Selasa , Mac 19 2024
msen
Utama > Renal > Rawatan & Komplikasi > Makan Di Luar Secara Sihat Untuk Pesakit Ginjal

Makan Di Luar Secara Sihat Untuk Pesakit Ginjal

Malaysia adalah sebuah negara yang terkenal dengan pelbagai sajian yang enak dan mempunyai banyak tempat makan yang menarik. Ramai yang suka makan di luar. Walaupun, anda menghidap penyakit ginjal, anda masih boleh makan di luar asalkan anda mempelajari jenis bahan masakan dan kaedah di sebalik penyediaan makanan yang sihat. Penjagaan makanan merangkumi pilihan makanan rendah kandungan sodium (garam), potasium, fosfat dan pengambilan cecair serta protein dalam perkadaran yang dibenarkan. Namun begitu, untuk faedah kesihatan jangka panjang sebaiknya kurangkanlah kekerapan makan di luar.

Buatlah Perancangan

Plan your menu ahead before dining out1 Plan your menu ahead before dining out2

  • Jika anda merancang makan di luar untuk waktu malam, kurangkanlah saiz porsi dan pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam dan potassium pada waktu makan yang lain untuk hari itu.
  •  
  • Kenalpasti restoran atau warung makanan di tempat anda yang boleh menawarkan pelbagai jenis juadah dan boleh membuat permintaan khas yang sesuai dengan diet anda.
  • Sebelum memesan kaji jenis bahan masakan dan kaedah masakan dalam menu yang disediakan.
  • Mohon untuk kurangkan garam, monosodium glutamate (MSG) atau gantikan telur dengan putih telur sahaja.
  • Pilih menu yang gunakan makanan rendah potasium atau rendah fosfat sahaja.
  • Jika makanan anda dihidangkan dalam saiz porsi yang ”lebih besar daripada biasa”, sewajarnya berkongsilah makanan tersebut dengan rakan atau ahli keluarga yang makan bersama.

Kawalan porsi sumber protein

Protein sources portion control

Jika anda dinasihati untuk kawal pengambilan protein dalam diet harian, pastikan semua makanan daripada sumber protein seperti ikan, ayam, susu dan produk tenusu, telur, kacang dan kekacang dihidang pada sukatan 1/3 hingga ½ daripada saiz porsi hidangan biasa. Awasi juga pengambilan kuah cicah, sos atau kuah gulai yang mengandungi susu, keju, telur atau sumber protein vegetarian seperti daripada kumpulan kekacang. Jika anda menjalani rawatan dialisis, porsi protein boleh ditambah mengikut keperluan.

 Kurangkan pengambilan sodium (garam)

Sodium Watch

Anda perlu mengelakkan pengambilan produk makanan yang diproses, diawet atau yang ditambah garam kerana kandungan sodiumnya yang tinggi sepertisayur jeruk, produk makanan yang sedia dimakan (ready-to-eat) atau makanan segera (fast food). Pastikan juga membuat permintaan supaya tiada garam tambahan atau monosodium glutamate (MSG) dalam makanan yang dipesan. Selain itu, anda juga boleh membuat pilihan mi atau kuey teow bersup dan hadkan pengambilan kuah supnya. Lazimnya kuah sup berkenaan mengandungi garam, MSG, bahan perisa dan lain-lain. Di samping itu, pastikan sos atau kuah seperti so s salad, kuah gulai ataupun sos dihadkan.

Kurangkan pengambilan potasium

Potassium Watch2 Potassium Watch1 Potassium Watch3

Anda digalakkan memilih buah-buahan dan sayur-sayuran yang rendah kandungan potasium seperti kubis, taugeh, epal, jambu batu dan tembikai susu. Anda perlu mengurangkan pengambilan sayur-sayuran berdaun hijau gelap, 1 hingga 2 kali seminggu, dan hadkan buah-buahan kering dan rempah-ratus kerana tinggi kandungan potasium. Selain itu, herba tradisional seperti akar ginseng, tongkat ali dan akar kayu juga tinggi potassium dan perlu dielakkan. Salah satu cara untuk mengawal pengambilan potasium adalah dengan mengupas kulit buah. Semasa memasak, pastikan menggunakan rempah-ratus yang berbentuk biji-bijian. Semasa memesan menu sayur-sayuran, elakkan memilih ulam-ulaman mentah sebaliknya pilih yang telah dipotong dan dicelur bagi mengurangkan kandungan potasium. Zat potasium akan larut dalam air jika sayur-sayuran dipotong secara kecil-kecilan, direndam 1/2 hingga 1 jam dan dibilas beberapa kali sebelum memasak.

Kurangkan pengambilan fosfat

Phosphate Watch1

Ikan, ayam, daging dan produk-produk terproses daripadanya adalah tinggi kandungan fosfat. Organ dalaman sepertihati, otak dan usus haiwan mengandungi fosfat yang lebih tinggi berbanding daging tanpa lemak. Selain itu, kumpulan kacang dan kekacang juga mengandungi kandungan fosfat dan potasium yang tinggi. Koko dan produk-produk berasaskan coklat, produk-produk berasaskan malta, kuning telur dan produk-produk bijirin penuh (oat, bijirin sarapan bijirin penuh, beras perang) perlu dihadkan pengambilannya. Anda juga boleh mengurangkan pengambilan fosfat yangberlebihan dengan elakkan memakan tulang ikan yang lembut/halus, rawan, kekerang serta hadkansusu dan produk tenusu. Sebagai contoh, gantikan susu dengan krimer bukan tenusu sekali-sekala. Selain itu, anda juga perlu mengunyah ubat pengikat-fosfat ketika makan, terutamanya apabila makan makanan tinggi fosfat. Oleh itu, bawalah ubat pengikat-fosfat anda jika merancang untuk makan di luar dan makan makanan berprotein mengikut saranan pegawai dietetik.

Sekatan pengambilan cecair

Fluid Watch

Anda mungkin perlu mengawal pengambilan cecair harian supaya mengelakkan pengumpulan cecair di dalam badan yang mempunyai gejala seperti bengkak badan dan kesesakan nafas. Pastikan anda sentiasa mengawal pengambilan cecair harian dalam perkadaran yang dinasihatkan oleh doktor atau pakar. Sebagai langkah berjaga-jaga, elakkan makanan yang terlalu pedas atau terlalu masin yang akan menyebabkan anda minum air berlebihan.

Tips Bijak Untuk Diet Ginjal Yang Sihat Semasa Makan Di Luar

Makanan Untuk Dipilih Makanan Untuk Dihadkan
Nasi putih kukus Nasi goreng, Nasi minyak, Nasi beriani
Mi sup, Kuey teow sup, Mihun sup
*Dengan pengambilan kuah sup yang minima
Mi goreng, Kuey teow goreng, Mihun goreng, Mi kari
Capati, Idli, Tosai
*Dengan kuah berasingan/ pengambilan kuah yang             minima
Roti canai, Naan bermentega, Murtabak
Roti, Ban biasa, Roll (tanpa garam) Roti, Ban, Roll berinti/ berkrim
Krim-kraker biasa, Biskut (tanpa garam) Biskut mentega, Biskut coklat, Biskut berkrim
Ikan, Ayam, Daging tanpa lemak ( cara masakan bakar/ panggang/ kukus) Ikan masin, Daging diproses/ diawet, Ikan/ Ayam yang dimasak sekali bersama kuah yang berkrim atau sos yang masin
Buah-buahan segar, Fruit platter Rojak buah dengan kuah, Pasembur
Agar-agar biasa, Pastri, Pencuci mulut berasaskan buah-buahan segar, kek biasa, kuih (apam kukus) Puding, Pencuci mulut dan Pastri yang mengandungi kacang, kelapa, susu, coklat dan karamel
Teh cina, kopi, air kosong & minuman tidak bergas Susu kocak,(smoothies), teh tarik, minuman bergas

SMART TIPS on Healthy Kidney Diet When Dining Out2 SMART TIPS on Healthy Kidney Diet When Dining Out3 SMART TIPS on Healthy Kidney Diet When Dining Out4 SMART TIPS on Healthy Kidney Diet When Dining Out5 SMART TIPS on Healthy Kidney Diet When Dining Out1

Nota:

Saiz porsi makanan dan minuman yang dihidangkan di luar biasanya bersaiz lebih besar daripada yang disediakan di rumah. Oleh itu, pilih makanan dan minuman yang “bersaiz biasa” untuk mengawal pengambilan protein dan cecair daripada berlebihan.

INGAT!

  • Berbincanglah dengan Pegawai Dietetik mengenai perancangan makan di luar dan pilihlah restoran yang menyediakan juadah yang bersesuaian dengan diet anda.
  • Rancang terlebih dahulu pilihan jenis makanan yang ada dan menepati keperluan anda.

Sebagai rumusan, anda masih boleh makan di luar secara sihat dengan rakan dan ahli keluarga. Pilih makanan yang rendah sodium (garam), potasium, fosfat dan memastikan pengambilan cecair serta protein dalam perkadaran yang dibenarkan untuk menjaga kesihatan anda.

Rujukan:

  1. National Kidney Foundation. 2010. Dining Out With Confidence: A Guide for Patients With Kidney Disease. New York.
  1. National Coordinating Committee on Food and Nutrition, Kementerian Kesihatan Malaysia 2010. Garis Panduan Diet Malaysia. Kuala Lumpur, Malaysia.
  1. Renal Resource Centre. 2009. Eating Out: A Guide for Chronic Kidney Disease Patients. NSW.
  2. Malaysian Dietitian’s Association. 2005. Medical Nutrition Therapy for Chronic Kidney Disease. Kuala Lumpur, Malaysia.
  1. Tee ES, Ismail MN, Mohd Nasir A & Khatijah I. 1997. Jadual Komposisi Makanan Malaysia (Edisi ke-4). Institute for Medical Research, Kuala Lumpur, Malaysia.
Semakan akhir : 27 November 2012
Penulis : Pn. Eezsafryna Azalin bt. Nordin
Akreditor : Pn. Mageswary a/p Lapchmanan