Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Hipertensi > Mencegah Komplikasi Penyakit Darah Tinggi

Mencegah Komplikasi Penyakit Darah Tinggi

Darah tinggi merupakan penyakit yang biasa didengar dikalangan masyarakat. Darah tinggi ataupun Hipertensi boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi dan menjadi pembunuh senyap yang amat ditakuti. Umum mengetahui penyakit darah tinggi perlu dikawal dengan sebaik mungkin melalui beberapa kaedah perawatan untuk mengelakkan berlakunya komplikasi-komplikasi yang tidak diingini. Sebanyak 61% kes penyakit darah tinggi di kalangan masyarakat Malaysia tidak dikesan lagi.

Bagaimana Komplikasi Boleh Berlaku?

Komplikasi penyakit darah tinggi boleh berlaku dalam jangkamasa yang cepat ataupun lambat. Ia bergantung bagaimana tekanan darah dapat dikawal oleh pesakit. Sekiranya pesakit darah tinggi mempunyai masalah kesihatan lain seperti kencing manis atau sakit jantung, keadaan ini akan mempercepatkan lagi komplikasi.

Komplikasi-komplikasi yang berlaku adalah disebabkan perubahan dalam badan manusia. Antara teori-teori yang dikenalpasti yang menjadi punca kerosakkan organ tubuh badan ialah:

  • Salur darah – semakin tinggi tekanan darah anda, semakin besar dan teruk kerosakan pada dinding salur darah dan ini mengakibatkan aliran darah yang membawa oksigen dan nutrien pada organ-organ berkenaan akan berkurangan.

Ketidakseimbangan pada hormon-horman yang mengawal tekanan darah anda hilang dan menyebabkan kawalan tidak bagus.

Bagaimana Mencegah Komplikasi

Terdapat pelbagai kaedah pencegahan boleh dilakukan oleh pesakit darah tinggi untuk mengelakkan komplikasi. Ia terdiri daripada kaedah bukan ubat (non-pharmacology) dan kaedah yang melibatkan penggunaan ubat-ubatan (Pharmacology).

Kaedah Bukan Ubat (Non Pharmacology)

Kaedah ini perlu diamalkan oleh semua individu yang sihat dan pesakit darah tinggi secara berterusan dan bersemangat. Penekanan yang lebih perlu diambil oleh pesakit darah tinggi kerana ia sangat –sangat membantu dalam mengawal tekanan darah dan seterusnya mencegah komplikasi.

1. Pengurangan berat badan

Pengurangan berat badan untuk pesakit darah tinggi berupaya menurunkan bacaan tekanan darah tinggi pesakit.Pesakit darah tinggi yang mempunyai berat badan berlebihan dinasihatkan untuk mengurangkan berat badan sebanyak 5 %.

2. Mengurangkan pengambilan garam yang berlebihan

Pengambilan garam yang berlebihan meningkatkan risiko penyakit angin ahmar(stroke) dan serangan jantung kerana ia secara tidak langsung meninggikan tekanan darah pesakit darh tinggi yang sedia ada. Kita disarankan untuk mengambil garam kurang daripada 6gm sehari dan ini bersamaan dengan 1 1/4 sudu kecil garam ATAU 3 sudu kecil serbuk perasa (sodium monoglutamate).

3. Mengelakkan pengambilan alkohol

Pengambilan alkohol meningkatkan tekanan darah pesakit secara mendadak dan pesakit darah tinggi yang mengambil alkohol menunjukkan resistan pada ubat darah tinggi dan peakit darah tinggi disarankan untuk tidak mengambil alkohol ataupun berhenti secara total.

4. Senaman yang berterusan

Kajian menunjukkan senaman yang sesuai dan berterusan boleh mengurangkan tekanan dan bacaan tekanan darah pesakit.

1

5. Diet yang sihat

Pengambilan menu sihat yang disarankan seperti buah-buahan ,sayur-sayuran,produk tenusu rendah lemak dan diet yang kurang lemak didapati mengurangkan tekanan darah pesakit darah tinggi secara ketara dan amalan ini dapat membantu mengurangkan komplikasi yang tidak diingini dengan cepat.

6. Berhenti merokok

Merokok membahayakan kesihatan. Betul. Dengan memberhentikan amalan buruk ini, anda berupaya untuk mengelakkan tekanan darah anda daripada meningkat dan ianya juga menjaga kesihatan jantung anda.

7. Terapi untuk berehat

Menguruskan dan menangani stress dengan baik secara tidak langsung mengurangkan tekanan darah tinggi seterusnya mencegah komplikasi.

