Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Hipertensi Dan Angin Ahmar

Hipertensi Dan Angin Ahmar

Apakah Hubungan Antara Hipertensi Dan Angin Ahmar?

Tekanan darah tinggi (hipertensi) menyebabkan tekanan kepada dinding dalaman saluran darah. Ini membawa kepada kerosakan dan boleh menyebabkan perkara-perkara berikut berlaku :

  • Saluran darah kecil yang membekalkan darah ke otak menutup.
  • Darah beku terbentuk dan mengurangkan atau menghalang saluran darah ke otak.
  • Saluran darah kecil pecah dan mengakibatkan pendarahan di dalam otak. Ini akan memutuskan bekalan darah.

Angin ahmar berlaku apabila terdapat gangguan bekalan darah ke mana-mana bahagian otak. Angin ahmar boleh dibahagikan kepada angin ahmar kering (strok iskemia) atau angin ahmar basah (strok pendarahan).

Hubungan antara hipertensi dan ahmar boleh diteliti dalam 3 kategori:

  1. Hipertensi sebelum angin ahmar
  2. Hipertensi semasa angin ahmar
  3. Hipertensi selepas angin ahmar

Hipertensi Sebelum Angin Ahmar

Pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan.

Tekanan darah tinggi adalah faktor risiko utama bagi angin ahmar jenis kering dan basah. Peningkatan risiko angin ahmar adalah berkait rapat dengan kedua-dua bacaan atas tekanan darah (sistolik) serta bacaan bawah (diastolik).

Risiko angin ahmar juga meningkat dengan peningkatan tekanan darah sistolik walaupun tekanan darah diastolik kekal normal. Risiko bertambah apabila tekanan darah sistolik lebih daripada 140 mmHg.

Pengurangan tekanan darah boleh mengurangkan risiko mendapat angin ahmar yang pertama.

Mengurangkan tekanan darah sistolik walaupun serendah 10 mmHg, boleh mengurangkan risiko angin ahmar sebanyak 1/3, tanpa mengira tekanan darah sebelum rawatan.

Tiada perkaitan antara hipertensi dan angin ahmar dengan umur. Sekiranya anda mempunyai hipertensi, anda memerlukan rawatan.

Hipertensi Semasa Angin Ahmar

Apabila angin ahmar berlaku, otak akan membengkak akibat kerosakan yang telah berlaku. Tekanan di dalam otak akan meningkat kerana otak yang bengkak tidak dapat mengembang di dalam tengkorak yang keras. Akibatnya, saluran darah akan tertekan dan menyebabkan bekalan darah ke otak terjejas.

Sebagai tindak balas normal, tekanan darah badan akan meningkat untuk memastikan bekalan darah yang berterusan ke otak. Oleh itu, tekanan darah yang tinggi semasa angin ahmar bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Pada peringkat ini (biasanya dalam tempoh minggu pertama angin ahmar), tekanan darah sistolik boleh mencapai setinggi 220 mmHg dan tekanan diastolik setinggi 120 mmHg. Tekanan darah ini mungkin dirawat ataupun dibiarkan oleh doktor anda bergantung kepada keadaan. Tekanan darah yang tinggi adalah diperlukan semasa angin ahmar.

Jangan berasa hairan sekiranya doktor anda tidak merawat tekanan darah yang tinggi semasa angin ahmar. Berbincang dengan doktor anda.

Selepas bengkak otak berkurangan, tekanan darah akan turut menurun. Sebarang tekanan darah yang tinggi selepas 1-2 minggu selepas angin ahmar akan memerlukan rawatan (lihat bawah).

Hipertensi Selepas Strok

Salah satu daripada matlamat penting selepas kejadian angin ahmar adalah untuk mengurangkan risiko angin ahmar daripada berulang (strok berulang).

Pengurangan tekanan darah selepas tempoh yang akut (1-2 minggu) angin ahmar mengurangkan risiko angin ahmar berulang.

Manfaat mengawal tekanan darah dapat dilihat dalam angin jenis kering dan basah.

