Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Rawatan Untuk Warga Emas

Rawatan Untuk Warga Emas

Pengenalan

  •  Risiko hipertensi meningkat dengan usia.
  • Warga emas mungkin menghidap masalah perubatan lain yang boleh memberi kesan terhadap pemilihan rawatan ubat-ubatan hipertensi.
  • Golongan warga emas merupakan satu gologan yang terdiri daripada pelbagai tahap kesihatan yang berbeza: daripada warga emas yang sihat kepada warga emas yang uzur.
  • Warga emas yang uzur lebih berisiko untuk mengalami masalah kesan sampingan ubat-ubatan hipertensi.
  • Pertimbangan khas untuk golongan warga emas spesifik akan dibincang di sini. Untuk maklumat lanjut, sila baca artikel rawatan untuk hipertensi.

Pertimbangan Rawatan

  • Rawatan hipertensi dengan mengunakan 1 sejenis ubat adalah jelas tidak mencukupi dalam pengawalan tekanan darah dan pencegahan penyakit kardiovaskular untuk kebanyakan warga emas.
  • Ubat kombinasi yang mengandungi lebih daripada 1 jenis ubat hipertensi dalam 1 pil adalah berguna di kalangan warga emas untuk memudahkan pengambilan ubat-ubatan.
  • Rawatan seharusnya dipermudahkan bagi warga emas yang mempunyai masalah kognitif atau penglihatan untuk memudahkan pengambilan ubat-ubatan. Bekas pil dapat membantu seseorang untuk mengambil ubat-ubatan yang betul pada masa yang betul. Pengawasan daripada penjaga diperlukan untuk warga emas yang mengalami masalah kognitif yang lebih serius.
  • Faktor emosi dan social sesorang warga emas perlu diberi perhatian untuk memastikan rawatan hipertensi dapat diberikan secara optima. Seseorang yang murung tidak akan endah kepada nasihat rawatan yang diberikan.
  • Pastikan warga emas dapat sampai ke klinik untuk menerima rawatan. Ini adalah kerana pergerakan fizikal warga emas adalah lebih terhad jika dibandingkan dengan mereka yang lebih muda. Pastikan masalah isu pengangkutan daripada rumah ke klinik tidak timbul.

Rawatan Dengan Ubat-Ubatan (Pil Secara Berasingan Atau Kombinasi)

Diuretik (Ubat kencing)

Diuretik adalah daripada sekumpulan ubat-ubatan yang berfungsi dengan membantu badan seseorang untuk menyingkirkan kandungan garam badan yang berlebihan. Terdapat pelbagai jenis ubat yang terkandung di dalam kumpulan ubat-ubatan ini. Ubat thiazide adalah ubat yang penting dalam rawatan hipertensi, disebabkan oleh keupayaannya dalam mengurangkan kejadian strok dan penyakit kardiovaskular. Ia juga merupakan ubat yang berkos rendah. Thiazide berdos rendah adalah disyorkan untuk rawatan tekanan darah tinggi.

Kesan-kesan sampingan ubat thiazide adalah seperti masalah potasium badan yang rendah, rintangan insulin dan masalah metabolik gula badan. Oleh itu, pengunaan ubatan dengan cara yang betul dan pengawasan kesan sampingan ubat daripada golongan profesional yang bertauliah adalah penting.

Ubat Calcium Channel Blockers (CCB)

Ubat-ubatan daripada kumpulan CCB berkesan terutama sekali dalam pencegahan penyakit strok di golongan warga emas. Data yang terkumpul daripada hasil-hasil penyelidikan menunjukan bahawa ubat CCB dapat mengurangkan risiko strok sebanyak 10% berbanding dengan ubat-ubatan daripada kumpulan lain2. Kelebihan ubat CCB adalah disebabkan oleh kebolehan ubat ini dalam menurunkan tekanan darah secara efektif. Secara teori, ubat CCB adalah lebih sesuai berbanding dengan ubat kencing untuk mereka yang berisiko menghidap sidrom metabolik atau penyakit rintangan insulin.

Ubat CCB boleh digunakan sebagai alternatif kepada ubat pertama dalam kawalan darah tinggi di golongan warga emas. Secara amnya, kos ubat CCB adalah lebih tinngi daripada kos ubat kencing.

Ubat ACE dan ARB

Ubat-ubatan daripada kumpulan ini mempunyai kelebihan untuk pesakit-pesakit yang juga mempunyai masalah kesihatan lain seperti penyakit kardiovaskular, diabetis dengan kebocoran protin dalam air kencing (albumin dalam air kencing) atau penyakit buah pinggan kronik. Ubat-ubatan ini (diambil secara berasingan atau sebagai pil kombinasi) dapat mengurangkan gelaja diabetis sebanyak 25% berbanding dengan ubat-ubatan darah tinggi lain. Kebolehan pengurangan tekanan darah untuk ubat ACE adalah kurang untuk golongan warga emas kalau dibandingkan dengan ubat kencing dan CCB. Oleh itu, ubat ACE atau ARB jarang digunakan sebagai ubat pertama dalam rawatan hipertensi. Ia biasanya digunakan sebagai tambahan kepada rawatan dengan ubat kencing atau CCB.

Ubat-Ubatan Dalam Kumpulan Lain

Ubat-ubatan daripada kumpulan lain adalah juga berkesan dalam kawalan tekanan darah tinggi dan sebagai rawatan untuk masalah kesihatan lain yang melibatkan kerosakan organ-organ badan. Ubat-ubatan ini biasanya digunakan sebagai kombinasi dengan rawatan ubat lain. Ini adalah disebabkan oleh kekurangan maklumat daripada penyelidikan mengenai penggunaan ubat-ubatan ini sebagai rawatan pertama untuk penyakit hipertensi di kalangan wargaemas.

Kesan Sampingan Ubat (Pertimbangan Khas Untuk Golongan Warga Emas)

Berikut adalah kesan-kesan sampingan ubat yang biasa terkeliru dengan masalah perubatan lain di golongan warga emas:

  • Kaki bengkak adalah kesan sampingan ubat CCB yang kerap berlaku. Keadaan ini mungkin terkeliru dengan masalah perubatan seperti jangtung lemah atau penyakit buah pinggan.
  • Batuk kering adalah kesan sampingan ubat ACE yang kerap berlaku. Keadaan ini mungking terkeliru dengan masalah paru-paru kronik seperti jangkitan paru-paru, penyakit COAD atau kanser paru-paru.
  • Gangguan fungsi buah pinggang. ACE dan ARB mungkin menyebabkan gangguan fungsi buah pinggang untuk mereka yang berisiko (masalah kekontangan kandungan air badan atau masalah perubatan seperti saluran darah buah pinggang yang sempit). Fungsi buah pinggang yang terjejas disebabkan oleh ubat boleh diperbetulkan dengan menghentikan ubat yang terlibat. Keadaan ini perlu dibezakan dengan masalah buah pinggang kronik yang disebabkan oleh penyakit hipertensi.
  • Sakit otot mungkin disebabkan oleh kombinasi ubat CCB dengan ubat lipid (kolesterol). Keadaan ini boleh diperbetulkan dengan menghentikan ubat yang terlibat. Keadaan ini perlu dibezakan dengan penyakit degenerasi sendi yang kerap berlaku di golongan warga emas.
  • CCB boleh menyebabkan sembelit. Masalah sembelit juga kerap berlaku di golongan warga emas.
  • Semua ubat-ubatan darah tinggi berpotensi untuk menyebabkan gejala pening. Gejala pening juga boleh disebabkan oleh tekanan darah yang tidak terkawal. Ubat-ubatan darah tinggi biasanya menyebabkan gejala pening yang berkaitan dengan posisi badan. Modifikasi dos rawatan ubat biasanya diperlukan.

Rawatan hipertensi untuk golongan warga emas adalah penting dalam mengurangkan risiko kardiovaskular. Walaubagaimanapun, warga emas adalah lebih berisiko untuk mengalami gejala kesan sampingan ubat berbanding dengan gologan muda. Kebanyakan daripda gejala kesan sampingan ubat adalah sama dengan gelaja masalah kesihatan lain yang kerap berlaku untuk golongan warga emas. Oleh itu, anda tidak digalakan untuk merawat tekanan darah sendiri tanpa pemantauan daripada doktor. Beritahu doktor anda sekiranya anda mengalami gejala-gejala baru semasa menerima rawatan.

