Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Asma > Menangani Asma Yang Dicetuskan Oleh Senaman?

Menangani Asma Yang Dicetuskan Oleh Senaman?

Orang dewasa yang menghidap asma tetapi terkawal, tidak sepatutnya menolak senaman. Menghidapi asma bukan penghalang untuk aktif dalam kehidupan seharian. Senaman mampu meningkatkan fungsi paru-paru. Terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan serangan ‘ bronkokonstrik’ sewaktu bersenam:

  • Lakukan regangan untuk memanaskan badan selama 10 minit sebelum bersenam
  • Sejukkan badan selama 10 minit sebelum berhenti bersenam
  • Elak daripada bersenam dalam cuaca yang sejuk atau jerebu
  • Elak daripada bersenam ketika selsema
  • Gunakan topeng muka atau selendang ketika bersenam untuk memanaskan udara yang disedut.
  • Bernafas dengan hidung ketika bersenam dapat membantu memanaskan udara yang masuk ke dalam paru-paru.
  • Berhenti melakukan senaman jika berasa sesak nafas dan gunakan ubat sedut pelega seperti Ventolin.
  • Sekiranya anda seorang perokok, berhenti merokok dapat membantu masalah ini.
  • Gunakan ubat sedut sebelum bersenam dapat mencegah ‘bronkokonstrik ‘daripada berlaku.

Terdapat beberapa piihan ubat sedut dan pil yang boleh diambil untuk mencegah dan mengawal ‘bronkokonstrik’ yang dicetuskan oleh senaman:

  • Ubat sedut (inhaler) pelega yang bertindak dalam tempoh masa yang singkat seperti Ventolin. Gunakannya sebanyak 2 kali tekan, 15 minit sebelum memulakan senaman. Kesan untuk membuka saluran pernafasan dapat dirasai 30 minit selepas disedut dan ia mampu bertahan selama 3 – 5 jam.
    astalin                   ventolin
    Sumber: en.wikipedia.org                                                 Sumber: mims.com
  • Ubat sedut pelega yang bertindak untuk jangkamasa panjang seperti Salmeterol. Gunakannya 60 minit sebelum memulakan senaman dan mampu bertahan sehingga 12 jam. Rawatan ini hanya diberikan kepada pesakit yang memerlukan ubat sedut yang bertindak dalam masa yang singkat melebihi daripada satu kali sehari. Pengambilan ubat ini perlu digabungkan dengan ubat sedut yang mengandungi steroid seperti Seretide, Symbicort atau Foster.
  • Anti leukotrine seperti montelukast. Ia boleh diambil 2 jam sebelum bersenam dan boleh diambil setiap hari sekiranya gejala penyakit ini berlanjutan walaupun telah menggunakan ubat sedut yang bertindak dalam waktu singkat.

    singulair

  • Sekiranya gejala penyakit tidak berkurangan dengan penggunaan alat sedut yang bertindak dalam masa singkat, ubat sedut yang mengandungi steroid boleh di gunakan.

slideshare
Image.slidesharecdn.com

Jika kesemua rawatan di atas tidak berkesan, anda perlu berbincang dengan doktor yang merawat anda.

Apakah jenis sukan yang sesuai untuk dilakukan oleh penghidap ‘bronkokonstrik’ yang dicetuskan oleh senaman?

Secara umumnya, susah untuk dinyatakan sukan jenis apa yang sesuai bagi pesakit asma atau pesakit yang mempunyai masalah ‘bronkokonstrik‘ yang dicetuskan oleh senaman. Sekiranya anda bukan seorang yang melakukan aktiviti riadah secara berkala dan kerap, mungkin anda boleh bermula dengan berjalan pantas, berenang atau memanjat bukit. Tahap kecergasan melakukan aktiviti sukan boleh ditingkatkan secara beransur-ansur. Anda boleh mencuba aktiviti sukan yang anda minati untuk menentukan tahap kecergasan dan jenis sukan yang tidak menyebabkan gejala penyakit. Contoh aktiviti sukan lain yang kurang menyebabkan timbul gejala permasalahan ini ialah bola tampar, gimnastik, golf dan berbasikal.

Permainan seperti bola sepak atau bola keranjang yang memerlukan stamina yang tinggi boleh mengakibatkan gejala penyakit ini timbul. Sukan musim sejuk seperti meluncur ais dan hoki gelanggang ais mempunyai  risiko lebih tinggi untuk berlakunya penyempitan saluran pernafasan.

 Rujukan

  1. http://www.thorasic.org>allergy-asthma
  2. www.ncbi.nlm.nih.gov>pubmed
  3. http://en.wikipedia.org/wiki/exercise-induced_bronchoconstriction

 

Last Reviewed :  16 Mei 2016
Writer : Dr. Azlina bt. Shamsudin
Accreditor : Dr. Jamalul Azizi Abdul Rahman

 

Baca Juga

Asma yang dicetuskan oleh senaman

Asma yang dicetuskan oleh senaman berlaku kerana penyempitan atau pengecilan saluran pernafasan susulan daripada aktiviti …