Sabtu , April 27 2024
msen
Utama > Hipertensi > Fakta dan Mitos > Perubatan Tidak Sesuai Untuk Badan Saya

Perubatan Tidak Sesuai Untuk Badan Saya

Pengenalan

Penyakit hipertensi sebenarnya tidak mempunyai simptom-simptom yang khusus bahkan selalunya pesakit hipertensi langsung tidak menunjukkan apa-apa simptom manakala pengambilan ubat-ubat antihipertensi pula kadang-kala boleh menyebabkan kesan-kesan yang tidak diingini yang jika tidak diurus dengan baik boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang.

Keadaan ini menyebabkan timbulnya salah tanggapan bahawa ubat anti hipertensi mendatangkan kesan buruk pada kesihatan. Kefahaman terhadap mekanisme tindakan ubat dan pengurusan kesan sampingan yang dialami penting bagi memastikan aktiviti harian pesakit tidak terganggu.

Rawatan Hipertensi

Tekanan darah dapat diturunkan dengan mengamalkan cara hidup sihat seperti mengurangkan pengambilan garam dalam makanan, berhenti merokok, berhenti mengambil alkohol, melakukan senaman, mengurangkan berat badan kepada berat badan ideal dan mengurus stress dengan baik.

Sekiranya tekanan darah tidak dapat dikurangkan dengan hanya mengamalkan gaya hidup sihat, maka terapi dengan antihipertensi adalah diperlukan.

Rawatan Anti-hipertensi Dan Pengurusan Kesan Sampingannya

Terdapat beberapa jenis antihipertensi dan mekanisma tindakan mengurangkan tekanan darah adalah berbeza-beza mengikut jenis ubat. Antara jenis-jenis ubat yang diberikan adalah:

Kumpulan Diuretic

Contoh ubat : Hydrochlorothiazide (HCT), Frusemide, Amiloride

Ubat ini bertindak dengan meningkatkan pengeluaran urin (air kencing). Ini akan mengurangkan kandungan bendalir dan garam dalam salur darah dan seterusnya tekanan darah dapat dikurangkan. Oleh kerana garam potassium mungkin turut terbuang dalam cairan urin, maka pemonitoran paras potasium harus dilakukan.

Bagi memastikan kualiti hidup pesakit tidak terjejas, ubat-ubat diuretic tidak digalakkan diambil pada waktu malam bagi mengelakkan tidur pesakit terganggu dengan kekerapan untuk membuang air kecil kesan pengambilan diuretik. Pesakit harus diberi kefahaman bahawa kekerapan membuang air kecil menunjukkan ubat tersebut telah memberikan kesan yang diingini namun waktu pengambilan ubat boleh diubah dengan berbincang bersama doctor atau ahli farmasi bagi memastikan kualiti hidup tidak terjejas.

Kumpulan Beta blockers

Contoh ubat : Metoprolol, Atenolol, Carvedilol

Salur darah yang mengecut dan kadar degupan jantung yang tinggi boleh meningkatkan tekanan darah. Ubat dari kumpulan ini bertindak pada jantung dan salur darah dengan mengendurkan salur darah yang mengecut dan mengurangkan kekuatan serta kelajuan degupan jantung, seterusnya tekanan darah dapat dikurangkan.

Kumpulan Angiotensin converting enzymes inhibitors (ACEi)

Contoh ubat : Prindopril, Captopril, Enalapril

Ubat ini bertindak menghalang pembentukan enzim angiotensin II. Enzim ini berfungsi untuk mengecutkan (constrict) salur darah dan ini menyebabkan salur darah menjadi sempit. Halangan terhadap enzim ini akan memastikan salur darah sentiasa berada dalam keadaan mengendur (dilatation), seterusnya tekanan darah dapat dikurangkan.

Kesan sampingan yang sering dialami pesakit dengan pengambilan ubat ACEI adalah batuk. Sekiranya pengambilan ubat batuk tidak berkesan menyembuhkan batuk, pesakit perlu berjumpa doctor dan berkemungkinan doctor akan menukar terapi ubat.

Kumpulan Angiotensin-II receptor blockers (ARB)

Contoh ubat : Losartan, Valsartan, Telmisartan

Mekanisma tindakan ubat ini hampir sama dengan kumpulan ACEI, perbezaannya ialah ia menghalang enzim angiotensin II dari melekat pada tapak reseptornya. Halangan ini menyebabkan enzim tersebut gagal mengecutkan salur darah.

Kesan sampingan yang biasa dialami dengan pengambilan ubat-ubat ini adalah pening kepala. Pesakit yang mengalami kesan sampingan ini boleh berbincang dengan doctor atau ahli farmasi dalam memilih waktu pengambilan ubat yang sesuai bagi memastikan aktiviti harian pesakit tidak terganggu dan kualiti hidup tidak terjejas. Kebiasaannya pesakit yang mengalami pening kepala yang teruk dinasihatkan untuk mengambilnya pada waktu malam.

Kumpulan Calcium channel blockers

Contoh ubat : Verapamil, Amlodipine, Felodipine, Nefidipine

Ubat dari kumpulan ini bertindak dengan menghalang pergerakan kalsium ke sel di saluran darah. Pergerakan kalsium ke salur darah menyebabkan salur darah mengecut dan halangan ini memastikan salur darah sentiasa mengembang (dilatation) dan seterusnya tekanan darah dapat dikurangkan.

Kesan sampingan yang biasa dialami pesakit dengan pengambilan ubat-ubat ini adalah sembelit. Maka itu pesakit yang menerima terapi kumpulan ini dinasihatkan mengambil makanan berserat tinggi dan minum banyak air bagi mengelak dari terkena sembelit.

Komplikasi Hipertensi Yang Tidak Dirawat

Tekanan darah tinggi akan menyebabkan tekanan kepada organ-organ penting badan terutamanya otak, ginjal dan jantung yang seterusnya mengakibatkan kerosakan organ-organ tersebut. Jenis kerosakan bergantung kepada jangka masa pendedahan terhadap tekanan tinggi dan berapa cepat tekanan darah meningkat.

Peningkatan tekanan darah yang mendadak boleh menyebabkan seseorang itu menjadi keliru, pening, khayal, sawan, malah boleh menyebabkan kematian. Tekanan darah tinggi yang berterusan pula akan menyebabkan tekanan yang berterusan kepada organ-organ utama dan menyebabkan komplikasi-komplikasi seperti berikut :

Jantung: kegagalan jantung, serangan jantung dan kematian
Salur darah: menjadi keras
Ginjal: kegagalan buah pinggang
Mata: pendarahan dan kerosakan pada kawasan sensitive cahaya dalam mata
Otak: strok / angin ahmar

Kesimpulan

Ubat anti-hipertensi mempunyai kesan-kesan sampingan berlainan untuk setiap orang. Berbincanglah dengan doktor tentang sebarang perubahan yang anda perhatikan dengan setiap pengambilan ubat. Jika ubat tidak berkesan mengurangkan tekanan darah anda atau menyebabkan kesan-kesan sampingan yang menjejaskan kualiti hidup, anda mempunyai pilihan lain. Biarkan doktor membantu mencari ubat yang sesuai untuk mengawal penyakit anda.

Semakan Akhir : 2 Mac 2016
Penulis : Suzana Binti Mustafa
Akreditor : Dr. Siti Norlina Binti Md. Said

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …