Sabtu , April 27 2024
msen
Utama > Asma > Adakah Makanan Boleh Mencetus Asma?

Adakah Makanan Boleh Mencetus Asma?

Asma dan Makanan

  • Makanan hanya menyebabkan alahan kepada 5% sahaja di kalangan orang yang mempunyai asma.
  • Di mana makanan, aditif makanan dan juga bahan kimia berkaitan makanan BUKANlah merupakan pencetus utama bagi serangan asma. Walaubagaimanapun, aditif dan bahan kimia dalam makanan boleh mencetus serangan asma untuk pesakit-pesakit yang tertentu.
  • Reaksi atau alahan pada makanan adalah berbeza bergantung kepada individu dan jumlah pengambilan makanan tersebut.

Jenis-jenis Makanan Pencetus Serangan Asma

Terdapat reaksi berbeza  bagi alahan makanan iaitu daripada reaksi/gejala ringan hinggalah ke tahap bahaya. Kebiasaannya serangan asma merupakan salah satu daripada gejala/tanda alahan yang lain.

Contoh-contoh makanan yang boleh menyebabkan alahan adalah seperti berikut;

  1. Telur
  2. Susu
  3. Kekacang

    Gambar 1: Kacang tanah merupakan di dalam kumpulan kekacang
    Sumber: http://www.freestockphotos.biz/stockphoto/11660
  4. Soya
  5. Tree nut (seperti walnut dan almond)
  6. Gandum
  7. Ikan dan hasilan laut (seperti udang dan sotong)
    lokan
    Gambar 2: Lokan merupakan di dalam kumpulan hasilan laut
    Sumber: http://homecooking.about.com/od/seafood/a/clamtips.htm
  8. Salad
  9. Buah-buahan
  10. Aditif makanan

Gejala Alahan Makanan dan Asma

Gejala atau tanda-tanda alahan makanan adalah seperti ruam pada badan (urticaria), loya, muntah dan cirit-birit. Kebiasaannya, pesakit yang mengalami alahan makanan akan mendapat tanda-tanda alahan lain dan juga boleh diikuti dengan serangan asma iaitu batuk dan nafas berbunyi (wheezing). Sekiranya tidak diberikan rawatan awal akan menyebabkan kesan yang lebih teruk.

Makanan/Bahan Makanan yang Dapat Membantu Mengelak atau Mengurangkan Serangan Asma?

Terdapat beberapa makanan yang boleh membantu dalam mengelak atau mengurangkan serangan asma. Kerberkesanan sebahagian makanan ini bagi mengurangkan serangan asma masih lagi di dalam peringkat kajian. Contoh makanan tersebut ialah seperti berikut;

  1. Epal – kajian menunjukkan bahawa mengambil 2 ke 5 biji epal seminggu dapat mengurangkan risiko asma sebanyak 32% berbanding kurang pengambilannya. Kandungan flavonoids di dalamnya membantu membuka rongga pernafasan;
  2. Makanan mengandungi vitamin C – vitamin C merupakan sejenis agen antioksida yang bagus untuk melindungi paru-paru daripada bahan-bahan radikal. Buah citrus banyak mengandungi vitamin C seperti oren, anggur dan jambu;
  3. Beta-carotene – kajian menunjukkan bahawa makanan mengandungi beta-caraotene (sejenis agen antioksida) seperti karot boleh mengurangkan kejadian serangan asma yang dicetuskan  oleh senaman;
  4. Kafein – kandungan kafein di dalam kopi dan teh boleh membuka rongga pernafasan sehingga 4 jam selepas meminumnya;
  5. Flax seeds flax seeds mengandungi omega-3 dan magnesium yang berguna kepada penyakit asma. Magnesium dapat membantu relaksasi otot di dalam paru-paru dan membuka rongga pernafasan. Namun begitu, kesan omega-3 pada penyakit asma masih lagi     di peringkat kajian;
    flax seed
    Gambar 3: flax seed mengandungi bahan yang membantu mengurangkan serangan asma
    Sumber: http://www.newhealthguide.org/How-To-Reduce-Estrogen-Levels-In-Women.html
  6. Gluthatione – avocado mengandungi bahan gluthatione (sejenis agen oksida) yang berfungsi melindungi paru-paru daripada bahan-bahan radikal; dan
  7. Bawang putih – ia mengandungi bahan pencegah radang (anti-inflammatory) dan juga allicin iaitu sejenis agen antioksida yang dapat mengurangkan serangan asma.

Pemakanan untuk Pesakit Asma

Pesakit asma perlulah mengambil makanan sihat dan seimbang. Makanan tersebut perlulah mengandungi makanan segar dan semulajadi. Pesakit asma perlu kurangkan pengambilan makanan proses.

Semakan Akhir : 22 Mac 2016
Penulis : Dr. Norita bt. Shamsudin
 Akreditor : Dr. Norhaya bt. Mohd Razali

Baca Juga

Adakah Pencemaran Udara Berbahaya?

Apakah pencemaran udara dalam dan luar? Pencemaran udara ialah satu keadaan di mana terdapat perubahan …