Sabtu , April 27 2024
msen
Utama > Asma > Promosi > Penyakit Asma dan Tekanan Emosi

Penyakit Asma dan Tekanan Emosi

 

 emosi_1

Source: http://www.theictm.org/illnesses-and-diseases/asthma#.VvyRxfl96Cg

arrow copy emosi_2

Source: http://www.thailandtesol.com/stress-management-for-esl-and-efl-educators/

Penyakit Asma merupakan penyakit kronik yang boleh membawa maut.  Penyakit asma adalah disebabkan oleh  saluran pernafasan yang sempit dan menyebabkan kesukaran untuk bernafas.

Penyakit Asma tidak boleh disembuhkan tetapi boleh dirawat dengan penggunaan ubat-ubatan  sama ada dalam bentuk oral atau sedutan.

Seorang penghidap penyakit asma  adalah berbeza di antara satu sama lain.  Antara faktor-faktor penyebab asma ialah habuk, debu, debunga , bulu binatang, perubahan cuaca, pemakanan, merokok, tekanan perasaan dan penggunaan ubat-ubatan tertentu.

Tanda-tanda atau gejala penyakit Asma yang kerap berlaku ialah batuk pada waktu malam, nafas berbunyi, dada terasa ketat dan susah untuk bernafas.

Penyakit Asma memerlukan kawalan yang baik khususnya di rumah.  Pengawalan asma yang baik dapat membantu anda untuk mengetahui tahap keterukan penyakit tersebut.  Sekiranya tahap keterukan asma anda meningkat anda perlu berjumpa  dengan doktor dengan segera.

Anda perlu berjumpa doktor sekiranya  :

  1. Anda sukar bernafas ketika melakukan senaman ringan
  2. Perlu menyedut lebih dari biasa
  3. Kerap terjaga malam lebih dari biasa akibat serangan asma
  4. Pernafasan semakin teruk walaupun telah mengambil langkah-angkah pencegahan seperti makan ubat

Penyakit asma biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak dan juga orang dewasa dan apakah kaitan dengan “emotional stress” yang dikatakan penyumbang kepada gejala ini?
Sehingga kini masih sukar difahami apakah punca sebenar gejala asma. Walaupun kebanyakan andaian lebih menjurus kepada faktor keturunan. Walaupun begitu , secara amnya , pencetus asma yang lain dan diketahui adalah seperti berikut:

  1. Penyebab allergen seperti makan, debunga dan binatang peliharaan.
  2. Jangkitan  virus seperti flu.
  3. Bahan kimia seperti cat, asap rokok dan sebagainya.
  4. Perubahan suhu mendadak seperti sejuk yang melampau.
  5. Persekitaran yang berdebu dan berhabuk.
  6. Tekanan emosi seperti stress, kegembiraan atau kegelisahan yang melampau.
  7. Makanan dan bahan pengawet makanan.

Faktor-faktor menyumbang kepada pengaruh asma:

  1. Pencemaran persekitaran.
  2. Jangkitan pernafasan.
  3. Saiz agak kecil ketika dilahirkan menyebabkan sistem imunisasi agak lemah.
  4. Merokok secara pasif dan aktif.
  5. Kegemukan.
  6. Pemakanan.

Pengaruh Tekanan Emosi Ke Atas Asma

Keadaan emosi yang tidak stabil boleh menyumbang kepada gejala ini. Kecenderungan luar biasa sistem respiratori akibat tekanan emosi mahupun kegembiraan melampau mengubah sedikit sebanyak polar pernafasan normal dan memberi tekanan kepada si stem pernafasan penghidap.

Selain itu, tekanan emosi juga mempengaruhi daya berfikir secara normal. Tekanan luar biasa ke atas sistem pernafasan menyumbang kepada gejala asma di mana pernafasan menjadi lebih sukar dan pemikiran menjadi lemah disebabkan kurangnya oksigen dibekalkan ke otak.

Tekanan emosi biasanya berlaku disebabkan faktor persekitaran seperti keadaan pejabat, rumah dan juga faktor diri sendiri seperti kerunsingan dan kemurungan disebabkan masalah peribadi, rumah tangga, kerjaya, masalah keluarga dan sebagainya.

Oleh itu, tidak dapat dinafikan, mempunyai kestabilan emosi dan kebolehan mengatasi tekanan emosi dapat membantu mengurangkan tekanan kepada otak dan akhirnya membantu kepada kestabilan sistem pernafasan agar lebih teratur. Penghidap asma sebolehnya dielakkan daripada melalui fasa perubahan yang mendadak samada secara fizikal mahupun mental. Ini penting kerana jika tidak ditangani dengan baik akan memberi kesan jangka pendek dan juga kesan jangka panjang kepada pesakit.

Amalan gaya hidup sihat yang merangkumi pemakanan, senaman juga membantu terhadap kestabilan emosi namun perlu dipastikan ianya dilakukan dengan lebih teratur dan berhati-hati kerana sebarang kecenderungan yang ekstrem seperti senaman walaupun ianya baik namun bagi penghidap asma ianya tidak digalakkan untuk melakukannya dalam keadaan yang terlalu aktif kerana sistem respiratori lebih sensitif berbanding manusia normal.

Menjalani gaya hidup sihat perlu bermula dengan diri kita dan diikuti dengan individu-individu di sekeliling kita. Kesannya, persekitaran juga akan mendapat manfaat secara positif dan memberi kestabilan emosi kepada penghidap Asma khususnya dan masyarakat sekeliling amnya. Jadi secara keseluruhannya, kitar hidup kita akan menjadi lebih stabil dan sihat.

Kesimpulannya, marilah kita menangani tekanan emosi kerana manfaatnya amat besar bukan sahaja terhadap penghidap asma, malah kepada setiap insan supaya kita menikmati hidup sihat dengan lebih berkualiti secara fizikal, mental dan spiritual.

 

Last Reviewed :  28 April 2016
Writer : Pn. Wan Ermiyati bt. Wan Mohamad
Accreditor : Dr. Azza bt. Omar