Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Fakta dan Mitos > Darah Tinggi Bukanlah Masalah Besar

Darah Tinggi Bukanlah Masalah Besar

Pengenalan

Tekanan darah tinggi adalah masalah besar. Pada peringkat awal, anda mungkin tidak terlalu risau sebab anda tidak akan merasakan sebarang gejala tekanan darah tinggi.

Saluran darah adalah fleksibel dan dapat mengendur atau mengecut untuk memastikan pengaliran darah berlaku dengan lancar. Saluran darah menerima kuasa tolakan terhadap dinding saluran yang berterusan disebabkan oleh mekanisma pam jantung. Disebabkan oleh sebab-sebab tertentu, aliran darah anda mula mengenakan tolakan yang berlebihan terhadap dinding saluran darah. Apabila ini berlaku, bermulalah hipertensi.

Bagi jangka masa panjang, tekanan darah tinggi yang berterusan akan mengakibatkan kerosakan pada organ dalaman seperti buah pinggang, jantung dan otak. Proses ini berlaku berterusan walaupun anda tidak merasa apa-apa secara luaran.

Perkara yang menakutkan adalah, anda mungkin menghidap tekanan darah tinggi tanpa mengetahuinya. Tanpa rawatan, tekanan darah tinggi sedikit demi sedikit akan merosakan sistem badan kita.

Fakta-Fakta

  • Tekanan darah tinggi adalah pembunuh secara ‘senyap’.
  • 5.8 juta warga Malaysia mempunyai tekanan darah tinggi. Hanya 2.2 juta mendapat rawatan tetap.
  • Bagi seorang pesakit yang didiagnos dengan hipertensi, enam orang lagi tidak dapat didiagnosis.
  • Kebanyakan orang yang mengidap hipertensi tidak sedar yang mereka mempunyai masalah ini.
  • Bagi mereka yang tahu bahawa mereka mengidap penyakit hipertensi, hanya 40% menerima rawatan yang wajar.
  • Penyakit hipertensi yang tidak dirawat terus meningkatkan risiko komplikasi tanpa mengira usia. Malahan, risiko komplikasi bertambah dengan peningkatan usia.

Hipertensi Sebagai Pembunuh Senyap

Kebanyakan orang yang mengidap hipertensi tidak akan menunjukkan gejala penyakit. Sakit leher atau bahu (angin) bukanlah gejala hipertensi yang biasa. Walau bagaimanapun, mereka yang mempunyai sakit leher atau bahu mungkin mempunyai tekanan darah yang tinggi disebabkan kesakitan yang dialami. Golongan ini mungkin tidak menghidap hipertensi.

Hipertensi (tanpa gejala), masih berisiko untuk serangan sakit jantung, kegagalan ginjal dan strok. Di Malaysia, terdapat enam kes baru strok dirawat setiap hari. Malaysia mempunyai kadar pesakit yang mendapat rawatan dialisis yang tinggi jika dibandingkan dengan negara lain.

Pra-Hipertensi: Tekanan Darah Saya Bukan Normal Tetapi Belum Ke Tahap Hipetensi Lagi

Pra-hipertensi ditakrifkan sebagai seseorang yang berumur 18 tahun ke atas yang mempunyai bacaan tekanan darah berikut:

  • Sistolik BP 120-139 mmHg atau
  • Diastolik BP 80-85 mmHg

Pra-hipertensi sepatutnya dipandang serius kerana ia boleh menjadi tahap hipertensi sekiranya dibiarkan tanpa rawatan. Adaptasi cara hidup dan pemakanan merupakan rawatan yang bersesuaian pada tahap ini.

Tahap Tekanan Darah

Capture

Bacaan Nombor Yang Mana?

Setiap bacaan tekanan darah akan memberi anda dua nombor. Nombor pertama adalah bacaan atas (tekanan sistolik) dan nombor kedua adalah bacaan bawah (tekanan diastolik). Ambil nombor yang meletakan anda pada tahap kumpulan hipertensi yang lebih tinggi. Sebagai contoh, sekiranya bacaan anda adalah 113/84mmHg, anda mempunyai pra hipertensi (mengikut bacaan diastolik). Sekiranya bacaan anda adalah 142/80mmHg, maka anda menghidap penyakit hipertensi tahap 1 (mengikut bacaan sistolik).

Kita mempunyai dua lengan. Bacaan tekanan darah biasanya berbeza antara mereka. Perbezaan mungkin mencecah 10mmHg ataupun lebih. Ambil lengan yang memberi bacaan yang lebih tinggi.

Tekanan darah mungkin berbeza bergantung kepada masa anda mengambil bacaan tersebut. Mengambil bacaan tertinggi akan mengakibatkan kerisauan, manakala mengambil bacaan terendah memberi keselesaan yang palsu. Purata antara bacaan ini adalah lebih bermakna. Bacaan sekali-sekala yang terlalu tinggi atau terlalu rendah boleh diendahkan.

Pemeriksaan tekanan darah sekali setahun adalah mencukupi untuk seseorang yang mempunyai tekanan darah normal. Bagi mereka yang mempunyai pra hipertensi atau hipertensi, pemeriksaan yang lebih kerap dinasihatkan.

Apa Yang Perlu Dilakukan?

  • Sekiranya anda berumur 30 ke atas, buat pemeriksaan tekanan darah setiap tahun. Sekiranya bacaan tekanan darah adalah normal, sambung pemeriksaan setiap tahun.
  • Sekiranya anda mempunyai risiko kardiovaskular yang tinggi, pra hipertensi atau hipertensi, buat pemeriksaan tekanan darah dengan lebih kerap. Kekerapan pemeriksaan bergantung kepada ketinggian bacaan tekanan darah, dan kestabilan bacaan tersebut. Tanya doktor anda untuk nasihat lebih lanjut.
  • Amalkan pemeriksaan tekanan darah di rumah sekiranya anda memerlukan pemeriksaan tekanan darah yang kerap.

Kesimpulan

  • Tekanan darah yang tinggi adalah masalah besar.
  • Ia membunuh secara senyap.
  • Lakukan sesuatu terhadap tekanan darah tinggi hari ini juga.

Rujukan

  1. Heartfailurematters.org. (2007).Taking your own blood pressure and pulse. Available: http://www.heartfailurematters.org/EN/WhatCanYouDo/Pages/Takingyourownbloodpressureandpulse.aspx. Accessed 19 Sept 2012.
  2. National Health and Morbidity Survey (NHMS III) 2006.
  3. Rahman, A.R., Bavanandan, S., Kamaruddin, A.S., et al. (2008). Clinical Practice Guidelines: Management f hypertension ( 3rd ed. 2008): Ministry of Health Malaysia.
Semakan Akhir : 2 Mac 2016
Penulis : Dr. Cheah Wee Kooi
Akreditor : Dr. Ainol Shareha Binti Sahar

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …