Sabtu , April 27 2024
msen
Utama > Hipertensi > Komplikasi Penyakit Darah Tinggi

Komplikasi Penyakit Darah Tinggi

Pengenalan – Bagaimana Ianya Berlaku?

Komplikasi penyakit darah tinggi boleh berlaku dalam jangka masa yang cepat ataupun lambat. Ia bergantung bagaimana tekanan darah dapat dikawal oleh pesakit. Sekiranya pesakit darah tinggi mempunyai masalah kesihatan lain seperti kencing manis atau sakit jantung, keadaan ini akan mempercepatkan lagi komplikasi.

Komplikasi berlaku disebabkan perubahan-perubahan dalam badan-badan manusia. Antara teori- teori yang dikenal pasti yang menjadi punca kerosakkan organ-organ tubuh badan ialah:

  1. Salur darah – semakin tinggi tekanan darah anda,semakin besar dan teruk kerosakan pada dinding salur darah dan ini mengakibatkan aliran darah yang membawa oksigen dan nutrient oada organ-organ berkenaan akan berkurangan.
  2. Ketidakseimbangan pada hormon-horman yang mengawal tekanan darah anda hilang dan menyebakan kawalan tidak bagus

Apakah Yang Terjadi Pada Organ-Organ Tubuh Sekiranya Komplikasi Berlaku?

1. Kerosakan pada salur- salur darah

  • Tekanan darah yang tinggi menyebabkan kerosakan pada dinding salur darah. Ini akan mengaktifkan proses kerosakan ,yang akhirnya menjadikan salur darah tebal dan keras (Arteriosclerosis). Dalam masa yang sama , lemak lemak daripada diet yang diambil akan melalui salur darah yang telah rosak dan menyebabkan penyempitan salur-salur darah (atherosclerosis). Salur-salur darah yang sempit ini menyebabkan bekalan oksigen dan nutrient pada organ-organ penting seperti jantung, otak, mata, buah pinggang akan berkurangan
  • Aneurysm – tekanan darah tinggi yang berterusan dan tidak terkawal menyebabkan dinding salur darah yang rosak menjadi lemah dan membentuk lapisan dinding baru yang nipis dan tidak stabil. Dinding salur darah ini dipanggil aneurysm dan mudah pecah . Ini boleh berlaku pada salur darah yang terbesar didalam tubuh manusia yang dipanggil aorta. Salur darah yang pecah ini boleh mengakibatkan pesakit meninggal akibat kehilangan darah dalaman dan sukar dikawal.

4 Gambaran berkaitan salur darah yang rosak dan jantung

2. Kerosakan pada jantung

  • Salur-salur darah yang sempit akibat tekanan darah tinggi mengurangkan bekalan darah pada jantung. Salau darah yang sudah sedia ada sempit akan mengalami penutupan sepenuhnya sekiranya ada darah beku ataupun lebihan lemak yang terkumpul. Pesakit akan mudah mendapat serangan jantung (heart attack) secara tiba-tiba dan sekiranya lambat menerima rawatan boleh membawa kematian.
  • Jantung juga boleh menjadi bengkak kerana tekanan darah yang tinggi akan memaksa jantung untukbekerja keras dengan mengepam darah lebih cepat dan laju.
  • Proses tekanan darah tinggi yang tidak terkawal dan berterusan menyebabkan dinding jantung menjadi lemah dan kurang efisien dalam membekalkan darah keseluruh tubuh. Pesakit akan mengalami kegagalan jantung (heart failure)

3. Kerosakan pada otak

  • Melalui proses yang sama kekurangan bekalan darah ke otak akibat daripada proses penyempitan salur darah, menyebabkan pesakit darah tinggi terdedah kepada penyakit Angin Ahmar (Stroke)

4. Kerosakan buah pinggang

  • Buah pinggang berfungsi untuk menapis air dan toxin didalam badan dan fungsi ini sangat bergantung pada salur-salur darah yang sihat dan baik. Kerosakkan salur darah yang besar atau pun kecil (glomeruli) pada sistem buah pinggang menyebabkan air dan toxin akan berkumpul dalam badan. Proses yang berterusan akan mengakibat pesakit memerlukan rawatan dialysis atau penggantian buah pinggang
  • Kerosakan pada salur-salur darah kecil (glomeruli) juga menyebabkan parut pada sistem buah pinggang dan mengakibatkan penyakit Glomerulosclerosis. Fungsi buah pinggang akan terjejas dan seterusnya berlaku kegagalan buah pinggang.
  • Buah pinggang juga terlibat dalam pengawalan tekanan darah melalui hormon yang dikeluarkan iaitu Renin. Hormone ini akan merangsang pengeluaran Angiotensin dan seterusnya Aldosteron dan sistem ini dikenali sebagai Sistem Renin-Angiotensin-Aldosterone (RAAS). Sistem ini adalah sangat penting dalam pengawalan tekanan darah dan keseimbangan air dalam tubuh manusia.
  • Aneurysm juga boleh berlaku di dalam buah pinggang dan menyebabkan pendarahan dalaman yang banyak.

5. Kerosakan pada mata

  • Tekanan darah yang tinggi dan tidak terkawal dalam masa yang sama juga merosakkan salur darah pada mata khasnya retina (retinopathy). Keadaan ini boleh mengakibatkan pendarahan,kabur mata dan seterusnya pesakit menjadi buta. Keadaan ini akan bertambah teruk sekiranya pesakit darah tinggi itu juga mengidap kencing manis.
  • Apabila salur darah pada mata sempit,bekalan oksigen dan nutrient akan kurang dan secara tidak langsung saraf-saraf mata juga tidak dapat berfungsi dengan baik dan akhirnya pesakit akan kehilangan penglihatan

6. Kegagalan fungsi seksual individu

  • Kegagalan fungsi seksual ini boleh berlaku kepada lelaki mahupun perempuan akibat daripada bekalan darah yang berkurangan ke organ-organ seksual berkenaan.

7. Tulang menjadi rapuh

  • Tekanan darah tinggi boleh meningkatkan pengeluaran kalsium melalui air kencing. Ini mengurangkan kekuatan serta jisim tulang dalam tubuh badan kita yang dikenali sebagai osteoporosis.

8. Sawan semasa mengandung akibat darah tinggi (preeclampsia)

  • Walaupun faktor penyumbang kepada kejadian pre-eclampsia tidak begitu jelas, tekanan darah tinggi yang tidak terkawal boleh mengakibatkan sawan kepada ibu .Ini adalah keadaan yang sangat bahaya kepada ibu dan bayi yang dikandungnya

Anda mungkin sudah mempunyai komplikasi penyakit darah tinggi sekiranya anda mengalami tanda-tanda berikut:

3

Apa Yang Perlu Anda Lakukan

Sekiranya anda atau waris anda yang menghidap penyakit darah tinggi mengalami tanda-tanda dan gejala seperti di atas, anda perlu segera berjumpa doktor di klinik- klinik swasta, klinik-klinik kerajaan yang berdekatan ataupun Jabatan Kecemasan di hospital yang paling dekat dengan anda. Pemeriksaan yang rapi perlu dibuat untuk memastikan penyebab dan kesan daripada komplikasi yang berlaku.

Pemeriksaan Dan Rawatan

  • Ujian tanda-tanda vital akan diambil termasuklah tekanan darah akan diperiksa secara berterusan
  • pemeriksaan ke atas tubuh anda akan dibuat oleh pegawai perubatan dengan lengkap dan teliti (physical examinations)
  • beberapa ujian darah,air kencing termasuk ujian imbasan samada xray ataupun scan perlu dilakukan
  • Rawatan akan segera dimulakan seperti memastikan salur pernafasan anda baik dan paten, ubat darah tinggi samada secara oral ataupun parenteral diberikan sekiranya perlu dan lain-lain mengikut keperluan
  • Penyebab dan komplikasi dikenal pasti dengan segera agar rawatan yang cepat dan terbaik dapat diberikan.

Rujukan

  1. Kementerian Kesihatan Malaysia.(2013). Clinical Practice Guideline: Management of hypertension (4th edition)
Semakan Akhir : 19 Julai 2016
Penulis : Dr. Noorzilawati Binti Ahmad
Akreditor : Dr. Khairul Nizam Bin Hassan

Baca Juga

Hubungan Hipertensi Dan Kolesterol

Apakah Hubungan Antara Penyakit Darah Tinggi Dan Kolesterol ? Kajian “ Physicians Health” menunjukkan bahawa …