Rawatan Modifikasi Gaya Hidup

Modifikasi gaya hidup juga merupakan komponen penting dalam rawatan hipertensi untuk golongan warga emas. Maklumat lanjut boleh didapati daripada artikel “rawatan hipertensi (dewasa)” Hyperlink. Walaubagaimanapun, pertimbangan khas adalah diperlukan untuk golongan warga emas yang mengalami masalah hipertensi:

  • Aktiviti fizikal mungkin dihadkan oleh penyakit sendi atau kestabilan badan. Nasihat daripada pegawai fisioterapi untuk menyesuaikan kegiatan aktiviti fisikal dengan tahap kesihatan fisikal adalah diperlukan. Sebagai contoh, senaman yang melibatkan pergerakan bahagian atas badan adalah lebih bersesuaian untuk golongan yang menghadapi masalah osteoartritis lutut yang menghadkan pergerakan bahagian bawah badan.
  • Deria rasa lidah berkurang dengan pertambahan usia seseorang. Pengurangan pengambilan garam dan gula perlulah dilakukan tanpa mengkompromi jumlah pengambilan pemakanan seharian. Pengurangan pengambilan pemakanan boleh mengakibatkan masalah kekurangan nutrisi dan seterusnya meningkatkan risiko menghidap masalah jangkitan kuman.
  • Berat badan ideal termasuklah memastikan bahawa warga emas tersebut tidak terlalu kurus. Masalah kekurangan nutrisi di kalangan warga emas adalah masalah yang bukan jarang berlaku. Warga emas yang terlalu kurus menpunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami gejala kesan sampingan ubat-ubatan.

Pemeriksaan Tekanan Darah (Pertimbangan Khas Untuk Gologan Warga Emas)

Secara amnya, pemeriksaan tekanan darah untuk golongan warga emas adalah sama seperti gologan dewasa. Walaubagaimanapun, pemeriksaan tekanan darah seharusnya dilakukan dalam kedua-dua posisi, berdiri dan duduk. Ini adalah untuk meningkatkan keberkesanan untuk mengesan gejala hipotensi postural yang merupakan gejala yang biasa berlaku di golongan warga emaas.

Kesimpulan

  • Seperti golongan dewasa, tekanan darah tinggi di kalangan warga emas juga meningkatkan risiko kardiovaskular dan sepatutnya dirawat.
  • Disebabkan oleh pertukaran fisologi badan, keberkesanan ubat-ubatan tekanan darah tinggi untuk golongan warga emas mungkin berbeza daripada golongan yang lebih muda.
  • Warga emas adalah lebih cenderung untuk mengalami gejala-gejala kesan sampingan ubat. Gejala-gejala ini mungkin tidak ketara dan terkeliru dengan gejala-gejala masalah kesihatan yang lain. Rawatan hipertensi memerlukan rawatan susulan dan pemantauan daripada gologan profesional yang bertauliah.
  • Seperti warga dewasa, rawatan gaya hidup adalah juga penting untuk rawatan hipertensi gologan warga emas. Walaubagaimanapun, modifikasi mungkin diperlukan untuk disesuaikan mengikut tahap kesihatan seseorang warga emas tersebut.
  • Hipotensi postural lebih kerap berlaku di gologan warga emas kalau dibandingkan dengan golongan dewasa. Pengukuran tekanan darah semasa posisi berdiri sepatutnya menjadi sebahagian daripada pemeriksaan tekanan darah rutin.

Rujukan

  1. Ernst ME, Carter BL, Goerdt CJ, et al. Comparative antihypertensive effects of hydrochlorothiazide and chlorthalidone on ambulatory and office blood pressure. Hypertension. 2006;47:352-358.
  2. Angeli F, Verdecchia P, Reboldi GP, et al. Calcium channel blockade to prevent stroke in hypertension: a meta-analysis of 13 studies with 103,793 subjects. Am J Hypertens. 2004;17:817-822.
  3. Kaplan NM. Systemic hypertension: therapy. In: Libby P, Bonow RO, Mann DL, Zipes DP. Braunwald’s Heart Disease: A Textbook of Cardiovascular Medicine. 8th ed. Philadelphia, Pa: Saunders Elsevier; 2007:chap 41.
  4. Victor RG, Kaplan NM. Systemic hypertension: mechanisms and diagnosis. In: Libby P, Bonow RO, Mann DL, Zipes DP. Braunwald’s Heart Disease: A Textbook of Cardiovascular Medicine. 8th ed. Philadelphia, Pa: Saunders Elsevier; 2007:chap 40.
Semakan Akhir : 2 Mac 2016
Penulis : Dr. Cheah Wee Kooi
Akreditor : Dr. Ainol Shareha Binti Sahar

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …