Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Hipertensi Dalam Kalangan Kanak-Kanak

Hipertensi Dalam Kalangan Kanak-Kanak

Pengenalan

Tekanan darah merujuk kepada tekanan pada dinding salur darah oleh pengaliran darah yang dipam keluar dari jantung.

Apa Itu Tekanan Darah Tinggi (Hipertensi)?

Tekanan darah tinggi apabila bacaan yang diperoleh melebihi bacaan lebih dari 95% kanak-kanak yang sama jantina, umur dan tinggi di masa yang sama. Kebiasaannya, doktor memiliki carta panduan bacaan tekanan darah bagi kanak-kanak mengikut jantina, umur dan ketinggian mereka.

Cara tekanan darah diukur penting untuk memastikan kesahihan bacaan. Kanak-kanak yang lebih kecil dari segi saiz memerlukan alat dengan cuff yang lebih kecil berbanding orang dewasa. Sebanyak tiga bacaan tekanan darah yang tinggi diambil pada masa yang berlainan diperlukan sebelum diagnosis dibuat.

Cara alternatif yang berguna ialah melalui penggunaan alat yang boleh dipakai pada badan di rumah. Bacaan tekanan darah dapat direkod sepanjang hari secara berkala mengikut jangka masa yang ditetapkan. Cara ini dapat mengurangkan rasa cemas kanak-kanak ketika berada di hospital yang boleh mempengaruhi bacaan tekanan darah.

Punca Tekanan Darah Tinggi Pada Kanak-Kanak

Secara amnya, hipertensi pada kanak-kanak berlaku, kerana masalah perubatan yang lain. Ini termasuk masalah perubatan melibatkan organ seperti buah pinggang, jantung dan salur darah serta sistem rembesan hormon dalam badan.

Memandangkan masalah obes semakin berleluasa dalam kalangan kanak-kanak, hipertensi juga boleh berlaku kepada kanak-kanak obes yang tidak mempunyai sebarang masalah perubatan yang lain.

Berapa Kerap Tekanan Darah Patut Diperiksa?

Secara amnya, adalah disarankan agar tekanan darah diukur bagi semua kanak-kanak berumur tiga tahun ke atas semasa setiap lawatan ke klinik atau pusat kesihatan.

Anak anda patut memakai baju berlengan pendek yang mudah ditarik ke atas untuk memudahkan proses ukuran tekanan darah.

Tanda-Tanda Tekanan Darah Tinggi

Pesakit boleh menunjukkan tanda-tanda klinikal yang mempunyai kaitan dengan masalah perubatan dasar (underlying) yang mengakibatkan tekanan darah tinggi. Mereka juga mungkin tidak merasa mana-mana gejala walaupun tekanan darah mereka lebih tinggi daripada biasa.

Adakalanya, tekanan darah menjadi amat tinggi sehingga kanak-kanak mengalami sawan, kesukaran bernafas dan berubah tingkah laku/hilang tahap kesedaran (Hypertensive Emergency).

Selepas Didiagnosis Hipertensi

Setelah diagnosis dibuat, doktor akan merancang beberapa ujian darah dan kencing serta pengimejan bagi pesakit. Ujian ini bertujuan untuk mengkaji punca tekanan darah tinggi, masalah perubatan yang berkait dengan tekanan darah tinggi serta sebarang komplikasi jika ada akibat tekanan darah tinggi.

Terdapat pelbagai jenis ubat tekanan darah tinggi. Anda patut berbincang dengan doktor yang merawat anak anda untuk lebih mengenali ubat yang dimulakan termasuk kesan sampingan ubatan tersebut.

Gaya hidup sihat penting untuk kanak-kanak yang mengalami masalah tekanan darah tinggi. Ini termasuk penurunan berat badan, aktiviti jasmani, mengurangkan pengambilan garam dan lemak dalam diet dan mengelakkan rokok/alkohol (bagi golongan remaja).

Kanak-kanak perlu melawat klinik rawatan ulangan mengikut temujanji yang ditetapkan.

Implikasi Jangka Masa Panjang

Hal ini bergantung kepada masalah perubatan yang menyebabkan tekanan darah tinggi. Kanak-kanak lebih cenderung mengalami masalah tekanan darah tinggi sehingga dewasa. Sekiranya tekanan tidak dikawal dengan bagus, komplikasi boleh berlaku di peringkat awal kehidupan.

Rujukan

  1. Colin Tidy; Hypertension in childhood. www.Patient.co.uk
  2. Gregory B.Luma, Roseann T.Spiotta; Hypertension in children and adolescents. American Family Physician website 2006.
Semakan Akhir : 2 Mac 2016
Penulis : Dr. Lee Ming Lee
Akreditor : Dr. Ainol Shareha Binti Sahar

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …