Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Asma > Komplikasi Asma

Komplikasi Asma

Komplikasi asma boleh berlaku terutamanya jika asma tidak dirawat dengan betul, Rawatan tidak optimum boleh berlaku apabila ubat diberi oleh doktor tidak mencukupi mengikut tahap asma atau pesakit tidak mengambil ubat seperti yang diarahkan samada dos tidak betul, kekerapan tidak betul atau cara menggunakan alat seperti inhaler tidak betul.

Antara komplikasi yang boleh berlaku:

  1. Serangan asma yang kerap dan serius
    Pesakit terpaksa masuk ke hospital berulang kali akibat serangan asma. Asma yang serius adalah seperti status asmaticus dimana ia adalah keadaan yang paling serius yang boleh membawa maut akibat sempitan dan kebengkakan saluran pernafasan yang berterusan disebalik pemberian pelbagai jenis ubatan. Pesakit biasanya mendapat kegagalan pernafasan (respiratory failure) yang memerlukan bantuan pernafasan melalui mesin (ventilator).
  2. Komplikasi berkaitan paru-paru
    Semasa serangan asma, boleh berlaku komplikasi yang melibatkan paru-paru seperti alveoli menguncup akibat sumbatan oleh mucus (atelectasis), jangkitan paru-paru (pneumonia dan bronchitis) dan kebocoran paru-paru menyebabkan udara keluar dari paru-paru dan terperangkap pada ruang pleura (pneumothorax).
  3. Penyempitan salur pernafasan berkekalan
    Serangan asma yang berulang akan menyebabkan radang pada saluran pernafasan dan badan cuba memperbaiki radang ini. Dalam proses pembaikan ini ada bahagian yang akan diganti dengan tisu-tisu parut yang boleh menyebabkan penyempitan menjadi berkekalan. Proses ini dalam istilah perubatan dipanggil ‘airway remodelling’. Ia boleh menyumbang kepada serangan asma yang kerap dan teruk.
  4. Batuk berterusan
    Asma yang tidak terkawal, boleh dimanifestasi dengan tanda batuk berterusan. Kadang-kadang keadaan ini boleh terlepas pandang oleh doktor yang merawat.
  5. Gangguan tidur dan keletihan
    Serangan asma berlaku atau bertambah teruk terutamanya pada waktu malam. Ini boleh mengganggu tidur seterusnya seseorang yang kurang tidur akan merasa letih keesokannya.
  6. Limitasi dalam aktiviti fizikal, bermain dan senaman
    Seseorang yang menghidapi asma boleh mengalami kurang keupayaan untuk terlibat aktif dalam aktiviti fizikal seperti bersukan dan bermain. Ada juga yang mengalami limitasi untuk melakukan aktiviti harian asas seperti melakukan kerja rumah, memasak dan sebagainya
  7. Tidak hadir kerja atau sekolah
    Serangan asma yang teruk atau berterusan akan menyebabkan seseorang tidak dapat hadir bekerja atau menghalang pelajar dari menghadirkan diri ke sekolah. Mereka kerap mengambil cuti sakit
  8. Kesan sampingan daripada ubat-ubatan asma
    Ada sesetengah ubat asma yang diambil secara oral, ada kesan sampingan sistemik seperti berdebar, ketar tangan, letih dan risiko gula tinggi dalam darah. Tetapi kesan sampingan ini dapat dihindari dengan penggunaan ubat melaui penggunaan inhaler, accuhaler, easyhaler dan sebagainya. Penggunaan ubat steroid yang diambil secara kerap dan berpanjangan boleh menyebabkan kesan sampingan jangka panjang seperti cushing syndrome, diabetes dan mudah mendapat jangkitan.
Last Reviewed : 15 Mac 2016
Writer : Dr. Mohd Daud b. Che Yusof
Accreditor : Dr. Norhaya bt. Mohd Razali

Baca Juga

Asma yang dicetuskan oleh senaman

Asma yang dicetuskan oleh senaman berlaku kerana penyempitan atau pengecilan saluran pernafasan susulan daripada aktiviti …