Hanya dengan pengawalan tekanan darah, anda boleh mengurangkan risiko angin ahmar berulang sebanyak 30 – 40%.

Apakah Amaran Sebelum Angin Ahmar?

Ingat! Hipertensi adalah penyakit senyap. Tidak ada sebarang gejala amaran.

Angin ahmar boleh berlaku kepada sesiapa sahaja pun tanpa sebarang amaran. Pastikan tekanan darah anda diperiksa dengan kerap.

Apakah Yang Anda Akan Rasa Semasa Angin Ahmar?

Apa yang anda rasa akan bergantung kepada bahagian mana bekalan darah ke otak yang terjejas. Gejala-gejala yang anda rasa biasanya berlaku secara mendadak atau berlaku dalam tempoh masa yang singkat. Anda mungkin mengalami gejala-gejala berikut :

  • Lemah, kebas dan/atau kecuaian pada lengan dan/atau kaki (biasanya berlaku pada sebelah badan)
  • Kesukaran bertutur (kefahaman atau difahami)
  • Kehilangan penglihatan
  • Pergerakan anggota badan yang tidak normal
  • Kadang-kadang pertukaran mendadak dari segi perasaan, ingatan dan tingkah laku

Komplikasi

Angin ahmar menyebabkan kehilangan mengejut kepada fungsi harian seseorang. Kehilangan yang berlaku mungkin teruk ataupun ringan.

Angin ahmar boleh dicegah. Rawatan hipertensi adalah sebahagian daripada langkah – langkah pengurangan risiko angin ahmar.

Bilakah Saya Harus Mendapatkan Nasihat Perubatan?

Pastikan anda mendapat pemeriksaan tekanan darah yang kerap.

Rawatan Dan Pencegahan

Angin ahmar boleh dicegah! Rawatan hipertensi boleh dilakukan dengan perubahan gaya hidup dan perawatan ubat-ubatan.

Perubahan gaya hidup termasuklah pengamalan makanan yang betul dan melakukan aktiviti fizikal yang bersesuaian. Berhenti merokok.

Terdapat banyak jenis ubat-ubatan yang dapat membantu merendahkan tekanan darah. Sesetengah orang mungkin memerlukan lebih daripada satu ubat untuk mencapai tekanan darah yang terkawal. Ubat-ubatan utama yang doktor anda boleh syorkan kepada anda termasuk:

  • Diuretik (ubat kencing): contohnya : hydrochlorothiazide atau indapamide.
  • ‘ACE inhibitor’ dan ARBs: sering dikumpulkan bersama kerana mereka berfungsi dengan cara yang Contoh : ACE inhibitor’ termasuk perindopril, enalapril dan captopril. Contohnya: ARBs termasuk valsartan, telmisartan dan ibersartan.
  • ‘Calcium channel blockers’: contohnya termasuk amlodipine dan felodipine.

Rujukan

  1. Basri, H., Chin, S.P., Looi, I., et al. (2011). Clinical Practice Guidelines: Management of Ischaemic stroke ( 2nd ed): Ministry of Health Malaysia.
  1. Heartfailurematters.org. (2007).Taking your own blood pressure and pulse. Available: http://www.heartfailurematters.org/EN/WhatCanYouDo/Pages/Takingyourownbloodpressureandpulse.aspx. Accessed 19 Sept 2012.
  1. Rahman, A.R., Bavanandan, S., Kamaruddin, A.S., et al. (2008). Clinical Practice Guidelines: Management f hypertension ( 3rd ed. 2008): Ministry of Health Malaysia.
  1. WebMD. (2012). High blood pressure and stroke. Available: http://www.webmd.com/hypertension-high-blood-pressure/guide/hypertension-high-blood-pressure-stroke. Accessed 21 Sept 2012.
  1. Wikipedia The Free Encyclopedia ( 2012). Antihypertensive drug. Available: http://en.wikipedia.org/wiki/Antihypertensive_drug. Accessed 21 Sept 2012
Semakan Akhir : 18 Disember 2013
Penulis : Dr. Cheah Wee Kooi
Akreditor : Dr. Irene Looi

 

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …