hanya terjadi kepada mereka yang berusia, malah terdapat peningkatan kes dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Selain daripada faktor genetik, Diabetes Mellitus (DM) berkait rapat dengan obesiti dan cara hidup kurang sihat.

 

Siapakah yang memerlukan saringan DM ?

1)  Sekiranya anda mempunyai gejala DM. Contohnya :

  • keletihan
  • kerap membuang air kecil
  • kehausan yang melampau
  • penurunan berat badan
  • kerap mengalami jangkitan kuman.

2)  Sekiranya anda tiada gejala seperti di atas, saringan DM perlu dilakukan jika anda mempunyai :

(i)   berat badan berlebihan (BMI melebihi 23 kg/m2), atau

(ii)   ukurlilit pinggang melebihi 80 cm untuk wanita dan 90 cm untuk lelaki,

…serta mempunyai faktor di bawah :

  • Hyperlipidaemia
  • Tekanan darah tinggi (melebihi 140/90 atau menerima rawatan)
  • Mempunyai sejarah penyakit jantung
  • Mempunyai ahli keluarga yang menghidap DM
  • Impaired glucose tolerant (IGT) atau impaired fasting glucose (IFG)
  • Obesiti
  • Wanita yang menghidapi polycystic ovarian disease (PCOS)
  • Wanita yang mempunyai sejarah DM ketika mengandung
  • Tidak bersenam.

 

Bagaimanakah saringan DM dilakukan ?

Anda boleh melakukan saringan DM menggunakan ujian darah di klinik kerajaan, swasta atau hospital.

Sekiranya anda berisiko tetapi tidak mempunyai gejala DM, ujian kapillari darah dilakukan. Lazimnya ia dilakukan dengan mengambil beberapa titis darah daripada hujung jari anda. Darah ini kemudiannya diuji menggunakan mesin glucometer.

Jika bacaan paras gula dalam darah melebihi 5.6 semasa ujian kapilari darah, ujian plasma glukosa perlu dijalankan. Ujian plasma dilakukan dengan darah diambil dari urat darah.

Pemeriksaan ujian gula dalam darahGambar 1 : Pemeriksaan ujian gula dalam darah

 

Bagaimanakah cara untuk tahu sama ada diabetes atau tidak ?

  1. Mengambil darah dalam keadaan puasa
  2. Mengambil darah secara rawak
  3. Ujian oral glucose tolerance test (OGTT).

Adakah paras gula anda normal ?

Sekiranya paras gula anda melebihi 5.6 mmol/l, anda perlu melakukan ujian plasma gula. Ia boleh diuji sama ada ketika anda berpuasa atau tidak.

Darah anda akan diambil daripada urat darah menggunakan picagari. Anda tiada DM sekiranya paras gula tidak melebihi 6.1 mmol/l ketika berpuasa atau tidak melebihi 7.8 mmol/l ketika tidak berpuasa.

Paras gula antara 6.1 dan 6.9mmol/l ketika berpuasa, atau antara 7.8 dan 11.1 mmol/l ketika tidak berpuasa memerlukan ujian oral glucose tolerance test (OGTT).

Anda dikehendaki melakukan ujian darah semula sekiranya paras gula anda melebihi 7.0 mmol/l ketika puasa atau melebihi 11.1 mmol/l ketika tidak berpuasa. Ia perlu dilakukan untuk pengesahan sama ada anda menghidap DM atau tidak. Anda menghidapi DM sekiranya paras gula masih lagi seperti ujian pertama.

Sekiranya anda mempunyai gejala DM, ujian paras gula plasma venous dilakukan. Jika paras gula anda semasa berpuasa melebihi 7.0 mmol/l atau melebihi 11.1 mmol/l secara rawak, ia bermakna anda menghidapi DM.

Ujian OGTT perlu dilakukan sekiranya paras gula berpuasa kurang daripada 7.0 mmol/l atau kurang daripada 11.1 mmol/l secara rawak.

Saringan DM Jenis Ke-2 yang mempunyai gejala DMAlgoritma 1 : Saringan DM Jenis Ke-2 yang mempunyai gejala DM

Saringan DM Jenis Ke-2 yang tiada gejalaAlgoritma 2 : Saringan DM Jenis Ke-2 yang tiada gejala

* OGTT : oral glucose tolerance test, IFG : impaired fasting glucose, IGT : impaired glucose tolerant, RPG: random plasma glucose.

 

Apakah ujian OGTT?

Ujian OGTT dilakukan apabila :

  • Paras gula ketika berpuasa adalah 6.1 – 6.9 mmol/l
  • Paras gula dalam keadaan rawak adalah 7.8 – 11.1 mmol/l

Ia juga dilakukan untuk mengenal pasti wanita berisiko mengalami DM semasa mengandung.

 

Bagaimanakah ujian OGTT dilakukan?

  1. Anda dikehendaki berpuasa selama 8 hingga 12 jam.
  2. Minuman ini mengandungi 75 gram gula yang dilarutkan didalam 300 ml air.
  3. Anda dikehendaki berehat dan tidak mengambil apa-apa minuman dan makanan sementara menunggu ujian darah kedua.
  4. Ujian darah dilakukan sebelum anda mengambil minuman bergula dan 2 jam kemudian.

 

Bagaimanakah anda mentafsir keputusan OGTT?

Paras Glukosa Plasma OGTT ( mmol/l )
Kategori 0 jam 2 jam
Normal < 6.1 * < 7.8
IFG 6.1 * – 6.9
IGT 7.8 – 11.0
Diabetes Mellitus > 7.0 > 11.1

*American Diabetes Association menggunakan paras gula < 5.6 mmol/L sebagai paras gula normal.

 

Adakah terdapat ujian lain untuk mengesan penyakit diabetes?

Selain daripada ujian OGTT, ujian glycated haemoglobin A1c (HbA1c) boleh dilakukan untuk pengesahan DM. Ia adalah ujian darah yang menyukat *purata paras gula dalam darah sepanjang 3 bulan. Sila pastikan anda menjalani ujian ini di makmal yang telah diiktiraf. Anda adalah penghidap DM sekiranya paras HbA1c melebihi 6.5%.

*
  • HbA1c : purata gula dalam darah sepanjang 3 bulan
  • Seseorang itu dikatakan menghidap diabetes jika HbA1c > 6.5%
  • Walau bagaimanapun, di Malaysia pada ketika ini, HbA1c tidak digunakan untuk mengesan penyakit diabetes.

 

Rujukan :

  1. Clinical practice guideline : management of type 2 DM 2009.
  2. Standard medical care. American Diabetes Association Diabetes Care, Vol 34, supp1, 2011.

 

Baca Juga

Pengiraan Karbohidrat Untuk Pesakit Diabetes

Pengenalan Ramai antara pesakit diabetes mengelakkan diri daripada mengambil makanan manis. Mereka mempunyai persepsi bahawa …