Sabtu , April 27 2024
msen
Utama > Hipertensi > Fakta dan Mitos > Hipertensi Primer

Hipertensi Primer

Pengenalan

Hipertensi (penyakit darah tinggi) primer juga dikenali sebagai hipertensi essential atau hipertensi idiopatik. Berdasarkan definisi, hipertensi primer tidak mempunyai punca yang dapat dikenal pasti. Ia adalah jenis hipertensi yang paling kerap dan melibatkan 95% daripada pesakit hipertensi. Hipertensi primer cenderung berlaku dalam keluarga dan mungkin disebabkan interaksi antara faktor persekitaran dan genetik. Kelazimannya hipertensi primer meningkat dengan usia.

Gejala

Biasanya pesakit yang menghidap tekanan darah tinggi tidak mengalami sebarang gejala. Kebanyakan pesakit didapati menghidap tekanan darah tinggi apabila bacaan tekanan darah diambil semasa berjumpa dengan doktor. Disebabkan tiada gejala, sesetengah orang mendapat komplikasi seperti penyakit jantung dan buah pinggang tanpa menyedari bahawa mereka menghidapi penyakit darah tinggi. Sekiranya anda mengalami sakit kepala, muntah-muntah, kabur penglihatan, pendarahan hidung, anda mungkin menghidapi penyakit darah tinggi yang serius dan berbahaya yang dikenali sebagai hipertensi malignant (malignant hypertension).

Risiko

Beberapa faktor risiko penyakit darah tinggi termasuklah:-

  • Sejarah tekanan darah tinggi dalam keluarga.
  • Umur lanjut. Hal ini melibatkan kekerasan dinding arteri serta kemerosotan kecekapan perkumuhan sodium.
  • Obesiti meningkatkan risiko penyakit darah tinggi lima kali ganda berbanding dengan berat badan normal, dan sehingga dua pertiga daripada kes hipertensi boleh dikaitkan dengan berat badan yang berlebihan. Lebih daripada 85% kes berlaku pada mereka yang mempunyai indeks jisim badan yang melebihi 25.
  • Sensitiviti terhadap garam sodium. Apabila pengambilan sodium melebihi keupayaan badan untuk mengumuhkannya melalui buah pinggang, tekanan darah akan meningkat.
  • Penyakit darah tinggi juga boleh disebabkan oleh rintangan insulin dan / atau hyperinsulinemia, yang merupakan komponen sindrom X, atau sindrom metabolik.
  • Menghisap rokok adalah faktor risiko untuk tekanan darah tinggi.
  • Faktor genetik yang berkaitan dengan tekanan darah tinggi telah dikenal pasti dalam penyelidikan.

Pencegahan

Pemakanan sihat dan pengurangan berat badan yang berlebihan adalah cara yang berkesan untuk mengurangkan tekanan darah tinggi. Perubahan gaya hidup lain termasuklah bersenam, berhenti merokok, kurangkan stress dan kurangkan pengambilan alkohol. Semua perubahan gaya hidup adalah lebih berkesan jika dilakukan serentak.

1. Amalkan Pemakanan Sihat

Kurangkan pengambilan sodium. Sumber utama sodium dalam diet adalah garam yang terkandung dalam makanan yang diproses dan di dalam masakan. Badan memerlukan sedikit sodium dalam diet. Walau bagaimanapun, kebanyakan orang menggunakan sodium yang lebih daripada yang diperlukan. Garam biasa tidak melebihi 1 ¼ camca teh (6g) atau 3 camca teh monosodium glutamate dalam sehari disyorkan.

Kurangkan alkohol. Orang yang mengambil minuman alkohol sehari mengalami peningkatan risiko tekanan darah tinggi berbanding dengan orang yang tidak mengambil alkohol. Jumlah alkohol yang disyorkan adalah tidak melebihi 21 unit sehari bagi lelaki dan 14 unit bagi perempuan (1 unit bersamaan dengan ½ pint Beer atau 100ml Wine atau 20ml Whisky)

Makan lebih banyak buah-buahan, sayur-sayuran dan produk tenusu rendah lemak. Makan lebih banyak serat. 20 hingga 35 gram serat setiap hari disyorkan. Bijirin sarapan adalah sumber serat pemakanan yang baik.

Makan lebih banyak ikan. Asid lemak dalam minyak ikan boleh membantu untuk tekanan darah rendah.

Kafein dapat menyebabkan peningkatan kecil dalam tekanan darah, walaupun kesan ini biasanya sementara. Minum kafein dalam jumlah yang sederhana (kurang daripada 2 cawan kopi sehari) tidak meningkatkan risiko tekanan darah tinggi dalam kebanyakan orang.

2. Bersenam

Senaman aerobik (berjalan, berlari) adalah lebih berkesan daripada latihan rintangan berat (angkat berat) untuk mengurangkan tekanan darah. Senaman aerobik selama 30 hingga 60 minit sekurang-kurangnya 3 kali dalam seminggu adalah disyorkan.

3. Kurangkan Berat Badan Berlebihan

Berat badan berlebihan atau obesiti meningkatkan risiko anda mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis, dan penyakit kardiovaskular. Sasaran Body Mass Index (BMI) normal bagi orang Asia ialah 18.5 hingga 23.5 kg/m2 [17] Kehilangan berat badan cuma 4.5kg dapat mengurangkan tekanan darah.

Komplikasi

Penyakit darah tinggi meningkatkan risiko serangan jantung, strok, kerosakan buah pinggang, dan masalah lain yang serius.

Rawatan

Matlamat rawatan adalah untuk mencapai tekanan darah yang tidak melebihi 140/90 mmHg. Bagi pesakit kencing manis atau kerosakan buah pinggang, tekanan darah kurang daripada 130/80 mmHg menjadi sasaran kita. Tekanan darah haruslah tidak melebihi 125/75 mmHg jika terdapat protein di dalam air kencing >1g/24 jam.

Sekiranya tekanan darah masih tinggi walaupun anda mengamalkan gaya hidup dan pemakan sihat, doktor akan memberi ubat untuk mengawal tekanan darah agar mengurangkan risiko komplikasi tersebut.

Terdapat ubat yang berbeza untuk merawat penyakit darah tinggi. Sesetengah ubat mempunyai manfaat kesihatan yang lain selain daripada menurunkan tekanan darah. Doktor anda akan memilih ubat yang terbaik untuk anda berdasarkan garis panduan rawatan. Kebanyakan orang yang menghidapi penyakit darah tinggi memerlukan rawatan seumur hidup. Pegangan teguh kepada pelan rawatan adalah penting bagi mengelakkan komplikasi tekanan darah tinggi dan membantu anda hidup sihat dan aktif.

Anda harus makan ubat tekanan darah anda setiap hari seperti yang diarahkan oleh doktor. Penyakit darah tinggi biasanya tidak menyebabkan gejala. Jadi, pesakit kadang-kadang tidak mengambil perhatian serius. Ubat penyakit darah tinggi bukan sahaja mahal, malah dapat menyebabkan kesan sampingan. Oleh sebab itu, ramai pesakit tidak suka makan ubat. Akan tetapi, ingat bahawa ubat boleh menyelamatkan nyawa anda!

Jika ubat menyebabkan kesan sampingan yang tidak menyenangkan, atau jika anda tidak mampu membeli ubat, silalah bincang dengan doktor anda.

Rujukan

  1. American Diabetes Association. Standards of medical care for patients with diabetes mellitus. Position statement of the American Diabetes Association. Diabetes Care 2002; 25: 213-229.
  2. Bowman TS, Gaziano JM, Buring JE, Sesso HD. A prospective study of cigarette smoking and risk of incident hypertension in women. J Am Coll Cardiol 2007; 50:2085.
  3. Carretero OA, Oparil S. Essential hypertension. Part I: definition and etiology. Circulation 2000; 101 (3): 329–35.
  4. Clark LT. Alcohol-Induced Hypertension: Mechanisms, Complications, and Clinical Implications. J Natl Med Assoc. 1985 May; 77(5): 385–389.
  5. Cornelissen VA, et al. Effects of aerobic training intensity on resting, exercise and post-exercise blood pressure, heart rate, and heart-rate variability. Journal of Human Hypertension. 2010;24:175.
  6. Cushman WC, Cutler JA, Hanna E, et al. Prevention and Treatment of Hypertension Study (PATHS): Effects on an alcohol treatment program on blood pressure. Arch Intern Med 1998;158(11):1197- 1207.
  7. Groppelli A, Giorgi DM, Omboni S, et al. Persistent blood pressure increase induced by heavy smoking. J Hypertens 1992; 10:495.
  8. Guidelines Subcommittee. 1999 World Health Organization- International Society of Hypertension guidelines for the management of hypertension. J Hypertens 1999;17:151-83.
  9. Haslam DW, James WP. Obesity. Lancet 2005; 366 (9492): 1197–209.
  10. Jonnalagadda SS, et al. Putting the whole grain puzzle together: Health benefits associated with whole grains – Summary of American Society for Nutrition 2010 Satellite Symposium. The Journal of Nutrition. 2011;141:1011.
  11. Lazarus JM, Bourgoignie JJ, Buckalew VM, et al. Achievement and safety of a low blood pressure goal in chronic renal disease. The Modification of Diet in Renal Disease Study Group (MDRD). Hypertension 1997;29:641-650.
  12. Loscalzo, Joseph; Fauci, Anthony S.; Braunwald, Eugene; Dennis L. Kasper; Hauser, Stephen L; Longo, Dan L. (2008). Harrison’s principles of internal medicine. McGraw-Hill Medical. ISBN 0-07-147691-1.
  13. Malaysian Dieticians’ Association and Ministry of Health Malaysia. Medical Nutrition Therapy Guidelines for Hypertension.
  14. Ministry of Health Malaysia. Clinical Practice Guidelines on Management of Hypertension (3rd Edition). 2008.
  15. Ministry of Health Malaysia. Clinical Practice Guidelines on Management of Obesity. 2003.
  16. Morris, Martha Clare, et al. Does fish oil lower blood pressure? A metanalysis of controlled trials. Circulation, Vol. 88, No. 2, August 1993, pp.523-33.
  17. Pescatello LS, et al. American College of Sports Medicine position stand: Exercise and hypertension. Medicine and Science in Sports and Exercise. 2004;36:533.
  18. The Trials of Hypertension Prevention Collaborative Research Group. Effects of weight loss and sodium reduction intervention on blood pressure and hypertension incidence in overweight people with high-normal blood pressure. The Trials of Hypertension Prevention, Phase II. Arch Intern Med 1997;157(6):657-667.
  19. Weinberger MH, Miller JZ, Luft FC, et al. Definitions and characteristics of sodium sensitivity and blood pressure resistance. Hypertension,1986; 8: II127.
  20. Williams SM, Addy JH, Philips JA, et al. Combinations of Variations in Multiple Genes Are Associated with Hypertension. Hypertension, 2000; 36:2-6.
  21. Zhang Z, et al. Habitual coffee consumption and risk of hypertension: A systematic review and meta-analysis of prospective observational studies. American Journal of Clinical Nutrition. 2011;93:1212.
Semakan Akhir : 18 Februari 2016
Penulis : Dr. Alan Ch’ng
Akreditor : Dr. Ainol Shareha Binti Sahar

Baca Juga

Perubatan Menaikkan Berat Badan

Penyakit hipertensi atau tekanan darah tinggi merupakan penyakit kronik yang sering berlaku pada mereka yang lanjut usia. Ini adalah kerana secara umumnya tekanan darah akan meningkat