Sabtu , April 27 2024
msen
Utama > Pelbagai > Serangan Asma Dan Faktor Pencetus

Serangan Asma Dan Faktor Pencetus

Pengenalan

Apabila seseorang pesakit asma terdedah kepada faktor pencetus, mereka boleh mendapat serangan asma atau status asma menjadi teruk. Faktor pencetus asma adalah berbeza bagi setiap individu. Jika anda dapat kenal pasti dan kendalikannya dengan baik ini akan dapat  mencegah serangan asma.

 Apakah faktor pencetus serangan asma?

Faktor pencetus serangan asma adalah bahan atau situasi yang boleh merangsang reaksi alahan kepada salur pernafasan. Salur pernafasan akan menghasilkan mukus dengan banyak dan otot saluran pernafasan akan mengecut. Penyempitan salur pernafasan berlaku dan menyebabkan pesakit berasa sesak nafas, batuk serta nafas berbunyi (wheezing).

 Pentingnya kenal pasti faktor pencetus asma

Status asma anda akan lebih terkawal jika anda dapat menangani faktor pencetus dengan baik. Anda juga boleh mengambil langkah untuk menghindari faktor pencetus yang boleh menyebabkan serangan asma.

Faktor pencetus asma boleh terdapat

  1. Dipersekitaran dalaman rumah (indoor allergens)
  2. Persekitaran luaran rumah (outdoor allergens)
  3. Pencemaran di udara

 Faktor pencetus “indoors allergen”

 Agen ini terdapat di persekitaran dalaman rumah, sekolah, tempat kerja dan bangunan. Ia mampu mencetuskan serangan asma anda. Ia mungkin tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan tidak anda sedari.

Jenis

 Berikut adalah “indoors allergen” yang biasa mencetuskan  serangan asma.

  • Hama habuk rumah “House dust mites”
  • Haiwan peliharaan seperti kucing, anjing, arnab
  • Serangga seperti lipas
  • Fungus atau kulat

Hama habuk rumah “house dust mites” 

 hama habuk
Hama habuk rumah yang dibesarkan 2000 kali ganda
Source: http://www.allergydogcentral.com/tag/dust-mite/

Hama adalah organisma kecil yang dapat hanya dapat dilihat di bawah mikroskop. Ia hidup di habitat yang panas dan lembap. Hama ini hidup dengan memakan cebisan sel mati yang tanggal dari keratin kulit manusia atau haiwan peliharaan. Oleh itu ia amat banyak di ruang di mana manusia berehat terutama di bilik tidur, sofa dan karpet. Kelembapan tubuh manusia serta cebisan keratin yang tanggal dari kulit manusia dan haiwan mengalakkan tumbesarannya. Anda mungkin berkongsi katil dengan  berbillion-billion organisma ini setiap malam.

Bagaimana ia boleh mencetuskan asma?

Hama ini menghasilkan bahan kumuh dan najis. Bahan ini akan bercampur dengan habuk rumah dan bertebaran di udara rumah anda. Ia mungkin tidak berbahaya kepada kebanyakan orang. Tetapi bagi pesakit asma, bahan ini kerap menjadi pencetus kepada serangan asma atau gejala alahan lain seperti “allergic sinusitis”.

Pesakit asma mungkin berasa kerap mendapat batuk atau mendapat serangan asma sewaktu malam. Ini terjadi jika anda tidur atau berehat diatas cadar atau sofa yang dicemari oleh hama.

Bagaimana cara melindungi diri daripada alahan kepada hama?

Tips yang penting adalah elakkan habuk dari terkumpul di persekitaran dalaman rumah, sekolah atau tempat kerja anda. 

  • Jauhi hama di bilik tidur dengan mengunakan cadar atau sarung bantal yang dikenal pasti kalis alahan (allergen-proof). Cuci dengan air panas sekurang-kurangnya sekali seminggu. Elakkan menggunakan cadar atau sarung bantal yang berbulu.
  • Elakkan daripada menggunakan karpet kerana ia dapat memerangkap habuk yang mungkin dicemari oleh najis bahan kumuh dari hama. Jika ada, gunakan penyedut hampagas dengan “allergen-proof vacuum bag” untuk membersihkannya. Pakailah topeng muka semasa menyedut habuk.
  • Cuci penapis pada alat penghawa dingin dengan kerap sekurang-kurangnya sekali sebulan.
  • Simpan pakaian, peralatan, permainan kanak-kanak atau buku di dalam laci atau almari yang bertutup untuk mengelakkan habuk.
  • Lap habuk pada peralatan dengan kain lembap dengan lebih kerap.
  • Pilih permainan anak anda daripada bahan yang mudah dicuci dan dibersihkan. Elakkan permainan yang berbulu dan menyimpan habuk.

Haiwan peliharaan (pets)

haiwan peliharaan

Haiwan peliharaan

Source: http://www.loveyourdog.com/cat.html

D

“Animal dander”

Source: http://www.rte.ie/radio1/mooney/programmes/

2013/0503/390174-friday-may-3rd-2013/

Haiwan peliharaan yang berbulu atau berambut seperti kucing, anjing, arnab, “hamster” dan “guinea pigs” boleh mencetuskan serangan asma. Kebanyakan kita beranggapan bahawa ia disebabkan oleh bulu atau rambut pada haiwan tersebut. Tanggapan tersebut adalah tidak benar.

Reaksi alahan adalah disebabkan oleh “animal’s dander” iaitu protein daripada sel mati yang tertanggal dari tubuh haiwan, protein dari air liur atau urin haiwan. “Animal dander” adalah sangat ringan dan kecil dan boleh berterbangan di udara.

Agen pencetus asma yang utama bagi bagi kucing dan anjing peliharaan adalah glycoprotein yang terdapat di kelenjar “sebaceous” di bawah bulunya dan kelenjar air liur sublingual. Semasa ia menjilat bulunya agen ini berserta air liur akan terlekat pada bulu, dan tanggal apabila kering serta berterbangan di udara.”Animal’s dander” boleh melekat pada pakaian, peralatan rumah serta perabot selama berapa bulan.

Bagi haiwan peliharaan seperti arnab, “hamsters” dan “guinea pigs” urin adalah sumber “allergen” dari yang utama. Manakala haiwan jenis burung pula boleh menghasilkan “animal’s dander” daripada debu dari bulunya.

Bagaimana ia boleh mencetuskan asma?

 Simptom alahan boleh terjadi serta-merta atau selepas 12 jam terdedah kepada haiwan. Paru-paru anda akan memberikan reaksi inflamasi. Anda boleh mendapat gejala asma seperti sesak nafas, nafas berbunyi dan rasa penat.

Bagaimana cara melindungi diri daripada alahan? 

  • Langkah yang terbaik adalah tidak memelihara haiwan peliharaan yang anda alah kepadanya.
  • Jika anda mempunyai haiwan peliharaan, pastikan ia tidak berada di dalam bilik tidur atau bilik yang anda kerap gunakan. Bataskan ruang yang dibenarkan untuk ia berada. Sebaiknya letakkan ia di luar rumah.
  • Mandikan dan bersihkan haiwan peliharaan anda setiap minggu. Bersihkan kandang atau tempat haiwan peliharaan setiap hari. Anda boleh meminta bantuan sesiapa yang tidak mempunyai alahan untuk melakukannya.
  • Vakum hampagas karpet anda dan minimumkan pengunaan sofa fabrik bagi mengelakkan bulu atau “animal’s dander” melekat padanya.
  • Jika perlu, anda boleh gantikan haiwan peliharaan berbulu kepada ikan atau kura-kura.
  • Jika anda menziarahi rumah saudara/rakan yang mempunyai haiwan peliharaan, pastikan anda mengambil ubat asma sebelum pergi. Hadkan kontak kepada haiwan tersebut.

Lipas

lipas
Terdapat banyak spesis lipas yang berkeliaran di dalam bangunan dan rumah.
Source: http://www.orkin.com/cockroaches/

Bagaimanakah ia boleh mencetuskan asma?

 Bahan daripada lipas yang boleh menyebabkan alahan datangnya dari tubuh lipas berserta najis dan air liurnya boleh menyebabkan alahan kepada individu yang mempunyai asma. Lipas yang mati akan kering dan hancur menjadi habuk yang berterbangan di udara.

Bagaimanakah cara melindungi diripada anda dari alahan kepada lipas? 

  • Simpan makanan di dalam bekas yang bertutup. Cuci pinggan mangkuk dan bekas sisa makanan dengan bersih. Pastikan tong sampah bertutup dan segala sampah sarap dibuang setiap hari.
  • Untuk mengelakkan lipas masuk ke rumah anda, tampal segala rekahan dan kebocoran pada rumah anda. Pasang jaringan pada lubang udara/air yang terdapat dalam rumah untuk membataskan kemasukan lipas dalam rumah anda.
  • Gunakan perangkap lipas atau racun lipas untuk membunuhnya. Jika anda menggunakan racun berbentuk aeresol, hendaklah memakai topeng muka dan patuhi arahan yang diberikan. Lakukan sewaktu penghuni lain tiada. Pastikan ruang bilik diberikan pengudaraan yang secukupnya selepas semburan dibuat. 

 Fungus/Kulat 

kulat dinding

Kulat di dinding

spora

Spora

Source: http://inspectapedia.com/mold/Hidden_Mold.php Source : http://babelnet.org/synset?word=bn:00031325n&details=1&lang=EN

Fungus juga dikenali sebagai kulat adalah kumpulan organisma kecil yang tumbuh di kawasan yang lembap,gelap dan mereput. Oleh yang demikian, ia kerap ditemui di kawasan rumah seperti di bilik mandi ,di bawah sinki,stor dan  dinding yang basah.

Kulat menghasilkan spora sebagai cara untuk membiak. Spora yang matang akan berterbangan di udara dan mampu untuk mencetuskan serangan asma.

Bagaimanakah cara melindungi diri anda daripada alahan kepada kulat? 

  • Kenal pasti kawasan yang ditumbuhi kulat dan bersihkan. Anda boleh gunakan campuran cecair klorox 5 peratus dan sabun. Bersihkan bilik mandi setiap minggu dengan cecair pencuci yang dapat menghalang pertumbuhan kulat.
  • Baiki segala kebocoran seperti rekahan bumbung atau dinding untuk menghalang air hujan masuk.Baiki kebocoran dari saluran paip dengan segera. Ini untuk mengelakkan kawasan menjadi basah yang mempengaruhi pertumbuhan kulat.
  • Gunakan cat yang dapat menghalang pertumbuhan kulat bagi kemasan dalaman rumah anda.
  • Elakkan daripada menyimpan kasut, suratkhabar lama, baju basah atau peralatan di kawasan yang dikenal pasti lembap dan berkemungkinan boleh ditumbuhi kulat.
  • Elakkan meletakkan permaidani di permukaan simen atau lantai yang mudah basah, ia mengalakkan pertumbuhan kulat di bawahnya.
  • Anda boleh gunakan pendingin hawa bagi mendapatkan pengudaraan yang kering di dalam rumah anda.
  • Elakkan menanam tumbuhan dalam bilik tidur, daun yang mereput boleh mengalakkan pertumbuhan kulat.

 

Semakan Akhir : 22 Mac 2016
Penulis : Dr. Jemah bt. Sajari
Akreditor : Dr. Norhaya bt. Mohd Razali

Baca Juga

Adakah Pencemaran Udara Berbahaya?

Apakah pencemaran udara dalam dan luar? Pencemaran udara ialah satu keadaan di mana terdapat perubahan …