Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Pendidikan Pesakit

Pendidikan Pesakit

Rehabilitasi

Berhenti Merokok

Bagaimana hendak berhenti merokok?

Pelajari kaedah-kaedah yang betul. Banyak kaedah untuk berhenti merokok. Faktor yang paling penting adalah keinginan anda untuk menjadikannya satu kenyataan.

  • Tetapkan tarikh untuk berhenti.
  • Yakin diri.
  • Buatkan nota peringatan.
  • Katakan pada diri anda “saya bukan perokok”.
  • Sentiasa berfikiran positif.
  • Dapatkan sokongan.
  • Gunakan terapi penganti nikotin.
  • Amalkan 12M untuk berhenti merokok.

Teknik Berhenti Merokok

Tip Berhenti Merokok 12 M:

  1. Melengah-lengahkan
  • Tunggu 5 minit atau katakan nanti sebentar.
  1. Menarik nafas panjang
  • Tarikh nafas 3 kali secara perlahan-lahan.
  1. Minum air
  • Terutama air masak. Elakkan minuman berkafein.
  1. Menyibukkan diri
  • Buat sesuatu bagi mengalih fikiran dan untuk melupakan rokok.
  1. Menjauhkan diri
  • Daripada orang yang merokok.
  1. Mengelakkan diri
  • Daripada suasana atau situasi yang mendorong kepada merokok.
  1. Mengunyah sesuatu
  • Seperti gam dan buah-buahan. Elakkan yang manis.
  1. Membasuh tangan selalu
  2. Mandi dengan kerap
  3. Meditasi
  4. Meregangkan otot
  • Lakukan senaman regangan apabila rasa mengantuk.
  1. Memohon doa
  • Berdoa agar dikuatkan azam dan tingkatkan usaha.

Pengurangan Berat Badan

Penurunan berat badan terbukti dapat menurunkan tekanan darah bagi individu yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Cara yang paling mudah untuk mengurangkan berat badan ialah berazam untuk mengurangkan berat badan anda secara beransur-ansur, lebih kurang 1/2 kg seminggu. Ini bersamaan dengan 3500 kalori dalam seminggu atau 500 kalori setiap hari. Kurangkan 500 kalori setiap hari dengan mengubahsuai serta mengawal pemakanan anda dan juga melakukan bersenam. Sebagai contoh: 250 kalori melalui pengawalan makanan setiap hari dan baki 250 kalori melalui senaman.

Untuk mengurangkan berat badan, anda perlu mengurangkan pengambilan makanan secara berperingkat dengan teratur:

  1. Pastikan anda mengikut Panduan Pemakanan Malaysia.
  2. Kurangkan pengambilan kalori dengan;
  • menggunakan sedikit minyak semasa memasak
  • mengurangkan penggunaan gula seperti gula pasir, gula perang, madu dan gula yang tersembunyi dalam makanan dan minuman.
  • meningkatkan pengambilan serat seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan hasil bijirin seperti oat kerana makanan ini akan menyebabkan anda berasa kenyang dalam jangka masa yang lebih lama.
  • minum air kosong dengan banyak sekiranya mengambil makanan tinggi serat.

Pengurusan Tekanan

Pesakit yang menghidap darah tinggi perlu bijak menguruskan tekanan. Berikut adalah antara cara-cara untuk menguruskan tekanan:

  1. Bijak mengatur soal kewangan.
  2. Belajar untuk mengatakan tidak kepada tugas yang tidak boleh dibuat.
  3. Gembirakan hati semasa mengalami
  4. Menilai semula persepsi diri anda.
  5. Jarakkan sebarang perubahan yang besar dalam kehidupan, rancang kerja dengan teliti dan berkongsi masalah sama ada di rumah atau di tempat kerja.
  6. Belajar untuk beristirehat.
  7. Tidur dengan secukupnya.
  8. Ambil pemakanan yang seimbang.
  9. Jangan merokok dan meminum minuman keras.
  10. Selalu bersenam.
  11. Berjumpa pakar jika anda tidak berupaya menghadapi masalah.

Kepatuhan Kepada Ubat

Kepatuhan terhadap pengambilan ubat adalah sangat penting untuk memperolehi manfaat ubat sepenuhnya. Kegagalan untuk mematuhi cara pengambilan ubat yang betul boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini seperti:

  1. Kegagalan rawatan atau penyakit berulang.
  2. Penambahan atau penukaran ubat yang tidak perlu.
  3. Kesan toksik.
  4. Peningkatan masa rawatan, kadar kematian dan kos rawatan.

Berikut adalah panduan untuk meningkatkan kepatuhan terhadap pengambilan ubat:

Masa

  1. Ambil ubat pada waktu yang sama setiap hari.
  2. Kaitkan waktu pengambilan ubat dengan aktiviti yang anda lakukan setiap hari.
  3. Letakkan nota peringatan pada kalendar anda seminggu sebelum ubat habis, untuk mengingatkan anda mengambil bekalan ubat yang seterusnya.

Alat bantuan

  1. Gunakan alat bantuan untuk membantu anda mengingati jadual pengambilan ubat seperti kotak pil, carta/jadual pengambilan ubat, penggera pada telefon bimbit atau komputer dan letak nota peringatan pada peti sejuk, kabinet ubat, cermin tandas atau telefon.
  2. Gunakan alat khas seperti pemotong atau pemecah pil untuk memotong atau menghancurkan ubat jika diperlukan.

Kotak pil

Pemotong pil

Sokongan

  1. Jika anda sering terlupa mengambil ubat, rujuk kepada doktor/ahli farmasi bagi mendapatkan cara terbaik untuk anda mengingat masa pengambilan ubat.
  2. Minta bantuan kawan-kawan atau ahli keluarga untuk mengingatkan anda.

Makanan Berkhasiat

DASH (Dietary Approaches to Stop Hypertension) diet adalah diet yang disarankan kepada pesakit darah tinggi. Diet ini adalah mudah:

  1. Makan lebih banyak buah-buahan, sayur-sayuran, dan makanan tenusu rendah lemak.
  2. Lebihkan juga pengambilan makanan seperti gandum, ikan, ayam, dan kekacang.
  3. Kurangkan makanan yang tinggi lemak tepu, kolesterol, dan lemak trans.
  4. Menghadkan garam, gula-gula, minuman manis, dan daging merah.

Kajian menunjukkan, orang-orang yang mengamalkan diet DASH menurunkan tekanan darah mereka dalam masa dua minggu.

Semakan Akhir : 28 September 2017
Penulis : Pn. Shuhaidah Binti Md Razali
Akreditor : Pn. Nur Azibahwati Binti Abd Aziz

Baca Juga

Hipertensi Arteri Pulmonari Dan Penyakit Kongenital Jantung

Apa Dia Hipertensi Arteri Pulmonari? Hipertensi Arteri Pulmonari (Pulmonary Arterial Hypertension, PAH) ialah tekanan darah …