Sabtu , April 27 2024
msen
Utama > Hipertensi > Rawatan Tanpa Ubat : Umum

Rawatan Tanpa Ubat : Umum

Gaya Hidup Pesakit Darah Tinggi

Pesakit darah tinggi perlu menyesuaikan diri dengan gaya hidup berikut :

  1. Mengambil makanan seimbang yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, makanan tinggi serat, makanan yang rendah kandungan lemak tepu, rendah kolesterol serta rendah kandungan garam.
  2. Meningkatkan pengambilan kalium (potassium) sebanyak 2100mg sehari (contohnya mengambil 12 hingga 13 biji kurma sehari).
  3. Mengurangkan pengambilan garam kepada kurang 5g sehari (1 sudu teh).
  4. Menurunkan berat badan sekiranya berat badan tidak ideal.
  5. Banyak melakukan aktiviti fizikal serta senaman.
  6. Berhenti merokok.
  7. Bijak tangani stres.

1

Amalkan Diet Sihat

Penggunaan garam yang tinggi dan pengambilan kalium yang kurang daripada 3.5g boleh menyumbang kepada tekanan darah tinggi, meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok. Pengambilan buah-buahan segar dan sayur-sayuran yang tinggi kandungan kalium boleh mengurangkan kesan negatif pengambilan garam yang tinggi terhadap tekanan darah.

Makanan yang kaya dengan kalium antaranya adalah buah kurma, pisang, buah kiwi, alpukat, kentang (dengan kulit), kacang dan yogurt. Mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran ini adalah lebih berkesan dalam mengurangkan tekanan darah berbanding mengambil makanan tambahan kalium.

Selain mengambil diet yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh serta produk tenusu rendah lemak, pesakit darah tinggi juga perlu mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi lemak tepu, garam dan kolesterol. Amalan diet sebegini boleh menurunkan tekanan darah sehingga 14 mmHg.

Kurangkan Pengambilan Garam

Darah tinggi dapat dikurangkan sebanyak 5 / 3 mmHg sekiranya pesakit mengurangkan pengambilan garam kepada 5 g (1 sudu teh) sehari. Hampir separuh daripada mereka yang telah mengamalkan pengambilan garam yang rendah telah dihentikan pemberian ubat darah tinggi. Pengurangan berat badan di samping pengambilan garam yang kurang juga dapat menurunkan tekanan darah tinggi.

Tips Kurangkan Pengambilan Garam

  1. Baca label makanan. Pilih dan beli makanan yang kurang kandungan garam.
  2. Kurangkan makanan yang telah diproses. Cuma sedikit garam wujud secara semulajadi dalam makanan. Kebanyakan garam ditambah semasa pemprosesan.
  3. Gunakan herba atau rempah sebagai perasa dalam makanan anda.
  4. Kurangkan pengambilan garam dalam diet secara beransur-ansur.

Amalkan Bersenam

Senaman atau melakukan aktiviti fizikal secara berkala selama 30 minit sehari boleh menurunkan tekanan darah sebanyak 4 hingga 9 mmHg. Senaman yang terbaik untuk menurunkan tekanan darah adalah berjalan kaki, berjoging, berbasikal, berenang atau menari. Jadikan senaman tersebut sebagai rutin harian. Latihan kekuatan juga boleh membantu mengurangkan tekanan darah. Senaman yang berat tidak digalakkan kepada penghidap darah tinggi yang kronik.

Kurangkan aktiviti yang tidak aktif seperti menonton televisyen, duduk menghadap komputer atau bermain permainan video terlalu lama.

Berhenti Merokok

Merokok menyebabkan peningkatan segera dalam tekanan darah dan kadar degupan jantung yang berterusan untuk lebih daripada 15 minit selepas satu batang rokok. Perokok menunjukkan tahap tekanan darah yang lebih tinggi berbanding bukan perokok.

Berhenti pada mana-mana peringkat usia memberi manfaat kesihatan serta-merta dan untuk jangka masa yang panjang. Berhenti merokok membantu tekanan darah kembali normal.

Berikut adalah manfaat kesihatan serta-merta dan jangka panjang bagi semua perokok yang berhenti merokok.

1 Dalam masa 20 minit Kadar degupan jantung dan tekanan darah akan menurun. Suhu pada kaki dan tangan akan meningkat.
2 Selepas 12 jam Paras karbon monoksida dalam darah akan kembali normal. Paras oksigen dalam darah akan meningkat.
3 Selepas 24 jam Risiko untuk serangan jantung berkurangan.
4 Selepas 48 jam Keupayaan rasa dan bau mula kembali.
5 Selepas 72 jam Saluran pernafasan akan kembali normal.
6 Selepas 2 hingga 12 minggu Peredaran darah akan bertambah baik dan fungsi paru-paru akan meningkat.
7 Selepas 1 hingga 9 bulan Batuk dan sesak nafas akan berkurangan.
8 Selepas 1 hingga 5 tahun Risiko penyakit jantung akan berkurangan sebanyak 50% berbanding risiko penyakit jantung kepada perokok.
9 Selepas 10 tahun Risiko penyakit kanser paru-paru akan berkurangan sebanyak 50% berbanding risiko penyakit kanser paru-paru kepada perokok. Risiko penyakit kanser mulut dan tekak juga akan turut berkurangan.

Bijak Tangani Stres

Stres yang dialami dalam kehidupan seharian boleh menyumbang kepada tekanan darah tinggi. Sehubungan itu adalah penting bagi pesakit darah tinggi menangani stres yang dialami dengan bijak. Saranan yang diberikan adalah mengamalkan 10B iaitu:

1. Beribadat 6. Bercakap dengan seseorang
2. Berfikiran positif 7. Berurut
3. Bertenang 8. Berehat dan mendengar muzik
4. Bernafas dengan dalam 9. Bersenam
5. Berkata : Relakslah… 10.Beriadah

 

Semakan Akhir : 19 Julai 2016
Penulis : Shuhaidah Binti Md Razali
Akreditor : Azizam Binti Mohd Ali

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …