Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Renal > Rehabilitasi > Rehabilitasi Pesakit Kegagalan Fungsi Buah Pinggang

Rehabilitasi Pesakit Kegagalan Fungsi Buah Pinggang

Pengenalan

Kegagalan Fungsi Buah Pinggang atau End Stage Renal Disease (ESRD) ialah peringkat di mana kedua-dua buah pinggang tidak dapat berfungsi secara optima, lantas menyebabkan pengumpulan bahan kumuh/toksik dalam badan. Ini mengakibatkan kerosakan pada tisu dan organ dalam badan secara kekal. Apabila fungsi buah pinggang merosot sehingga kurang dari 15% normal, pesakit lazimnya memerlukan rawatan dialisis atau pemindahan organ untuk terus hidup.

Di Malaysia, masalah ini semakin menular dan menjadi beban ekonomi yang serius. Bilangan pesakit yang memerlukan rawatan dialysis (Hemodialisis ataupun Dialisis Peritoneum) meningkat dua kali ganda sepanjang dekad yang lepas (2001- 2010) 1. Walaupun pemindahan organ merupakan penyelesaian yang ideal dari aspek pemulihan fungsi buah pinggang, opsyen ini terhad akibat kekurangan penderma organ di negara ini.

Bagi pesakit hemodialisis, kebiasaannya memerlukan 3 sesi rawatan seminggu, 4 jam setiap sesi di hospital mahupun di pusat dialisis. Pesakit Dialisis Peritoneum (CAPD; Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis) pula perlu menjalani 3 ke 4 kali cucian air melalui lapisan perut di rumah setiap hari.

Pesakit yang menghidapi penyakit kegagalan fungsi buah pinggang ESRD menghadapi masalah jangka masa panjang dari segi fizikal, psikologi dan sosial. Rawatan dialisis memberi impak yang mendalam terhadap aktiviti seharian, jadual tugasan dan pertukaran peranan sosial pesakit serta keluarga masing-masing. Cabaran pesakit yang terbesar ialah mengasimilasi rawatan dialisis dengan kegiatan seharian.

Objektif utama rehabilitasi buah pinggang ialah membantu pesakit secara fizikal dan rohani supaya dapat mencapai kualiti hidup dengan dialisis yang bermutu.

Program Latihan Dan Pendidikan Pra-Dialisis

Pesakit kegagalan buah pinggang perlu menerima dan memahami keperluan dialisis jangka masa panjang mereka. Pesakit yang memerlukan dialisis akan dirujuk ke pusat perubatan yang menawarkan rawatan perubatan renal lengkap dengan jururawat yang telah di latih dalam bidang dialysis serta pakar buah pinggang (nephrologist) supaya rawatan yang lebih komprehensif boleh ditawarkan.

Pesakit perlu diberi kaunseling tentang teknik dialisis yang sedia ada kerana persediaan awal boleh mengelakkan pesakit daripada kesan negatif kegagalan buah pinggang. Jururawat terlatih dalam bidang buah pinggang akan ditugaskan untuk memberi pendidikan kesihatan kepada pesakit dan ahli keluarga.

Rawatan Perubatan

Pesakit dialisis perlu memahami rawatan perubatan mereka dan berhubung dengan doktor atau jururawat mereka sekiranya ada masalah. Dengan ini, mereka akan rasa lebih sihat dan bertenaga untuk menghadapi kegiatan harian. Di samping itu, pesakit juga perlu mematuhi pemakanan yang sewajarnya bagi mengelakkan masalah kelebihan air atau garam-galian.

Rehabilitasi Vokasional

Adakalanya pesakit kegagalan buah pinggang perlu bertukar pekerjaan apabila memulakan rawatan dialisis mereka. Pesakit dinasihatkan supaya jujur tentang masalah perubatan mereka tetapi kekal positif akan potensi masing-masing. Dokumen perihal perubatan boleh diperolehi daripada doktor.

Di Malaysia, dua per tiga daripada pesakit dialisis dapat bekerja sepenuh atau separuh masa 1. Kanak-kanak biasanya akan ditawarkan rawatan dialisis peritoneum dan kebanyakannya masih dapat pergi ke sekolah sepenuh atau separuh masa. Kini, bilangan remaja yang pergi ke kolej dan menjalani rawatan dialisis pada masa yang sama semakin meningkat.

Senaman

Aktiviti senaman penting untuk pesakit kegagalan buah pinggang. Senaman boleh membantu mempertingkatkan tahap kecergasan pesakit. Walaubagaimanapun,program latihan perlu diubahsuai mengikut keupayaan fizikal supaya pesakit tidak rasa terlalu penat. Pesakit perlu meminta nasihat doktor untuk memastikan kesesuaian sesuatu aktiviti senaman tersebut.

Bantuan Kumpulan Sokongan

Pesakit kegagalan buah pinggang biasanya di bawah jagaan jururawat dialisis dan pakar nefrologi yang akan memantau rawatan dialisisnya. Pesakit boleh berhubung dengan jururawat atau doktor sekiranya mengalami masalah berkaitan dialisis pada setiap masa. Jururawat juga boleh membantu pesakit membuat temujanji berjumpa dengan doktor buah pinggang lebih awal sekiranya perlu.

Rujukan:

  1. 18th Report of The Malaysian Dialysis & Renal Transplant Registry 2010
Semakan Akhir : 27 April 2016
Penulis : Dr. Lee Ming Lee
Akreditor : Dr. Wan Jazilah Wan Ismail