Definisi hipertensi adalah tekanan darah (BP) sistolik sama atau lebih daripada 140mmHg tekanan darah dan diastolic adalah sama atau lebih daripada 90 mmHg.
Hipertensi berlaku apabila : BP>140mmHg / > 90mmHg |
Jantung anda berfungsi seperti pam yang mengecut dan berehat. Tekanan darah diukur dalam dua bacaan contohnya 130/85 mmHg.
- Tekanan sistolik-nombor yang di atas (dalam contoh ini 130)
- Tekanan diastolik- nombor yang di bawah (dalam contoh ini 85)
Rajah 1: Pengukuran Tekanan Darah
Klasifikasi hipertensi adalah penting. Doktor anda akan memberi rawatan berdasarkan tekanan darah yang diukur dan risiko kardiovaskular anda seperti kencing manis, kolesterol tinggi, dan lain-lain.
Jadual 1 mentakrifkan gred tekanan darah untuk orang dewasa yang berumur 18 atau ke atas, yang belum menerima rawatan tekanan darah tinggi. Tekanan darah diambil daripada purata dua atau lebih bacaan tekanan darah yang diukur pada dua atau lebih lawatan selepas lawatan pertama.
Kategori | Sistolik(mmHg) | Diastolik(mmHg) | |
Normal | di bawah 120 | dan | di bawah 80 |
Prahipertensi | 120 – 139 | dan/atau | 80 – 89 |
Hipertensi | 140 dan ke atas | dan/atau | 90 dan ke atas |
Isolated Systolic Hypertension | 140 dan ke atas | dan | di bawah 90 |
Jadual 1: Klasifikasi Tekanan Darah Untuk Orang Dewasa Yang Berumur 18 Dan Ke Atas
Hipertensi dibahagikan kepada:
a) Hipertensi Primer
Hipertensi primer adalah jenis hipertensi yang paling biasa. 90-95% daripada semua kes hipertensi adalah hipertensi primer. Ia juga dikenali sebagai hipertensi “essential”. Punca hipertensi primer tidak diketahui.
b) Hipertensi Sekunder
Kira-kira 5% daripada semua kes hipertensi adalah hipertensi sekunder. Apabila punca hipertensi sekunder dirawati, tekanan darah pesakit akan kembali ke takat asal.
c) Hipertensi “White-Coat”
Hipertensi “white-coat” adalah satu keadaan yang diperhatikan apabila pesakit mengalami tekanan darah yang tinggi di klinik tetapi normal pada masa yang lain. Istilah “white-coat” timbul daripada kot putih yang dipakai oleh doktor.
Ia merangkumi 10-15% daripada kes-kes hipertensi. Tekanan darah yang disukat adalah melebihi 140/90mmHg pada sepanjang masa di klinik. Kesan “white-coat” berlaku disebabkan oleh subjek berasa tegang apabila tekanan darah diuji oleh doktor atau jururawat.
Rajah 2: Sesetengah Orang Hanya Mempunyai Bacaan Tekanan Darah Tinggi Di Dalam Klinik.
Tekanan Darah Sistolik Tinggi (“Isolated Systolic Hypertension”)
Tekanan darah sistolik tinggi (“Isolated systolic hypertension”) berlaku apabila bacaan tekanan darah sistolik adalah 140mmHg atau lebih tetapi bacaan diastolik adalah normal ( <90mmHg). Ia kerap dikesan pada golongan yang berusia lebih dari 50 tahun.
Pra Hipertensi
Pra hipertensi bermakna apabila bacaan tekanan darah menunjukkan bacaan sistolik 120-139mmHg dan/atau tekanan darah diastolik adalah 80-89 mmHg. Bacaan ini perlu dibuat sekurang-kurangnya 2 kali pada masa klinik yang berlainan.
Pesakit dengan pra hipertensi mempunyai risiko tinggi untuk menghidap penyakit hipertensi. Prahipertensi juga biasanya dikaitkan dengan faktor-faktor risiko kardiovaskular lain, iaitu kolestrol tinggi, kencing manis dan obesiti.
Rujukan
- Clinical practice guidelines of management of hypertension 3rd edition (2008), Malaysia
- “Seventh Report of the Joint National Committee on Prevention, Detection, Evaluation, and Treatment of High Blood Pressure” (JNC7),U.S Department of Health and Human services
- Rajah 1: http://www.urbanhealth.com.my/2012/09/03/new-combination-therapy-for hypertension/
- Rajah2: http://worldresources.tripod.com/imagehypertension/15.getty_rf_photo_of_man_talking_to_doctor.jpg
Kuiz
- Hipertensi didefinisikan sebagai tekanan darah (BP) >140mmHg / >
- Betul
- Salah
- Hipertensi primer adalah jenis hipertensi yang paling biasa.
- Betul
- Salah
- Pesakit dengan pra hipertensi tidak mempunyai risiko dapat penyakit hipertensi.
- Betul
- Salah
(Jawapan: Q1-Betul; Q2-Betul; Q3-Salah)
Semakan Akhir | : | 3 Februari 2016 |
Penulis | : | Dr. Yeoh Chin Aun |
Akreditor | : | Dr. Anita Bhajan Manocha |