Kaedah Melalui Penggunaan Ubat-ubatan (Pharmacology)

Pesakit yang telah dikesan menghidap darah tinggi boleh diklasifikasi seperti dalam kotak dibawah. Ia bertujuan untuk memudahkan perawatan diberikan dengan betul dan optima.

Kategori Tekanan Darah (mmHg)
Stage 1 Hypertension <140/90
Stage 2 Hypertension <160/100
Severe Hypertension SBP < 180

DBP < 110

Secara ringkasnya pesakit yang dikategorikan dalam peringkat 1 (Stage 1 Hypertension) dan mempunyai risko penyakit jantung yang rendah ,kaedah bukan ubat akan disarankan terlebih dahulu dalam tempoh masa 3 atau 6 bulan. Dalam tempoh ini,pesakit akan dilihat oleh doktor melalui temujanji yang diberikan. Sekiranya tekanan darah tidak dapat dikawal dengan baik, ubat darah tinggi akan dimulakan.

Pesakit darah tinggi peringkat 1 dengan risiko penyakit jantung yang sederhana pula akan terus dirawat dengan ubat darah tinggi yang sesuai.

Apa yang perlu anda tahu mengenai ubat-ubat darah tinggi

Ubat darah tinggi akan diberikan kepada pesakit mengikut kesesuaian dan keadaan pre morbid pesakit. Setiap ubat adalah berbeza respon dan kesan sampingannya Terdapat juga ubat yang tidak boleh diberikan kepada pesakit atas keadaan tertentu pesakit itu sendiri dan setiap individu akan menerima ubat yang mungkin berbeza

Sekiranya darah tinggi masih tidak terkawal dos ubat darah tinggi yang pertama akan dinaikkan ataupun ubat darah tinggi jenis kedua akan diberikan. Antara ubat-ubat yang biasa diberikan adalah Nifedipine(Adalat), Metoprolol (Betaloc), Captopril dan banyak lagi.

2

Nasihat kepada pesakit darah tinggi yang mengambil ubat

Ubat darah tinggi diperlukan untuk mengawal tekanan darah pada satu bacaan tekanan darah yang paling bagus untuk pesakit. Ubat darah tinggi mempunyai kesan sampingan tersendiri,Walau bagaimanapun ia adalah sangat penting untuk pesakit.Oleh itu:

  1. Pesakit perlu mengikut nasihat doktor dengan mengambil ubat dengan betul mengikut dos dan selang masa yang ditetapkan.
  2. Ubat darah tinggi tidak boleh diberhentikan tanpa mendapat arahan daripada doktor
  3. Pesakit perlu berjumpa doktor mengikut temujanji yang diberikan untuk melihat keberkesanan ubat dan tahap kawalan penyakit anda
  4. Pesakit perlu menjalankan beberapa ujian darah dalam tempoh masa tertentu untuk melihat kesan ubat pada anda.Sebagai contoh sesetengah ubat boleh menyebabkan kesan pada buah pinggang jika diambil dalam jangka masa yang lama.

Tekanan darah yang perlu dicapai oleh pesakit darah tinggi yang menerima rawatan

Untuk pesakit darah tinggi bawah usia 80 tahun, tekanan darah yang dicapai adalah 140mmHg(SBP) untuk bacaan atas serta 90 mmHg (DBP) untuk bacaan bawah.

Untuk pesakit yang berusia 80 tahun keatas pula tekanan darah yang diperlukan adalah kurang daripada 140/90 mmHg.

Bagi pesakit darah tinggi yang juga dalam ketegori kumpulan istimewa seperti pesakit darah tinggi yang juga mengalami angin ahmar,kencing manis, jantung, sindrom metabolic, pesakit kanak-kanak atau ibu-ibu mengandung tekanan darah yang diperlukan adalah kurang daripada 130-140mmHg untuk bacaan atas dan 90 mmHg untuk bacaan bawah.

Sekiranya tekanan darah masih lagi tinggi dan pesakit telah diberikan ubat secara maksimum, beberapa keadaan dan penyiasatan akan dibuat termasuklah melihat semula bagaimana gaya hidup pesakit dan pengambilan ubat oleh pesakit setiap hari.

Rujukan

  1. Kementerian Kesihatan Malaysia.(2013). Clinical Practice Guideline: Management of hypertension (4th edition)
Semakan Akhir : 19 Julai 2016
Penulis : Dr. Noorzilawati Binti Ahmad
Akreditor : Dr. Khairul Nizam Bin Hassan

 

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …