Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Asma > Pemberhentian Merokok Secara Tiba-tiba

Pemberhentian Merokok Secara Tiba-tiba

Apa itu Asma?

Asma adalah penyakit paru-paru kronik yang menyebabkan kesukaran bernafas secara berulang. Gejala asma adalah disebabkan terutamanya oleh keradangan kronik pada saluran pernafasan. Ini menjadikan saluran pernafasan pesakit asma sangat sensitif kepada pelbagai faktor pencetus seperti asap tembakau.

Apabila keradangan saluran pernafasan dicetuskan oleh mana-mana jenis faktor pencetus seperti asap tembakau, saluran pernafasan akan membengkak dan dipenuhi dengan lendir. Otot pada saluran pernafasan akan mengecut dan mengakibatkan penyempitan saluran pernafasan dan menyebabkan serangan asma yang kerap. Jika asma tidak terkawal, kematian boleh berlaku.

Bagaimana asap tembakau boleh menyebabkan asma tidak terkawal?

Asap rokok adalah pencetus utama gejala asma. Seorang pesakit asma boleh mendapat serangan asma yang kerap dan teruk disebabkan oleh iritasi asap rokok pada saluran pernafasan. Asap tembakau termasuklah asap rokok pasif adalah salah satu daripada pencetus asma yang paling biasa dan penting. Asap rokok pasif adalah gabungan asap daripada pembakaran rokok  dan asap hembusan oleh perokok.

Bagaimanakah asap tembakau mencetuskan serangan asma?

Asap tembakau (dan bahan kimia lain dalam asap rokok) boleh mempengaruhi saluran pernafasan dengan cara berikut:

  1. Apabila seseorang menyedut asap tembakau, bahan iritasi akan melekat pada lapisan saluran pernafasan dan boleh menyebabkan serangan asma.
  2. Asap tembakau juga boleh merosakkan struktur rambut halus pada saluran pernafasan, sehingga mereka tidak berfungsi dan mengakibatkan pengumpulan debu dan lendir di dalam saluran pernafasan.
  3. Asap tembakau juga menyebabkan paru-paru menghasilkan lebih banyak lendir daripada biasa dan mencetuskan serangan asma.
  4. Asap tembakau boleh merosakkan saluran pernafasan dengan memusnahkan tisu paru-paru dan mengakibatkan lebih keradangan pada saluran pernafasan dan seterusnya menyebabkan saluran pernafasan menjadi kurang elastik dan sempit.

Apakah faedah untuk pesakit asma untuk berhenti merokok secara tiba-tiba?

Asap tembakau adalah pencetus utama gejala asma. Dengan berhenti merokok secara tiba-tiba akan mengelakkan pencetus asma sepenuhnya. Ini boleh mengurangkan serangan asma.

  • Pesakit asma yang telah berhenti merokok akan mempunyai serangan asma yang kurang kerap.
  • Mereka akan menjadi lebih produktif dalam pembelajaran dan kerja-kerja mereka.
  • Kurang lawatan ke jabatan kecemasan dan kurang kemungkinan untuk dimasukkan ke wad.
  • Mereka akan mempunyai kurang risiko mati akibat serangan asma yang teruk.
  • Mereka hanya perlu menggunakan dos ubat pencegah steroid yang lebih rendah untuk mengawal asma.
  • Kanak-kanak kepada ibu bapa yang telah berjaya berhenti merokok akan mempunyai kawalan asma yang lebih baik dan kurang kemungkinan untuk dimasukkan ke hospital kerana serangan asma yang teruk.
  • Kanak-kanak ini juga akan kurang berkemungkinan untuk mendapat jangkitan paru-paru dan sinus, ini boleh mengurangkan gejala asma dan meningkatkan kawalan asma.

Apakah faedah berhenti merokok secara mendadak untuk pesakit asma yang mengandung?

  • Bagi perokok hamil, bahan kimia dalam asap rokok akan disalurkan kepada bayi yang masih berkembang melalui tali pusat dan ini akan meningkatkan risiko bayi untuk mendapat gejala semput pada awal kehidupan.
  • Berhenti merokok secara tiba-tiba semasa hamil akan mengurangkan banyak masalah yang berkaitan dengan rokok seperti berat badan kelahiran bayi yang rendah, kelahiran pra-matang dan risiko kematian janin dan kelahiran mati.

Adakah terdapat apa-apa faedah untuk kanak-kanak bukan asma jika ibu bapa mereka berjaya berhenti merokok secara tiba-tiba?

Kanak-kanak lebih mudah mendapat kesan buruk asap rokok daripada orang dewasa kerana paru-paru mereka masih berkembang.

  • Kanak-kanak kepada ibu yang berjaya berhenti merokok semasa mengandung akan kurang berisiko untuk mendapat masalah paru-paru termasuklah asma.
  • Kanak-kanak yang bukan asma akan mempunyai kurang risiko untuk mendapat  gejala seakan-akan asma pada awal zaman kanak-kanak.
  • Kanak-kanak akan mempunyai kurang risiko untuk mendapat pelbagai masalah kesihatan termasuklah jangkitan telinga, bronkitis, jangkitan paru-paru dan penyakit alahan.

Apakah faedah-faedah kesihatan jika seseorang berjaya berhenti merokok secara tiba-tiba?

Perokok yang telah berjaya berhenti merokok secara tiba-tiba akan mendapat banyak faedah kesihatan, termasuklah kurang berisiko untuk mendapat penyakit paru-paru kekal (Chronic Obstructive Airways Disease), strok, penyakit jantung, tekanan darah tinggi, kanser paru-paru dan lain-lain.

Kesimpulan

Asap rokok adalah pencetus utama asma yang boleh memburukkan lagi gejala asma. Oleh itu, perokok yang telah berjaya berhenti secara tiba-tiba akan mempunyai kawalan asma yang lebih baik. Begitu juga, asap rokok pasif juga merupakan pencetus bagi orang dengan asma. Oleh itu, adalah penting bagi ibu bapa yang merokok untuk berhenti secara tiba-tiba untuk melindungi anak-anak kesayangan mereka daripada pendedahan kepada asap rokok dan mencegah serangan asma yang lebih teruk. Pendek kata, berhenti merokok secara mendadak akan meningkatkan kawalan asma secara keseluruhan. Adalah TIDAK benar bahawa berhenti merokok secara mendadak boleh memburukkan lagi kawalan asma.

Rujukan

  1. Centers for Disease Control and Prevention. Asthma: Common Asthma Triggers [last updated 2012 Aug 20; accessed 2015 August 12].
  2. Centers for Disease Control and Prevention. Second hand smoke and asthma. http://www.cdc.gov/tobacco/campaign/tips/secondhand-smoke-asthma.html [accessed 2015 August 12].
  3. Asthma Foundation. Smoking and asthma. http://www.asthmaaustralia.org.au/Smoking. [accessed 2015 August 12]
  4. American Academy of Allergy, Asthma & Immunology: No Butts About It: Smoking Makes Asthma Worse. Updated May 15, 2013 Worse.” http://quitsmoking.about.com/cs/nicotinepatch/a/asthma.htm. [accessed 2015 August 12]
  5. Ministry Of Health Malaysia. Clinical Practice Guidelines For Management Of Adult Asthma 2002.
  6. Global Strategy for Asthma Management and Prevention: Global Initiative for Asthma (GINA) (Updated 2014)
  7. British Thoracic Society. British Guideline on the Management of Asthma-a national guideline 2008.
Semakan Akhir : 12 September 2017
Penulis : Dr. Ho Bee Kiau
Penterjemah : Dr. Ho Bee Kiau
Akreditor : Dr. Jamalul Azizi b. Abdul Rahaman

Baca Juga

Asma yang dicetuskan oleh senaman

Asma yang dicetuskan oleh senaman berlaku kerana penyempitan atau pengecilan saluran pernafasan susulan daripada aktiviti …