Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Cara Memastikan Kepatuhan Ubat

Cara Memastikan Kepatuhan Ubat

2

Kajian menunjukkan pesakit dengan penyakit kronik mempunyai kepatuhan yang rendah terhadap ubat-ubatan. Di Malaysia contohnya, pesakit darah tinggi di klinik-klinik kesihatan mempunyai kepatuhan yang rendah di mana hanya 53.4% pesakit sahaja yang mempunyai kepatuhan yang baik terhadap ubat-ubatan. Kajian juga mendapati bahawa lebih 50% pesakit kencing manis tidak patuh terhadap rawatan. Ketidakpatuhan terhadap ubat-ubatan akan mengakibatkan tekanan darah yang tidak terkawal dan seterusnya komplikasi yang lebih teruk iaitu strok.

“Pak cik selalu lupa makan ubat darah tinggi yang kena makan sebelum makan tu”. “Saya selalu terlupa makan ubat kolesterol pada waktu malam sebab dah tertidur”. Ini adalah perkara yang acap kali didengari oleh ahli kesihatan professional seperti para doktor dan ahli farmasi. Perkara ini melambangkan ketidakpatuhan terhadap ubat-ubatan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kepatuhan bermaksud tahap perlakuan seseorang dari segi pengambilan ubat-ubatan, mengikuti diet seperti yang diarahkan, dan juga ataupun menjalankan perubahan gaya hidup seperti yang disarankan oleh pakar kesihatan.

Mengapa Tidak Patuh Terhadap Ubat-Ubatan

Kebanyakan pesakit tidak faham tujuan mengambil ubat-ubatan. Sesetengah juga tidak percaya bahawa ubat-ubatan boleh membantu mengawal penyakit mereka. Ada yang dalam keadaan penafian walaupun mereka telah didiagnos dengan sesuatu penyakit itu. Sebagai contoh seperti penyakit darah tinggi dan kencing manis, tidak mempunyai gejala yang mengganggu kehidupan sehari-hari, jadi adalah mudah untuk pesakit tidak mengikut kaedah rawatan yang ditetapkan. Tidak patuh kepada ubat-ubatan, sudah tentu akan memberikan kesan yang buruk. Ada yang mendengar cakap-cakap kawan yang mengatakan makan ubat untuk penyakit kronik seperti darah tinggi atau kencing manis secara berpanjangan akan merosakkan buah pinggang. Cakap-cakap ini akan memakan diri pesakit itu sendiri. Ini kerana, tekanan darah tinggi yang tidak terkawal dan kandungan gula yang tinggi dalam darah yang sebenarnya membawa kepada komplikasi kerosakan buah pinggang.

Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Jika anda merasa sukar untuk kekal dalam jadual pengubatan, bertanyalah secara lanjut kepada doktor atau ahli farmasi anda. Kenal pasti bagaimana cara ubat berfungsi dan kesan sampingan yang mungkin anda akan alami. Sebagai contoh sesetengah ubat darah tinggi seperti kumpulan diuretik berfungsi menurunkan tekanan darah anda dengan mengurangkan kandungan air dalam badan. Sebagai kesan sampingan, pesakit mungkin akan merasa letih, mulut kering dan kencing berlebihan. Jika pesakit tidak memahami bahawa kencing berlebihan itu adalah salah satu cara ubat itu bertindak, pesakit mungkin akan merasa sukar dan ini akan membawa kepada ketidakpatuhan terhadap ubat. Oleh itu, masa untuk pengambilan diuretik adalah penting bagi memastikan keselesaan pesakit tidak diganggu. Jika anda berbincang dengan doktor atau ahli farmasi anda, anda boleh mengurangkan ketidakselesaan akibat mengambil ubat ini dengan mengambilnya selepas makan pada waktu pagi dan jika dos anda melebihi sekali sehari, ambil dos yang terakhir sebelum pukul 6 petang.

Berikut adalah contoh beberapa jenis/kumpulan ubat darah tinggi, cara ia bertindak, kesan sampingan dan cara pengambilannya.

Jenis/Kumpulan Ubat Cara bertindak Kesan sampingan Cara pengambilan
Perencat Enzim Penukar Angiotensin (Angiotensin Converting Enzyme/ ACE-Inhibitor)

(Contoh: perindopril, lisinopril)

Menghalang penghasilan bahan kimia di dalam tubuh yang menyebabkan penyempitan salur darah, meningkatkan keupayaan jantung mengepam Batuk (tidak berkahak), loya, pening Ambil 30 minit sebelum sarapan pagi
Penghalang saluran kalsium (Contoh: amlodipine, felodipine) Mempengaruhi pergerakan kalsium ke sel jantung dan salur darah, merehatkan saluran darah, meningkatkan bekalan darah dan oksigen ke jantung serta mengurangkan beban kerja jantung sembelit, loya, pening, bengkak kaki Ambil sebelum atau selepas makan hidangan yang ringan (makanan yang tidak tinggi lemak atau karbohidrat), ambil pada waktu pagi
Penghalang reseptor angiotensin (Contoh: losartan, valsartan, irbesartan) Mengurangkan beban kerja jantung Batuk, sakit tekak, kesukaran bernafas Ambil selepas makan, diambil awal pagi
Penghalang-beta (Contoh: atenolol, metorolol) Mengurangkan tekanan darah tinggi, mengurangkan beban kerja jantung dan membantu jantung untuk berdenyut dengan kadar yang lebih tetap Mengantuk, pening, lemah anggota badan Ambil sebelum/ selepas makan
Penghalang-alpha (Contoh: prazosin) Menurunkan tekanan darah dengan cara merehatkan salur darah Hipotensi, pening, berdebar-debar, loya Ambil sebelum tidur pada dos permulaan, selepas makan
Diuretik

(Contoh: hydrochlorothiazide, frusemide)

Mengurangkan tekanan darah dengan mengurangkan kandungan air dalam badan Keliru, dahaga, letih, Boleh menyebabkan kencing berlebihan. Ambil ubat pada waktu pagi untuk mengelakkan pesakit berulang ke tandas lebih kerap pada waktu malam Ambil selepas makan pada waktu pagi.

Jika dos melebihi sekali sehari, ambil dos akhir sebelum pukul 6 petang.

Nota: Cara tindakan ubat anti-hipertensi (Pharmaceutical Services Division Ministry of Health, Malaysia, 2010). Medication Therapy Adherence Clinic Module 2.

Cara Tindakan Ubat Anti-Hipertensi

Perlu diingatkan, tidak semua pesakit akan menghadapi kesan sampingan ubat seperti yang ditunjukkan di atas. Dan biasanya, kesan sampingan akan hilang dalam tempoh yang singkat. Jika kesan sampingan ubat adalah serius dan menyukarkan anda untuk patuh terhadap ubat-ubatan, berbincanglah dengan doktor anda mengenai hal ini.

Faedah Kepatuhan Terhadap Ubat-Ubatan

Terdapat banyak faedah jika anda patuh terhadap ubat-ubatan. Kajian ke atas pesakit darah tinggi di Malaysia menunjukkan kawalan tekanan darah adalah lebih baik di kalangan mereka yang patuh berbanding mereka yang tidak patuh terhadap ubat-ubatan di mana purata bacaan sistolik dan diastolik mereka yang tidak patuh dilaporkan lebih tinggi secara signifikan.

Di samping itu, kepatuhan terhadap ubat-ubatan juga dapat mengurangkan cara pengambilan ubat yang salah. Sebagai contoh, mengambil dos permulaan prazosin pada waktu siang akan menyebabkan kesan hipotensi yang lebih ketara. Ini boleh mengakibatkan pesakit mengalami simptom “orthostatic hypotension” seperti lemah, pening, berpinar dan juga mungkin boleh pengsan. “Orthostatic hypotension” adalah tekanan darah rendah yang berlaku secara mengejut apabila anda berdiri dari posisi duduk atau baring.

Antara implikasi ketidakpatuhan terhadap ubat-ubatan adalah pembaziran ubat-ubatan, kemerosotan penyakit, kurang kualiti kehidupan dan peningkatan kos perubatan, seperti contoh kos pemeriksaan doktor, kos penjagaan di hospital dan juga meningkatkan kadar kemasukan ke hospital.

Apa Yang Perlu Dibuat Jika Terlupa Makan Ubat

Apa yang perlu anda lakukan sekiranya terlepas dos ubat. Secara umumnya, jika anda teringat dalam masa yang dekat, makan ubat dengan serta-merta. Jika sudah dekat dengan waktu makan ubat yang seterusnya, sila abaikan dos yang tertinggal dan makan ubat pada waktu yang berikutnya. Ingin diingatkan bahawa anda sekali-kali tidak boleh menggandakan dos ubat anda. Penggandaan dos akan menyebabkan anda berisiko mengalami kesan buruk akibat berlebihan dos ubat contohnya hipotensi dan pening untuk pengidap tekanan darah tinggi yang di dalam rawatan dan hipoglisemia bagi mereka yang makan ubat untuk kencing manis. Jika anda tidak pasti apa yang perlu dilakukan selepas terlepas dos, sila hubungi doktor atau ahli farmasi anda untuk mendapatkan nasihat. Pengetahuan tentang perkara ini dapat mengurangkan kebimbangan pesakit dan dalam beberapa kes mungkin dapat mengelakkan kesan buruk yang tidak diingini.

Cara Meningkatkan Kepatuhan Ubat-Ubatan

Terdapat banyak cara untuk meningkatkan kepatuhan ubat. Berikut adalah antara cara-cara yang boleh anda lakukan:

  • Kenali ubat anda. Mengetahui fungsi dan kepentingannya menyebabkan anda lebih mudah untuk patuh.
  • Ambil ubat pada masa yang sama setiap hari.
  • Kaitkan pengambilan ubat dengan aktiviti harian anda. Contohnya ambil ubat darah tinggi selepas sarapan pagi dan ubat kolesterol sebelum tidur.
  • Anda boleh menggunakan “pill box” atau kotak ubat yang boleh memudahkan anda untuk makan ubat. Terdapat pelbagai jenis kotak ubat sama ada kotak ubat harian atau mingguan. Dapatkan kotak ubat yang bersesuaian untuk kegunaan anda.
3 4

Contoh Kotak Ubat Atau “Pill Box” Mingguan

  • Pasang penggera pada jam atau telefon untuk mengingatkan anda tentang waktu makan ubat atau anda boleh memuat turun aplikasi yang berkenaan di telefon pintar anda yang dapat memberi peringatan mengenai pematuhan ubat dan menunjukkan senarai ubat yang boleh disemak setiap hari.
5 6
  • Anda boleh berbincang dengan ahli farmasi anda untuk membuat jadual pemakanan ubat yang boleh memudahkan proses pemakanan ubat setiap hari lebih-lebih lagi jika anda perlu mengambil beberapa jenis ubat yang berlainan pada waktu yang berbeza. Sebagai contoh;

1

Jadual Pemakanan Ubat Mingguan

  • Gunakan alat khas seperti pemotong atau penghancur pil untuk memotong atau menghancurkan ubat jika perlu untuk memudahkan proses memakan ubat.
  • Cari motivasi dan kekuatan dalam diri untuk sentiasa patuh dengan ubat dengan tujuan untuk kekal sihat demi diri sendiri dan juga keluarga anda.

Secara kesimpulannya, kepatuhan terhadap ubat-ubatan adalah sangat penting. Jika anda berdepan masalah untuk kekal patuh terhadap ubat-ubatan, silalah berbincang dengan dokor atau ahli farmasi anda. Mereka boleh memberi alternatif atau pilihan kepada regimen ubat anda, mengambil ubat pada waktu yang sesuai untuk mengurangkan kesan sampingan dan juga nasihat yang sesuai dan tepat untuk anda kekal patuh kepada regimen ubat anda. Pilihan di tangan anda. Adakah anda akan patuh terhadap ubat-ubat anda?

Rujukan

  1. Ahmad, N. S., Ramli, A., Islahudin, F., & Paraidathathu, T. (2013). Medication adherence in patients with type 2 diabetes mellitus treated at primary health clinics in Malaysia. Patient Preference and Adherence, 7, 525–530.
  2. Col N, Fanale JE, Kronholm P.(1990).The role of medication noncompliance and adverse drug reactions in hospitalizations of the elderly. Arch Intern Med, 150(4),841-845.
  3. Mayo Clinic Staff (2014). Orthostatic Hypotension (postural hypotension). Retrieved October 25, 2015, from http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/orthostatic-hypotension/basics/definition/con-20031255
  4. MediResource Inc.(2015). Coversyl. Retrieved November 11, 2015 from http://www.medbroadcast.com/drug_info_details.asp?brand_name_id=83#.VjnQ6bcrLIU
  5. MediResource Inc.(2015). Auro-Amlodipine Retrieved November 11, 2015 from http://www.medbroadcast.com/drug_info_details.asp?brand_name_id=6485#.VjnSCrcrLIU
  6. Pharmaceutical Services Division Ministry of Health, Malaysia. (2010). Cara tindakanubat anti-hipertensi. Diabetes Medication Therapy Adherence Clinic Session 2.
  7. Ramli, A., Ahmad, N. S., & Paraidathathu, T. (2012). Medication adherence among hypertensive patients of primary health clinics in Malaysia. Patient Preference and Adherence, 6, 613–622.
  8. Sokol MC, McGuigan KA, Verbrugge RR, Epstein RS.(2005). Impact of medication adherence on hospitalization risk and healthcare cost. Med Care, 43(6), 521-530.
  9. Sullivan S, Kreling D, Hazlet T. (1990). Noncompliance with medication regimens and subsequent hospitalizations: A literature analysis and cost of hospitalization estimate. J Res Pharmaceut Econ, 2,19-33.
  10. World Health Organization (WHO). (2003). Adherence to Long-Term Therapies – Evidence for action. WHO Library Cataloguing-in-Publication Data.
  11. Gambardaripada: http://medimoon.com/wp-content/uploads/2014/09/medication-adherence.jpg
Semakan Akhir : 19 Julai 2016
Penulis : Dr. Zanariah Binti Abu Bakar
Akreditor : Dr. Azura Binti Musa

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …