Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Fakta dan Mitos > Perubatan Menaikkan Berat Badan

Perubatan Menaikkan Berat Badan

Pengenalan

Penyakit hipertensi atau tekanan darah tinggi merupakan penyakit kronik yang sering berlaku pada mereka yang lanjut usia. Ini adalah kerana secara umumnya tekanan darah akan meningkat seiring pertambahan usia, namun sejak akhir-akhir ini, penyakit ini turut dialami oleh belia seawal umur 20an. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh kegagalan dalam menguruskan tekanan hidup dengan baik serta amalan gaya hidup yang kurang sihat.

Jantung merupakan organ utama yang mengawal tekanan darah. Ia berperanan sebagai sebuah pam yang mengepam darah ke seluruh badan manusia. Tekanan darah yang diukur sewaktu jantung mengepam darah dipanggil tekanan darah sistolik (juga disebut bacaan atas), manakala tekanan darah yang diukur sewaktu jantung dalam keadaan rehat dipanggil tekanan darah diastolic (juga disebut bacaan bawah). Tekanan darah yang normal adalah 120/80 mmHg manakala tekanan darah dikatakan tinggi apabila ianya melebihi 140/90 mmHg atau melebihi 120/80 mmHg bagi pesakit diabetes mellitus.

Kenapa tekanan darah dalam badan perlu dikawal supaya ianya tidak terlampau tinggi? Tekanan darah yang tinggi secara berterusan boleh menyebabkan kerosakan pada organ-organ utama dalam badan seperti ginjal (buah pinggang), jantung, pembuluh darah, otak dan mata.

Bagi pesakit yang tidak dapat mengawal penyakit hipertensi dengan mengamalkan cara hidup yang sihat, terapi ubat anti hipertensi adalah diperlukan. Rawatan anti hipertensi adalah terdiri dari pelbagai kelas, jenis ubat dan pemilihan ubat adalah berdasarkan factor penyakit, factor pesakit itu sendiri seperti fungsi organ badan dan penyakit-penyakit lain yang dihidapi jika ada.

Mitos Ubat Anti Hipertensi Menyebabkan Peningkatan Berat Badan

Secara umumnya, kesemua jenis ubat tidak kira samada ubat anti-hipertensi, anti-diabetes mahupun ubat antibiotik, mempunyai kesan sampingan samada positif atau negatif terhadap kesihatan manusia. Namun demikian tidak semua pesakit yang mengambil ubat akan mengalami kesan sampingan yang tidak diingini kerana kesan sampingan ubat selain disebabkan oleh bahan kimia ubat itu sendiri, ia turut bergantung kepada faktor penyakit dan faktor pesakit seperti kehadiran genetik tertentu dan fungsi organ-organ utama. Kesan-kesan sampingan ini telah diambil kira oleh doktor yang merawat sebelum mereka memulakan sesuatu rawatan.

Seringkali pengambilan sesuatu ubat dikaitkan dengan pertambahan berat badan. Adalah perlu difahami bahawa perubahan dalam berat badan boleh berlaku jika sesuatu ubat itu bertindak merangsang atau mengurangkan selera makan pesakit, mengganggu metabolisme nutrien, lemak dan gula serta menyebabkan pengalihan kedudukan (redistribution) lemak dalam badan.

Ramai dari kalangan pesakit yang menerima rawatan ubat anti-hipertensi menyuarakan kebimbangan mereka mengenai kenaikan berat badan kesan pengambilan ubat-ubat tersebut. Benarkah ubat anti hipertensi menyebabkan peningkatan berat badan? Jawapan terhadap persoalan tersebut adalah mungkin benar dan mungkin tidak benar.

Kebanyakan ubat anti-hipertensi boleh mengubah kedudukan air dalam badan manusia dari dalam sel ke ruangan luar sel (extravascular space) dan turut menyebabkan gangguan dalam pengeluaran air oleh ginjal. Keadaan ini menyebabkan berlakunya pengumpulan bendalir di dalam salur darah yang disebut peripheral edema. Peningkatan dalam berat badan hanya akan berlaku dengan pengumpulan bendalir yang banyak melebihi 3 liter. Keadaan inilah yang disalah anggap sebagai pertambahan dalam berat badan disebabkan oleh pengambilan ubat anti-hipertensi sedangkan keadaan sebenarnya adalah pengumpulan bendalir.

Bagi sesetengah anti-hipertensi seperti kumpulan diuretik dan perencat Angiotensin Converting Enzymes (ACE) pula memberikan kesan sebaliknya iaitu meningkatkan pengeluaran bendalir dari badan dan boleh menyebabkan berlakunya pengurangan berat badan. Kajian menunjukkan sebanyak satu hingga dua kilogram berat badan berkurangan dengan pengambilan ubat dari kumpulan diuretik dan ubat dari kumpulan perencat ACE selepas enam hingga lapan minggu terapi.

Ubat-ubat anti-hipertensi dari kumpulan perencat beta (beta blocker) boleh menyebabkan pertambahan berat badan. Saintis beranggapan pertambahan berat badan ini berlaku kerana anti-hipertensi perencat beta turut mengganggu proses metabolisme dalam badan. Kajian United Kingdom Prospective Diabetes Study Group (UKPDS) melaporkan purata pertambahan berat badan sebanyak 3.4 kilogram di dalam pesakit yang menerima terapi Penghalang Beta Atenolol selama sembilan tahun. Manakala dalam satu lagi kajian Beta Blocker Heart Attack Trial menunjukkan purata pertambahan berat badan sebanyak 2.3 kilogram dalam pesakit yang menerima ubat Penghalang Beta Propranolol.

Kesimpulan

Jika perbandingan dibuat antara pertambahan berat badan sebanyak dua hingga empat kilogram dengan pengambilan ubat penghalang beta dan komplikasi akibat tekanan darah tinggi yang tidak terkawal; adalah lebih wajar terapi dengan penghalang beta diteruskan. Peningkatan berat badan dengan pengambilan ubat penghalang beta tidaklah begitu ketara dan pesakit bertanggungjawab mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mengelak dari berlakunya peningkatan berat badan yang ketara.

Semakan Akhir : 2 Mac 2016
Penulis : Suzana Binti Mustafa
Akreditor : Dr. Siti Norlina Binti Md. Said

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …