Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Asma > Ubat-Ubatan Lain Asma

Ubat-Ubatan Lain Asma

  1. Montelukast

Ia juga dikenali dengan nama Singulair. Montelukast adalah ubat pil yang digunakan untuk :

  • Pencegahan penyakit asma.
  • Alahan rhinitis.
  • Asma yang dicetuskan oleh senaman

Montelukast tidak memberikan kelegaan serta-merta, oleh itu, ia tidak sesuai untuk merawat gejala akut asma. Ubat ini dimakan sebiji sekali sehari.

Kesan Sampingan

Montelukast selamat dimakan tanpa kesan sampingan yang signifikan. Ia boleh digunakan untuk jangka waktu yang lama.

PENTING! Montelukast TIDAK BOLEH digunakan untuk pesakit-pesakit berikut :

  • Mempunyai sejarah alahan kepada ubatan berkaitan montelukast
  • Pesakit “phenylkenonuria” (PKU)

Ia hendaklah digunakan secara berhati-hati di kalangan pesakit-pesakit :

  • Buah pinggang
  • Sakit hepar (“liver diseases”)
  1. Prednisolone

Apakah prednisolone?

Prednisolone adalah sejenis ubat steroid. Ia digunakan untuk pesakit asma yang mengalami serangan asma akut. Ia biasanya dimakan untuk beberapa hari dan pesakit tidak semestinya dimasukkan ke hospital.untuk rawatan ini.

Bagaimanakah prednisolone merawat asma anda?

Prednisolone bertindak dengan meredakan radang pada salur pernafasan anda. Radang di saluran pernafasan menyebabkan saluran pernafasan anda menjadi sensitif terhadap faktor-faktor pencetus, seterusnya menyebabkannya sempit dan sukar bernafas. Prednisolone merawat radang salur pernafasan dengan cepat dan berkesan untuk serangan asma akut. Ia perlu dimakan supaya ia diserap ke dalam darah sebelum dialirkan ke paru-paru dan salur pernafasan.

Berapa lamakah prednisolone digunakan?

Biasanya ia digunakan untuk 3 hingga 5 hari, bergantung pada tahap keterukan serangan asma akut. Kadangkala, ia perlu diambil .lebih lama bergantung kepada nasihat doktor.

Adakah prednisolone selamat digunakan oleh pesakit asma?

Penggunaan prednisolone pada dos dan kadar terapeutik mengikut nasihat doktor adalah selamat. Walaubagaimanapun, penggunaan prednisolone secara berpanjangan tanpa seliaan doktor boleh memberi kesan sampingan yang serius.

Mengapakah saya selalu terpaksa mengambil prednisolone untuk penyakit asma saya?

Ini bermakna penyakit asma anda adalah diluar kawalan. Masih terdapat radangan pada saluran pernafasan anda yang menyebabkannya sensitif terhadap faktor-faktor pencetus di persekitaran anda. Sila dapatkan nasihat doktor untuk mendapatkan dos rawatan ubat sedutan pencegahan yang optima bagi kawalan asma sepenuhnya.

Apakah kesan sampingan prednisolone?

Pengambilan prednisolone boleh mengakibatkan :

  • Berat badan bertambah
  • Paras gula dalam darah meningkat
  • Tekanan darah meningkat
  • Penakungan air berlebihan dalam badan (“oedema”)

Jika diambil untuk jangkamasa yang lama, ia boleh menyebabkan:

  • Kencing manis
  • Katarak mata (“manik mata” berselaput)
  • Tulang rapuh (“osteoporosis”)
  • Otot lemah
  • Kurang daya tahan atau sistem imun badan dan mudah dijangkiti penyakit
  • Kerencatan tumbesaran pada kanak-kanak

 

 

Last Reviewed : 29 Oktober 2014
Writer : Dr. Norhaya bt. Mohd Razali
Accreditor : Dr. Mariana bt. Daud

Baca Juga

Asma Dan Alergik Konjunktivitis

Pengenalan Konjunktivitis adalah satu jenis  penyakit mata yang biasa terjadi. Di kenali sebagai ‘mata merah’. …