Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Saringan - Hipertensi > Siapa Yang Berisiko, Bila Dan Bagaimana

Siapa Yang Berisiko, Bila Dan Bagaimana

Pengenalan

Penyakit darah tinggi atau hipertensi adalah satu penyakit kronik yang melanda mana-mana negara yang ada di dunia ini. Mengikut kajian yang dijalankan pada 2006, dianggarkan seramai 4.8 juta penduduk negara didapati mengidapi penyakit darah tinggi.

Tekanan darah adalah ukuran kuasa tekanan ke atas salur darah (arteri) yang dihasilkan apabila jantung mengepam darah ke seluruh badan. Ia diukur melalui alat yang dipanggil ‘sphygmomanometer’ di mana 2 nombor akan dihasilkan (contoh: 120/80mmHg).

Nombor di atas palang dipanggil tekanan darah sistolik manakala nombor yang di bawah dipanggil tekanan darah diastolic. Salah satu ataupun kedua-dua nombor ini boleh menjadi tinggi.

Tekanan darah yang normal adalah tekanan darah yang kurang daripada 120/80mmHg pada sepanjang masa. Tekanan darah tinggi pula adalah tekanan darah yang melebihi 140/90mmHg pada sepanjang masa.

Tekanan darah yang berada di antara nilai ini dipanggil pre-hipertensi. Orang yang mempunyai pre-hipertensi berisiko lebih tinggi untuk mengidapi penyakit darah tinggi.

1

Siapakah Yang Berisiko Tinggi Untuk Mendapat Penyakit Darah Tinggi?

Apabila usia seseorang meningkat, tekanan darah secara amnya akan meningkat disebabkan salur darah yang semakin tegang. Selain itu, ia juga boleh bergantung kepada kandungan air dan garam di dalam badan.

Anda mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengidapi penyakit darah tinggi jika memiliki perkara-perkara berikut;

  • Berat badan berlebihan atau obesiti.
  • Kencing manis.
  • Pengambilan makanan yang berlebihan dan kurang berkhasiat (tinggi kandungan garam, lemak dan kurang makanan berserat).
  • Merokok.
  • Minuman arak berlebihan.
  • Tekanan (‘stress’)

Apakah Tanda-Tanda Penyakit Darah Tinggi?

9 daripada 10 orang mengidapi penyakit darah tinggi tanpa disedari. Penyakit darah tinggi biasanya didapati apabila meraka membuat pemeriksaan kesihatan biasa atau apabila mereka mempunyai gejala-gejala seperti berikut:

  • Sakit kepala
  • Muntah
  • Terkeliru
  • Kabur mata
  • Hidung berdarah

Disebabkan ia berlaku secara senyap, seseorang boleh mendapat penyakit jantung lemah, angin ahmar atau buah pinggang yang rosak sebelum mereka mengetahui mereka mengidapi penyakit darah tinggi.

2

Rujukan

  1. Pubmed Health.
  2. Malaysian Society of Hypertension.
Semakan Akhir : 2 Mac 2016
Penulis : Dr. Goh Kee San
Akreditor : Dr. Ainol Shareha Binti Sahar