Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Hipertensi Dan Penyakit Buah Pinggang

Hipertensi Dan Penyakit Buah Pinggang

Hipertensi Dan Penyakit Buah Pinggang

Tekanan darah tinggi (hipertensi) adalah salah satu punca penyebab penyakit buah pinggang kronik. Penyakit buah pinggang juga adalah punca utama hipertensi sekunder. Oleh itu, tekanan darah tinggi boleh menjadi punca atau komplikasi kegagalan buah pinggang.

Struktur normal buah pinggangRajah 1: Struktur Normal Buah pinggang

Buah pinggang mempunyai peranan penting dalam pengawalan tekanan darah. Apabila buah pinggang tidak berfungsi dengan baik, bahan buangan akan terkumpul dalam darah dan menyebabkan pesakit tidak sihat.

Penyakit buah pinggang kronik boleh menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang. Pesakit yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang perlu menerima rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang. Oleh itu, pengesanan dan rawatan awal boleh mencegah atau melambatkan komplikasi penyakit buah pinggang kronik.

Bagaimana Hipertensi Dan Penyakit Buah Pinggang Dikaitkan?

Kedua – duanya berkaitan dalam dua cara:

  1. Hipertensi merupakan salah satu punca utama penyakit buah pinggang. Saluran darah di dalam badan kita boleh dirosakkan oleh tekanan darah tinggi secara perlahan-lahan. Ini akan mengurangkan bekalan darah ke organ-organ penting seperti buah pinggang. Seterusnya ini akan akan merosakkan unit penapisan kecil di dalam buah pinggang. Buah pinggang yang rosak akan berhenti mengeluarkan bahan buangan dan cecair yang berlebihan daripada darah. Akibatnya, cecair yang berlebihan di dalam badan terkumpul dan menyebabkan tekanan darah meningkat lagi.
  2. Hipertensi juga boleh menjadi satu komplikasi penyakit buah pinggang. Buah pinggang memainkan peranan penting dalam mengekalkan tekanan darah dalam julat sihat. Buah pinggang yang rosak akan kehilangan kemampuan membantu mengawal tekanan darah. Hasilnya, kenaikan tekanan darah akan berlaku. Oleh yang demikian, hipertensi boleh menyebabkan penyakit buah pinggang menjadi lebih teruk.

Siapakah Yang Berisiko Mendapat Penyakit Kegagalan Fungsi Buah Pinggang Disebabkan Oleh Tekanan Darah Tinggi?

Semua orang mempunyai risiko mendapat penyakit kegagalan buah pinggang yang disebabkan oleh tekanan darah tinggi. Berikut adalah faktor-faktor risiko tinggi yang diketahui:

  1. Pesakit yang menghidap kencing manis.
  2. Kerap makan ubat tahan sakit atau ubat-ubatan tambahan (supplement) yang tidak diketahui.
  3. Pesakit yang mempunyai penyakit jantung koronari.
  4. Pesakit yang mempunyai sejarah keluarga penyakit buah pinggang yang ketara.

Apakah Tanda-Tanda Dan Gejala Penyakit Buah Pinggang Kronik?

Gejala penyakit buah pinggang bergantung kepada tahap dan peringkat penyakit itu. Pada peringkat awal penyakit buah pinggang, pesakit biasanya tidak mempunyai apa-apa gejala. Oleh itu, pesakit tersebut mungkin tidak sedar bahawa mereka telah berpenyakit. Pada peringkat akhir, gejala berikut mungkin berlaku :

  • Sentiasa rasa letih
  • Bengkak kaki, terutamanya pada waktu malam / berdiri yang berpanjangan

Kaki bengkakRajah 2: Kaki Bengkak

  • Rasa loya / muntah berterusan
  • Tekanan darah tidak terkawal
  • Jumlah air kencing berkurangan

Bagaimana Mengesahkan Penyakit Buah Pinggang Kronik Pada Pesakit Darah Tinggi?

Ujian-ujian berikut perlu dilakukan oleh doktor yang merawat untuk mengesahkan penyakit buah pinggang kronik:

  • Ujian darah untuk menilai fungsi buah pinggang (creatinine)

Creatinine adalah produk sisa daripada sel-sel otot di badan kita. Buah pinggang yang sihat boleh mengeluarkan creatinine daripada darah dan menyingkirannya melalui air kencing. Apabila buah pinggang tidak berfungsi dengan baik, creatinine akan tersimpan dalam darah.

Creatinine digunakan untuk mengira GFR (glomerular filtration rate). GFR adalah penilaian fungsi buah pinggang menapis bahan buangan daripada darah. Jika GFR adalah terlalu rendah, ia mungkin bermakna buah pinggang tidak mampu membuang sisa dan cecair berlebihan daripada darah.

  • Ujian air kencing untuk protein dan sel darah merah

Proteinuria berterusan atau / dan kehadiran sel-sel darah merah di dalam air kencing adalah tanda kerosakan buah pinggang. Kemungkinan penyakit buah pinggang menjadi lebih teruk apabila tahap protein dalam air kencing meningkat.

Ujian air kencingRajah 3: Ujian Air Kencing

Apakah Peringkat-Peringkat Penyakit Buah Pinggang?

Terdapat lima peringkat penyakit buah pinggang. Doktor anda akan menentukan peringkat penyakit buah pinggang berdasarkan kerosakan buah pinggang dan GFR, yang merupakan penilaian tahap fungsi buah pinggang. Rawatan yang diberi adalah berdasarkan peringkat penyakit buah pinggang.

Untuk penerangan lanjut tentang peringkat penyakit buah pinggang kronik, sila rujuk kepada portal CKD –subtopik: peringkat-peringkat CKD.

Bagaimana Untuk Mencegah Kerosakan Buah Pinggang Daripada Tekanan Darah Tinggi?

Pengawalan tekanan darah adalah penting untuk mencegah dan melambatkan proses kerosakan buah pinggang. Ubat-ubatan dan gaya hidup yang sihat boleh membantu dalam pengawalan tekanan darah.

Pilihan gaya hidup sihat termasuk tidak merokok, pemakanan yang sihat, bersukan, mengekalkan berat badan yang unggul, mengelakkan ubat-ubatan tertentu dan mengawal “stress”.

Daripada segi rawatan perubatan, kawalan tekanan darah dan proteinuria merupakan faktor-faktor penting untuk memperlahankan kerosakan buah pinggang. Oleh itu, ubat-ubatan anti hipertensi yang boleh mengurangkan proteinuria diberi keutamaan. Sebagai contoh, angiotensin-converting enzyme inhibitors (ACEI) dan angiotensin receptor blockers (ARBs) adalah jenis – jenis ubat antihipertensi utama yang biasa digunakan untuk mengawal tekanan darah apabila pesakit mempunyai proteinura juga.

Rujukan

  1. Clinical practice guidelines of management of hypertension 3rd edition (2008), Malaysia
  2. Clinical practice guidelines for management of chronic kidney disease in adults, Malaysia
  3. Rajah 1: http://kandh.org/
  4. Rajah 2: http://orthopedics.ygoy.com/2011/09/26/causes-of-leg-swelling/
  5. Rajah 3: http://seh.50megs.com/central_activity.htm
Semakan Akhir : 31 Disember 2013
Penulis : Dr. Yeoh Chin Aun
Akreditor : Dr. Anita Bhajan

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …