Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Cara Mengurus Ubat Untuk Kanak-Kanak

Cara Mengurus Ubat Untuk Kanak-Kanak

Secara umumnya ubat didefinasikan sebagai bahan kimia yang digunakan untuk mencegah, mengawal dan merawat penyakit. Sungguhpun tujuan asalnya membawa kebaikan namun ia turut diklasifikasikan sebagai kumpulan racun yang berupaya menyebabkan gejala akut (gejala keracunan yang ditunjukkan secara mendadak) sekiranya arahan penggunaan ubat tidak dipatuhi oleh pengguna.

Selaras dengan kepesatan perkembangan teknologi maklumat, kebelakangan ini kita sering digemparkan dengan kes-kes keracunan ubat terutamanya di kalangan kanak-kanak. Pelbagai spekulasi disebarkan sehingga mengundang kerisauan kepada pengguna. Sebenarnya kesilapan pengubatan jarang berlaku namun ia perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana ia boleh berlaku di mana – mana sahaja termasuk rumah.

National Coordinating Council for Medication Error Reporting and Prevention (NCCMERP), Amerika Syarikat mendefinisikan kesilapan penggunaan ubat-ubatan sebagai:

“Kesilapan penggunaan ubat-ubatan adalah sebarang perkara yang mengakibatkan penggunaan ubat-ubatan yang tidak sesuai atau memberi kesan buruk kepada pesakit pada masa ubat-ubatan dalam kawalan anggota kesihatan, pesakit atau pengguna”.

Kesilapan boleh berlaku di semua peringkat dalam proses pengambilan ubat samada secara langsung atau tidak langsung. Namun penggunalah individu terakhir dalam proses pengambilan ubat sebelum ia masuk ke dalam badan. Bagi dewasa, kesilapan biasanya kurang berlaku memandangkan maklumat ubat diberikan secara langsung kepada pengguna dan kefahaman pengguna dipastikan terlebih dahulu. Namun, bagi kanak-kanak pula, pengambilan ubat biasanya dilakukan kepada penjaga atau ibu bapa kanak-kanak dan kebiasaannya perhatian khusus perlu diberikan dalam pemberian ubat kepada kanak-kanak. Proses ini amat menyukarkan dan memerlukan kesabaran yang tinggi serta penggunaan teknik yang betul.

Oleh yang demikian, ibu bapa/ penjaga perlu memainkan peranan yang penting melengkapi diri dengan maklumat agar kesilapan sehingga menyebabkan keracunan ubat tidak berlaku sama sekali.

Tip-Tip
Antara 9 tip-tip mengelakkan keracunan ubat adalah:

1. Kenali ubat anda

Pengguna Yang BETUL

Memastikan kanak-kanak yang betul melalui label nama yang tertera pada bekas atau sampul ubat.

Ubat yang BETUL

Ibu bapa/ penjaga perlu mengenalpasti nama generik ubat dan tujuan ia diberikan. Nama generik atau bahan aktif ubat perlu dikenalpasti kerana mungkin akan berlakunya pertukaran terhadap jenama ubat yang digunakan kelak. Selain itu, warna, bentuk dan tanda pada ubat juga perlu dikenalpasti bagi mengelakkan kekeliruan.

Dos Yang BETUL

Ibu bapa / penjaga perlu mengetahui kuantiti dan kekuatan ubat yang perlu diambil mengikut arahan doktor.

Masa Pengambilan Yang BETUL

Ibu bapa/ penjaga perlu mengenalpasti selang masa ubat perlu diambil.

Cara Pengambilan Yang BETUL

Ibu bapa/ penjaga perlu mengenalpasti bentuk dos ubat yang diberikan dengan cara pengambilan yang betul. Ini memastikan dos ubat yang cukup untuk memberi kesan terapeutik kepada kanak-kanak.

Jenis Persediaan:

A. Persediaan Cecair

1. Kanak-kanak yang baru lahir hingga usia berusia 1 tahun

2. Panduan pemberian:

  1. Mengenal pasti ubat dan cara penyediaan yang betul.
  2. Ampu kepala bayi dan dongakkan kepala bayi pada sudut 45°
  3. Balut bayi anda dengan kain / selimut bayi.
  4. Tiupkan mata bayi selepas ubat diberikan agar bayi menelan ubat
  5. Pakai peralatan yang sesuai untuk pemberian ubatan bagi mengelakkan bayi menutup mulut dan muntah.
  6. Jangan campurkan ubat dengan susu atau jus.

B. Persediaan Cecair, Ubat Kunyah Atau Ubat Yang Telah Dipecah Atau Hancurkan

1. Kanak-kanak yang berumur di antara 1 tahun hingga pra-sekolah.

2. Panduan pemberian:

  1. Campurkan ubat dengan makanan / manisan.
  2. Beri anak minuman kegemaran selepas pengambilan ubat.
  3. Jangan marah atau denda anak anda sekiranya dia mengeluarkan semula ubat tersebut.
  4. Puji dan peluk anak selepas makan ubat.

C. Kanak-Kanak Berumur 5 Tahun Dan Keatas Selalunya Boleh Menelan Ubat

1. Kanak-kanak sekolah

2. Panduan pemberian:

  1. Dalam kes tertentu ibu bapa mungkin perlu menghancurkan dan mencampurkan ubat biji dengan makanan / manisan.
  2. Jangan benarkan anak mengambil ubat tanpa pengawasan ibubapa.

Sukatan yang tepat amat penting terutamanya kepada bayi dan kanak-kanak. Bagi bentuk ubat cecair, ianya lebih tepat menggunakan alat penyukat bagi mengelakkan kesilapan sukatan isipadu ubat yang diperlukan. Terdapat pelbagai jenis peralatan yang sesuai dan berkesan bagi pemberian ubat kepada kanak-kanak bergantung kepada umur dan keupayaan menelan ubat.

JENIS GOLONGAN KANAK-KANAK GAMBAR
Penitis berukuran dan picagari oral Bayi dan kanak-kanak kecil
– Ukur ubat pada paras mata dan beri dengan segera
 

Sudu bersukatan Kanak-kanak yang tidak boleh minum dari cawan  
Cawan ubat Kanak-kanak yang boleh minum dari cawan  

Bertanya

Bertanya sekiranya ubat yang diterima berlainan daripada yang biasa.

2. Simpan senarai ubat-ubatan

Ibu bapa/ penjaga disarankan untuk menyediakan senarai semua jenis ubat termasuk sediaan vitamin dan makanan tambahan yang diambil oleh kanak-kanak. Ini termasuk ubat yang menyebabkan alahan. Senarai tersebut perlu dibincangkan bersama doktor atau ahli farmasi. Senarai tersebut juga perlu dikemaskini sekiranya terdapat perubahan.

3. Baca label ubat

Setiap kali mengambil ubat, ibu bapa/ penjaga perlu membaca label kerana label mengandungi maklumat yang lengkap. Ia perlu dibaca ditempat yang terang agar kesilapan tidak berlaku. Sekiranya membeli ubat, semak label supaya ia tidak mengandungi bahan yang tidak boleh diambil. Minta bantuan ahli farmasi sekiranya bermasalah

4. Maklumkan jika ada alahan

Beritahu doktor atau ahli farmasi jika anak anda mempunyai alahan kepada ubat atau bahan makanan.

5. Tanya jika harga berbeza

Semasa membeli ubat, bertanyalah sekiranya harga ubat terlalu berbeza daripada harga lazim yang diperolehi sebelum ini. Ia berkemungkinan ubat yang berbeza disebabkan nama-nama ubat yang hampir sama dan mengelirukan.

6. Jangan ubah bentuk fizikal ubat

Ubat tidak boleh dikunyah, dipecah atau dicampur dengan ubat lain melainkan diarah berbuat demikian oleh doktor atau ahli farmasi. Ibu bapa perlu bertanya kepada ahli farmasi berkenaan cara untuk menghancur atau melarutkan ubat dan peralatan yang boleh digunakan.

7. Jangan kongsi ubat

Ubat yang dikongsi mungkin menyebabkan interaksi dengan ubat sediada yang diambil. Sekiranya ubat yang dikongsi adalah sama dengan kanak-kanak lain, dosnya mungkin tidak sesuai dan mungkin boleh menyebabkan alahan.

8. Penyimpanan ubat yang betul

Ubat perlu disimpan berasingan di dalam bekas/ sampul asal kerana sesetengah ubat kelihatan hampir sama dan boleh menyebabkan kekeliruan. Ia juga boleh menyebabkan interaksi sekiranya dicampur dengan ubat / makanan lain. Selain itu, bekas / sampul ubat tersebut sebenarnya mempunyai ciri khas untuk melindungi ubat daripada rosak dan dilabel lengkap.

Ubat biasanya perlu disimpan ditempat yang jauh dari haba, kelembapan yang tinggi dan tidak mudah dicapai oleh kanak-kanak. Namun ia bergantung kepada jenis ubat yang diberikan. Arahan penyimpanan khas boleh dirujuk kepada ahli farmasi.

9. Jangan guna ubat yang telah luput atau berubah warna

Ibu bapa/ penjaga dinasihatkan agar tidak menggunakan ubat sekiranya ia telah berubah warna, bau, melekat antara satu sama lain, retak, atau luput. Pengguna perlu memulangkan ubat tersebut ke farmasi kerajaan untuk tujuan pelupusan dengan cara yang betul dan selamat.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat, pengguna ubat atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-672.

Rujukan

  1. Hadijah bt. Mohd Taib. Cara Pemberian Ubat Kepada Kanak-Kanak; [serial on the Internet]. 2012 April. Available from: http://www.myhealth.gov.my/index.php/ubat-a-anda/umum/cara-pemberian-ubat-kepada-kanak-kanak
  2. Raudhatun Sa’adiah Ithnin. Waspada Elak Keracunan Ubat.Dlm. Harian Metro 2015; April12: E7
Semakan Akhir : 5 Oktober 2017
Penulis : Pn. Raudhatun Sa’adiah Ithnin
Akreditor : Dr. Zarina Banu Binti Abdulla

Baca Juga

Hipertensi Arteri Pulmonari Dan Penyakit Kongenital Jantung

Apa Dia Hipertensi Arteri Pulmonari? Hipertensi Arteri Pulmonari (Pulmonary Arterial Hypertension, PAH) ialah tekanan darah …